Thursday, July 29, 2010

Salt (2010)

"Nama saya Salt. Evelyn Salt"




TAGLINE "Siapakah Salt?" yang tertulis pada poster filem ini memberi gambaran awal bahawa Salt ialah karakter misteri yang perlu diberi perhatian.

Satu karakter yang bakal mengundang kejutan dan meminta penonton supaya bersedia dengan apa jua kemungkinan.

Diarahkan Phillip Noyce (Clear and Present Danger, 1994 ), Salt menambahkan lagi himpunan filem aksi musim panas dengan Angelina Jolie sebagai pertaruhan utama.

Fakta sampingan: asalnya, watak Salt ditawarkan kepada Tom Cruise, tetapi kerana Cruise memilih untuk berlakon dalam Knight And Day, nama Edwin Salt kemudian ditukar kepada Evelyn Salt.

Secara kebetulan, kedua-dua filem itu mempunyai jalan cerita yang hampir serupa mengenai perisik yang disangsikan identitinya dan menjadi pelarian.

Filem ini bermula dengan pembebasan Jolie daripada disoal siasat di Korea Utara.

Diperkenalkan sebagai ejen CIA, dia mempunyai seorang suami, pengkaji labah-labah warga Jerman dan mereka tinggal bahagia di Washington D.C.

Semuanya kelihatan sempurna sehinggalah CIA didatangi ejen dari Rusia yang dikenali sebagai Vassily Orlov.

Dia mendedahkan tentang misi seorang perisik samaran yang bakal membunuh Presiden Rusia dalam satu lawatan ke New York. Dan perisik samaran itu ialah Salt.

Fakta sampingan: secara kebetulan, filem ini ditayangkan beberapa minggu selepas New York dilaporkan menahan 11 suspek perisik Rusia.

Secara tidak langsung, ia menjadi gimik percuma kepada penonton Amerika untuk menyaksikannya kerana asas cerita filem ini sedang menjadi bualan hangat di sana.

Tuduhan Orlov tadi membuatkan identiti Salt mula dipersoal, lalu dia melarikan diri. Bermula daripada saat ini, penonton dapat menyaksikan dia melompat dari satu trak ke trak yang lain, meloloskan diri dari dikejar dan ditembak.

Tidak dinafikan, skrip tulisan Kurt Wimmer berjaya mengelirukan penonton, membuatkan persepsi penonton terhadap Salt bertukar setiap beberapa minit.

Namun, ia boleh menjadi lebih menarik sekiranya konflik hubungan di antara ketua CIA, Peabody dan rakan sekerja mereka, Ted Winter diperkukuhkan menerusi pembangunan emosi.

Kekeliruan penonton terhadap siapa penjahat dan siapa wira di sini sepatutnya dipergunakan sepenuhnya oleh Wimmer.

Begitu juga dengan hubungan emosi Salt dan suaminya yang terasa seperti kesampaian.

Walaupun pada pertengahan filem, penonton sudah mengetahui identiti sebenar Salt, tetapi dalam filem aksi sebegini, apa yang mahu ditonton ialah bagaimana dia akan ditangkap, atau akan adakah kejutan lain selepas itu.

Disinilah kekuatan Noyce sebagai pengarah.

Dibantu skor muzik daripada James Newton Howard (The Dark Knight, 2008) yang bijak 'mengusik' dan mendebarkan, serta mata kamera Robert Elswit (There Will Be Blood, 2007), Salt menjadi sebuah naskhah yang terus bergerak - seperti mana Jolie tidak henti-henti berlari.

Dan siapa lagi yang lebih layak untuk menjadi Salt jika bukan Jolie. Penonton masih mempercayai kehebatannya sebagai orang biasa yang mempunyai kekuatan luar biasa.

Malah, rasanya Salt lebih meyakinkan daripada Lara Croft: Tomb Raider (2001), yang bertarung seperti penari balet atau dalam Wanted (2008), dengan sedikit efek futuristik ala The Matrix (1999).

Pada usia 35 tahun, Jolie mungkin kelihatan agak tua, tetapi itulah yang menjadikan watak Salt lebih relevan dengannya - seorang wanita yang berani berdepan dengan dunia dan konflik hidupnya.

Salt dilihat seperti James Bond atau Jason Bourne versi wanita. Filem ini cuba mengekalkan aksi lagak ngeri yang lebih realistik, tanpa bergantung terlalu banyak kepada imej janaan komputer atau CGI.

Fakta sampingan: Jolie pernah menyuarakan keinginannya untuk menjadi James Bond tidak lama dulu. Satu idea yang menarik, tetapi mungkin sukar untuk ditunaikan.

Jika anda seorang peminat filem aksi, Salt mempunyai kesemua ciri yang diinginkan.

Pantas, luar logik, sedikit drama dan 'twist' di penghujung. Karakter Salt itu sendiri sebagai femme fatale baru Hollywood mampu menjadikannya bahan hiburan yang ideal bagi penggemar genre itu.

Justeru, jawapan bagi tagline "Siapakah Salt?" yang tertulis pada poster filem ini ialah Angelina Jolie. Filem ini akan diingati hanya kerana dia.

No comments: