Thursday, August 5, 2010

The Last Airbender (2010)

Jadikan ia pertama dan terakhir


Shyamalan terperangkap dengan kerumitan mitos The Last Airbender sehingga mengabaikan banyak aspek utama, terutamanya pembangunan cerita, karakter dan lakonan.


THE Last Airbender, filem ketujuh M. Night Shyamalan selepas The Sixth Sense (1999), merupakan adaptasi animasi popular terbitan Nickolodeon, Avatar: The Last Airbender.

Ditayangkan di kaca televisyen mulai 2005, siri kartun itu masyhur kerana elemen Asia yang kuat - pengaruh anime, kesenian China, Hinduism, Taoism dan Buddhism dari mata masyarakat Barat.

Ia mempunyai ramuan dan sifat sebuah epik seperti The Lord of The Rings yang penuh ciri mistikal, budaya dan ketamadunan.

Bukan pengikut setia animasinya, saya hanya membuat sedikit kaji selidik menerusi Internet, bertanya kepada rakan-rakan yang fanatik serta membaca sinopsis sebelum menyaksikan filem ini.

Bagi saya, sebuah filem yang baik mampu berdiri sendiri tanpa memerlukan penonton merujuk kepada material asal, sama ada novel, animasi atau prekuel.

Dalam The Last Airbender, populasi dunia terbahagi kepada empat puak iaitu tanah, udara, air dan api.

Sesetengah daripada mereka dikurniakan kebolehan untuk menguasai elemen masing-masing, tetapi untuk mengelakkan pertembungan kuasa, seorang pengawal diperlukan. Pengawal itu dipanggil Avatar.

Hanya Avatar yang mampu mengimbangi keempat-empat elemen tersebut agar dunia sentiasa aman. Bagaimanapun, penyelamat dunia ini dikatakan sudah tidak wujud lagi.

Filem ini dibuka dengan adegan dua beradik dari puak air, Sokka dan Katara, yang menjumpai sami kanak-kanak dari puak udara yang terperangkap dalam ketulan ais gergasi.

Namanya Aang dan beberapa minit kemudian, penonton diberitahu dialah Avatar yang hilang sejak 100 tahun lalu.

Atas kuasa yang diserahkan kepadanya, walaupun tanpa kerelaan, Aang harus bangkit menentang kejahatan daripada puak api.

Dia bukan saja diburu raja puak itu sendiri, Lord Ozai, tetapi menjadi sasaran anaknya, Prince Zuko yang mahu membuktikan kepada bapanya bahawa dia layak menduduki takhta.

Sememangnya satu kerja yang sukar untuk memendekkan animasi berdurasi lebih lapan jam kepada dua jam filem.

The Last Airbender dilihat sebagai projek Shyamalan yang paling bercita-cita tinggi dan 'menakutkan', apatah lagi julung-julung kalinya dia harus bermain dengan imej janaan komputer (CGI) semaksimum mungkin.

Malangnya, Shyamalan bukan Peter Jackson. Dia terperangkap dengan kerumitan mitos The Last Airbender sehingga mengabaikan banyak aspek utama, terutamanya pembangunan cerita, karakter dan lakonan.

Dia 'mencampakkan' segalanya di layar perak, tanpa penonton merasai apa-apa kesan.

Pemilihan pelakon sudah diperdebatkan sejak awal lagi. Peminat setia mempersoalkan mengapa wajah-wajah asal dari animasi tidak dikekalkan.

Sebagai contoh, Aang sepatutnya berwajah lebih Asia dan Prince Zuko yang sepatutnya mempunyai imbasan rupa Cina, bukan India seperti dalam filem. Malah, sebutan nama Aang juga ditukar kepada Uhng.

Saya tidak melihatnya sebagai isu diskriminasi perkauman, tetapi kepada peminat tegar, setiap perincian adalah penting.

Mereka mahukan sesuatu yang sudah sebati sejak awal. Secara peribadi, saya tidak begitu peduli, asalkan lakonan mereka boleh dipercayai. Sayangnya, itu juga tidak berlaku.

Mereka hanya melontarkan dialog dengan kaku, seolah mereka sendiri tidak faham dengan apa yang dituturkan.

Aksi-aksi seni mempertahankan diri, termasuk semasa mereka menguasai elemen masing-masing kelihatan robotik dan dikoreograf.

Noah Ringer yang memegang peranan Aang, tidak memiliki aura seorang hero kerana ketrampilannya yang lembik dan tidak meyakinkan.

Dev Patel yang cemerlang dalam Slumdog Millionaire (2008) pula hanya mempamerkan lakonan yang cukup makan sebagai Prince Zuko.

Emosi yang hilang daripada barisan pelakon membuatkan filem ini kurang nyawa.

Tidak dinafikan, sesetengah imej CGI yang terhasil menakjubkan, dengan set dan props yang spektakular serta skor muzik yang bersesuaian. Namun, itu semua bukan kerja Shyamalan.

Di manakah dia sebagai pengarah dan penulis lakon layar yang bertanggungjawab menjaga naratif?

Kejayaan kecil dalam aspek sinematik tadi tidak cukup untuk menyelamatkan The Last Airbender sebagai sebuah filem yang total.

Saya pasti sewaktu animasinya ditayangkan, ia diminati kanak-kanak dan dewasa kerana tema yang universal.

Isu persahabatan, dinamik kekuasaan sesebuah institusi, kasih sayang dan kehilangan dibawakan dalam vakum yang ringan dan menyeronokkan.

Sebaliknya, di tangan pengarah berusia 40 tahun ini, ia menjadi sebuah karya gelap yang kucar-kacir, di mana setiap adegan seakan tidak serasi dengan adegan yang lain.

Mungkin lebih baik siri trilogi ini dihentikan saja sekarang agar menjadi filem yang pertama dan terakhir.

The Last Airbender, filem ketujuh M. Night Shyamalan selepas The Sixth Sense (1999), terus menjunamkan kerjayanya.

No comments: