Setidak-tidaknya cantik
|
|
OSMAN Ali sering dikaitkan dengan naskhah-naskhah serius. Filem pendeknya, Bukak Api (2000) dan Malaikat Di Jendela (2004) memperkenalkan namanya kepada audiens arus perdana. Malah, apabila mengarahkan filem cereka, dia memilih genre drama seperti Puaka Tebing Biru (2005) dan Anak Halal (2007).
Ketika dia memutuskan untuk mengarah sebuah filem ringan bertajuk Cun!, saya akui teruja, walaupun kurang berkenan dengan judul filem bahasa pasar. Saya yakin dengan deria jenaka yang dimiliki Osman, seperti yang pernah dipamerkan dalam telefilem Toll Gate Girl (2001) yang menjadi kegemaran saya.
Cun! mengisahkan Luna Latisya, seorang pengacara TV yang kecewa apabila teman lelakinya main kayu tiga. Dia sendiri yang membongkar rahsia kecurangan Ryan Hidayat menerusi program kendaliannya, Meletops.
Kekecewaan itu membawa Luna ke kampung pembantu peribadinya, Tom di Kampung Mata Ayer, Kedah. Di situ, Luna mengenali keluarga besar Tom; iaitu Atan, Manis, Tok Chah dan kerbau bernama Kembang, juga andartu Bedah Tonggek serta Eton yang berbadan gempal yang mengusahakan kedai makan.
Pada awalnya Luna dan Atan tidak sebulu akibat ego, tetapi perasaan kasih mula timbul apabila mereka banyak menghabiskan masa bersama. Kenikmatan itu tergugat apabila Ryan dan krew program Meletops datang membuat kacau sehingga Atan terasa dirinya dipermainkan.
Osman menyedari dia membikin karya bersifat popular menerusi Cun!. Justeru, dia memberi apa yang diinginkan kebanyakan penonton. Walaupun kisah cinta berbeza kasta sudah diulang berjuta kali, namun ia tetap resipi terbaik untuk komedi romantik.
Pola penceritaan Cun! sangat formulaic dan mengikut 'tatabahasa' filem yang standard; di mana cerita dimulakan dengan konflik kecil, diikuti dengan kebahagiaan, sehingga satu konflik besar tercetus dan diakhiri dengan penamat yang menggembirakan.
Osman juga menggunakan kampung sebagai latar utama iaitu suasana dan pengalaman yang dekat dengan penonton. Jika dilihat dalam kebanyakan karyanya, dia begitu senang menjadikan kampung sebagai set penceritaan, mengambil semangat orang kebanyakan bagi menghasilkan sesuatu yang tulen.
Kerana itu, babak-babak di Kampung Mata Ayer sangat 'menjadi' dan menyeronokkan. Biarpun komedinya agak slapstik, namun ia berfungsi dengan baik kerana tidak memperbodoh dan memperlekehkan akal. Setiap pelakon mampu bertutur loghat Kedah dengan penuh bersahaja dan meyakinkan.
Nadia Nissa sebagai Manis sangat cemerlang. Dia mendukung peranan gadis terencat akal tanpa mempermainkan golongan kurang upaya. Senda dan sedihnya dirasai, malah Manis adalah 'bintang' dalam setiap adegan yang membabitkannya.
Kartina Aziz sebagai Tok Chah melengkapi, merencah dan menambah perisa. Manakala pemilihan Remy Ishak sangat tepat untuk watak Atan. Kelakuan, lenggok tubuh dan raut wajahnya memenuhi sifat-sifat lelaki desa. Penonton tidak terasa Remy itu Remy, sebaliknya dia memang Atan.
Sayangnya, adegan-adegan di bandar terasa hambar dan sedikit palsu. Momentumnya tidak senada dan sesegar tenaga ketika babak-babak di kampung.
Mungkin kerana kostumnya yang flamboyant dan over the top menyebabkan ia sedikit jauh dari realiti, atau barangkali kerana emosi yang tidak kesampaian.
Bukan salah Maya Karin apabila penonton tidak 'menangkap' dilema Luna di antara cinta dan kebosanannya terhadap kerjaya. Bukan salah Maya dan Remy juga apabila perubahan sikap benci kepada sayang yang dialami Luna dan Atan tidak ketara.
Keserasian pasangan ini cukup memberangsangkan, tetapi lakon layar bagi sesetengah babak tidak mencengkam. Komedi orang bandar seperti Candy (Ning Baizura), Ryan Hidayat (Jehan Miskin) dan Siti Senjakala (Marsha) ada masanya nampak dibuat-buat.
Rasanya satira menyindir wartawan dan artis itu perlu ditangani dengan lebih classy agar dramanya kuat, dipercayai dan tidak hanya cetek di permukaan.
Bagaimanapun secara keseluruhan, Cun! adalah sebuah produk hiburan yang dibanggakan. Dibarisi pelakon ternama dengan kaedah cerita yang menawarkan keselesaan, filem ini boleh disifatkan sebagai komedi romantik Melayu yang berjaya. Ya, 'cantik' walau tidak sempurna.
No comments:
Post a Comment