Kemuncak testosteron
|
|
BUAT para peminat filem aksi, The Expendables ibarat kemuncak mimpi indah. Dimulai dengan tiga nama - Sylvester Stallone, Jason Statham dan Jet Li, barisan pemain diperkuat dengan kehadiran Dolph Lundgren, Mickey Rourke, Steve Austin, Randy Couture, Gary Daniels dan Eric Roberts.
Jika nama-nama itu masih belum cukup memuaskan hati, peminat diberikan bonus kemunculan istimewa Bruce Willis dan Arnold Schwarzenegger.
Biarpun sudah diuar-uarkan di Internet bahawa dua bintang itu dipertemukan dalam satu babak saja, faktor reunion terbesar menjadi magnet terkuat untuk menarik khalayak ke panggung.
Saya percaya penonton sudah tidak peduli akan plot filem. Lebih ringkas lebih baik, kerana harga tiket yang dibayar adalah untuk melihat letupan, tembakan, kejar-mengejar, darah memancut dan segala macam aksi sepak terajang, seganas mungkin.
The Expendables merupakan nama sekumpulan tentera upahan yang mengerjakan misi berisiko tinggi, berani mati dan tidak teragak-agak untuk membunuh orang demi melangsaikan tugasan.
Fokus utama mereka ialah menumpaskan diktator yang memimpin Vilena, yang sebenarnya hanyalah boneka kepada seorang bekas ejen CIA yang tamakkan kuasa.
Dalam masa yang sama, hero filem ini, lakonan Stallone, jatuh hati kepada seorang wanita cantik, anak kepada pemimpin diktator tadi. Satu kebetulan yang sangat klise untuk mencipta konflik.
Untuk sebuah filem yang berdurasi 1 jam 45 minit, The Expendables mempunyai terlalu banyak karakter untuk diberi perhatian.
Justeru, tidak banyak pembangunan watak dapat dilakukan, kecuali untuk Stallone (kerana dia pengarah dan penulis skrip) dan Statham yang mewakili wira generasi baru kerana dia yang paling muda di antara semua.
Pada usia 64 tahun - dengan tubuh yang masih sasa dan sedikit suntikan botox di wajah - Stallone masih mampu mengangkat dirinya sebagai seorang penyelamat, dalam masa yang sama mempunyai sisi rapuh yang dapat dikesan menerusi dialog dan ekspresi matanya yang kuyu.
Dan Stallone beruntung kerana mempunyai ikatan keserasian yang kuat dengan pelakon-pelakon pembantu.
Dalam kemunculan yang terhad, beberapa watak masih meninggalkan impak. Rourke berjaya memberikan dimensi terhadap karakter Tool, bekas ahli The Expendables yang menyimpan tragedi duka di sebalik penampilan kasar; begitu juga dengan Lundgren menerusi karakter yang tidak boleh dibaca - sekejap putih, sekejap hitam.
The Expendables diisi dengan hormon testosteron sepenuh-penuhnya. Melalui babak pembukaannya saja, penonton sudah boleh mengagak ke mana mereka bakal dibawa.
Lengkap dengan pelbagai senjata - dari manual ke mekanikal - dan pelbagai kenderaan lasak - dari daratan ke udara dan lautan - ia mengembalikan sifat-sifat klasik filem aksi.
Eric Roberts yang memegang watak antagonis memiliki ciri-ciri penjahat era 1980an. Dengan muka bengis, gerak tubuh dan dialog yang stereotaip, bagaimanapun, ia bukanlah berita buruk, sebaliknya satu kejayaan buat Roberts.
Saya pasti adegan penutup mampu membuatkan peminat filem aksi tersenyum lebar.
Bertarung dalam durasi hampir setengah jam, ia mengingatkan kita kepada filem Commando (1985) atau siri-siri Rambo (yang pertama terbit pada tahun 1982 dan diakhiri pada tahun 2008 arahan Stallone).
Adegan-adegan lawannya tidak masuk akal, melampau-lampau tetapi masih mengesankan dan menyeronokkan.
Stallone nyata tahu apa yang dimahukan penonton. Ironinya, ideanya tidak ketinggalan zaman, walaupun masih sama seperti plot dua puluh tahun lalu.
Ketepikan skrip atau dialog yang ala kadar, mahupun imej janaan komputernya yang nampak palsu kerana kelemahan-kelemahan ini berjaya diselindungkan.
Buat para peminat filem aksi, The Expendables melengkapi kemuncak sinema musim panas tahun ini.
No comments:
Post a Comment