Thursday, April 14, 2011

SENJAKALA (2011)

Sayangnya Senjakala


ZAHIRIL Adzim dan Liyana Jasmay digandingkan untuk kali pertama dalam filem Senjakala.


FILEM seram pertama arahan Ahmad Idham, Jangan Pandang Belakang (2007) berjaya mencetuskan kegemparan untuk sinema Malaysia dekad ini.

Ia bukan saja memungut kutipan hampir RM6 juta, tetapi menjadi tanda aras kebangkitan filem hantu Melayu dan rujukan dari segi komersial.

Tidak keterlaluan jika dikatakan penerbit tempatan saling berlumba membikin filem seram selepas itu.

Idham sendiri tidak terlepas dari mengikuti arus kebanjiran genre sedemikian dengan penghasilan Congkak (2008), Niyang Rapik (2010) dan Damping Malam (2010), di samping filem-filemnya yang lain.

Senjakala menjadi taruhan terbarunya, di mana dia bukan saja bertindak selaku pengarah, tetapi sebagai penerbit. Skripnya dihasilkan Meor Shariman Meor Shafie yang pernah menulis Tentang Bulan (2006) untuk Idham.

Filem ini mengisahkan Karlisa yang sering diburu mimpi aneh selepas kematian tunangnya akibat kemalangan jalan raya. Mimpi itu memanggilnya pulang ke kampung untuk bertemu Opah Maimoon yang sekian lama dipinggirkan oleh ibu bapa Karlisa tanpa sebab yang jelas.

Kehadirannya bersama teman baik, Isabella tidak disenangi penduduk Kampung Senja Lama. Mereka dicemuh dan dibenci sehinggalah Karlisa bertemu dengan Arman, pemuda kampung yang misteri, yang mempunyai jawapan kepada setiap persoalan Karlisa selama ini.

Ibu Karlisa menjauhi Opah Maimoon kerana tidak mahu mewarisi saka yang dipelihara. Atas dasar simpati, bapa Arman sanggup merelakan tubuhnya dihuni saka sehinggalah waris Opah Maimoon datang mengambilnya semula. Saka itu tidak boleh dimusnahkan selagi perjanjian dengan tuan asalnya tidak dibatalkan.

Menjadikan kisah mistik tempatan sebagai tema cerita, Senjakala mengingatkan saya kepada Damping Malam. Filem itu berlegar mengenai pendamping, makhluk ghaib yang dibela orang dulu-dulu untuk 'menjaga' keturunan.

Isunya lebih kurang serupa, tetapi Senjakala diadun dengan cita rasa lebih muda apabila meletakkan elemen cinta di antara Karlisa dan Arman.

Saya tidak kata Idham atau Meor mahu meniru filem Hollywood, Twilight (2008), tetapi saya percaya inspirasinya sedikit sebanyak diambil dari naskhah remaja popular itu. Seorang gadis yang kehilangan arah, bertemu dengan pemuda yang mewarisi kuasa mistik, lalu bercinta dan wujudlah konflik.

Bagi saya, formula yang sama tidak menjadi masalah kerana sememangnya pembikin filem di seluruh dunia pun berpusing-pusing menghasilkan sesuatu yang serupa. Penonton boleh memaafkan apa saja persamaan, sama ada secara sengaja atau pun tidak, asalkan filem itu mampu memuaskan mereka.

Namun begitu, saya terasa seperti ada yang tertinggal dalam Senjakala. Lakonan bintang berpengalaman seperti Zahiril Adzim, Liyana Jasmay dan Ruminah Sidek tidak cukup untuk membawa filem ini menjadi naskhah yang memberi impak.

Alangkah sayangnya untuk seorang pengarah yang sudah mengarahkan 20 filem dalam tempoh kurang 10 tahun.

Pencarian Karlisa terhadap misteri yang membelenggu sepatutnya menjadi kunci untuk membuatkan penonton terus terpaku. Sebaliknya, saya berasa lelah dan tidak teruja untuk mengetahui jawapan kerana plotnya boleh dijangka serta lakon layar yang tidak 'menggenggam' penonton.

Karlisa sanggup berkorban menerima saka dari Arman kerana tidak mahu jejaka yang disayanginya mati. Maaf, saya tidak 'membeli' idea itu kerana saya tidak merasai cinta di antara mereka berdua.

Bukan kerana Zahiril dan Liyana tidak pandai berlakon, tetapi saya tidak diyakinkan mereka benar-benar saling menyukai. Apa yang dipaparkan sebelum itu lebih kepada keinginan Karlisa mencari jawapan dan kemahuan Arman untuk menyerahkan semula saka yang diwarisi kepada pemilik asal.

Wanita hodoh berambut panjang yang berterbangan di angkasa dengan suara bergema bukan lagi helah yang mampu menakutkan. Begitu juga dengan bayang-bayang yang mengganggu atau bacaan jampi serapah berulang-ulang kali.

Saya tidak mahu menyalahkan Idham dan Meor dalam soal ini. Barangkali, penonton sudah terbiasa dan lali kerana terlalu banyak cerita seram disogokkan, baik di televisyen mahupun pawagam.

Walaupun terdapat beberapa kecelaan teknikal, seperti gerak bibir yang tidak selari dengan suara, Senjakala harus dipuji kerana menggunakan sistem bunyi canggih dari Studio Digital Mixstage di Finas. Filem ini menampilkan kesan audio yang baik, salah satu ramuan terpenting dalam penghasilan karya seram.

1 comment:

hzrhkamal said...

sumpah saya tak nampak apa yang 'kurang ajar' sangat dengan review ini.

tak pasal-pasal keluar galaksi.

aduhai idahm. how low.