Thursday, August 12, 2010

Best of Times (2010)

Teori ikan emas


BEST of Times merupakan sebuah drama romantis yang menjadikan dua pasangan sebagai contoh kewujudan cinta sejati.


FILEM ini lambat masuk ke pawagam Malaysia selepas hampir setahun ditayangkan di negara kelahirannya. Mendapat kutipan pecah panggung di sana, Best of Times merupakan calon Thailand ke Anugerah Academy 2010 dan terpilih untuk tayangan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo.

Selain sebab di atas, saya tertarik untuk menyaksikannya kerana dua faktor.

Pertama, ia diarahkan Yongyoot Thongkongtoon (The Iron Ladies, 2000; Metrosexual, 2006) dan kedua, kerana sinopsisnya yang membandingkan sifat manusia dengan ikan emas.

Jangan salah faham, ini bukan satu lagi kisah fantasi duyung.

Memori ikan emas dikatakan hanya bertahan selama tiga saat. Ketika ia berenang dari satu sisi balang ke sisi yang lain, ia sudah lupa apa yang berlaku sebentar tadi.

Berlainan dengan manusia, apa yang terjadi dalam tiga saat pun boleh diingat sampai bila-bila. Apatah lagi jika membabitkan cinta.

Best of Times merupakan sebuah drama romantis yang menjadikan dua pasangan sebagai contoh kewujudan cinta sejati.

Keng tidak dapat melupakan Fai, cinta pertamanya sejak di bangku sekolah lagi. Biarpun sudah bertahun-tahun, dia masih menyimpan perasaan yang sama dan tidak berani untuk meluahkan.

Tambahan pula, Fai berkahwin dengan rakan baiknya sendiri, Ohm, tetapi kemudian bercerai.

Lapan tahun berlalu, takdir menemukan mereka semula dalam situasi yang amat janggal. Fai datang menjamin Ohm dan Keng di balai polis, selepas mereka memandu dalam keadaan mabuk susulan acara reunion sekolah.

Peristiwa-peristiwa inilah yang membawa penonton mengenali siapa pula Jamrus dan Sompit, pasangan duda janda yang jatuh cinta di dalam kelas komputer warga emas.

Keng ditugaskan sebagai cikgu atas hukuman khidmat masyarakat yang diperintahkan mahkamah.

Penonjolan Jamrus dan Sompit sebagai subjek utama di samping Keng dan Fai, menjadikan Best of Times lari sedikit dari imej stereotaip filem Asia.

Lazimnya pelakon veteran tidak lebih daripada watak sokongan, sekadar menjadi ibu bapa kepada hero atau heroin.

Ini mengingatkan saya kepada karakter lakonan Fatimah Abu Bakar dan Datuk Rahim Razali dalam Cinta (2006) arahan Kabir Bhatia yang juga diberi tumpuan.

Pengarah cuba membangunkan dua kisah cinta dalam satu masa, namun segmen pasangan muda terasa agak meleret dan mendatar, walaupun mempunyai inti pati yang menarik.

Fai masih dibayangi perasaannya terhadap Ohm dan bagaimana Keng harus meneutralkan kejanggalan Fai yang selama ini hanya menerimanya sebagai seorang kawan, bukan kekasih.

Barangkali segmen pasangan berusia, Jamrus dan Sompit memberi impak yang lebih kuat kerana nilai ceritanya.

Jamrus dan Sompit bukan saja 'dipisahkan' oleh kedudukan geografi (Jamrus sanggup memandu enam jam dari Chumporn ke Bangkok, semata-mata untuk ke kelas komputer bertemu Sompit), malah mereka keluar secara sembunyi kerana bimbang cinta tidak direstui anak masing-masing.

Untuk pengarah yang sinonim dengan stail penceritaan yang flamboyant, Thongkongtoon lebih tenang kali ini.

Lakon layar Best of Times tidak mempunyai sebarang kejutan, dialog-dialognya tidak sentimental keterlaluan, malah dalam beberapa adegan, aspek dramatiknya ditonjolkan dalam gaya yang sangat subtle.

Misalnya, ketika Sompit berdepan dengan dilema sama ada mahu mengikut anaknya berhijrah ke Amerika atau menjaga Jamrus yang tiba-tiba disahkan mengidap Alzheimer.

Begitu juga dengan adegan di mana pokok besar kesayangan Jamrus dipindahkan dari kampung ke kediaman anaknya di bandar.

Dua insiden ini boleh saja digunakan Thongkongtoon untuk meruntun jiwa penonton menerusi ratapan atau air mata pelakon, tetapi dia mengambil langkah yang lebih dewasa.

Malah, persembahan empat pelakon utama juga terkawal tetapi masih memberangsangkan.

Bagi sebuah filem bergenre seperti ini, kerja sinematografinya cantik tetapi tidak lari dari klise.

Bersih dan jelas dengan rekaan produksi yang kemas, ia dibantu skor muzik ringkas seperti alunan piano untuk membangkitkan mood.

Best of Times mungkin tidak sempurna, mungkin juga bukan filem cinta yang terbaik. Tetapi, saya percaya kepada teori pada awal perenggan tadi.

Tidak seperti ikan emas, manusia tidak mudah melupakan sesuatu, apatah lagi jika membabitkan cinta.

No comments: