Thursday, April 21, 2011

RED RIDING HOOD (2011)

Merah yang suram

DIINSPIRASIKAN daripada kisah dongeng Little Red Riding Hood, filem ini ditulis semula mengikut interpretasi David Johnson (Orphan, 2009) dan diarahkan Catherine Hardwicke (Twilight, 2008). Ia bukanlah adaptasi seratus peratus mengikut cerita klasik yang kita baca semasa kanak-kanak.

Red Riding Hood mengambil latar sebuah kampung bernama Daggerhorn yang didiami serigala jadian sejak dua generasi. Setiap kali bulan mengambang, penduduk terpaksa memberi haiwan peliharaan sebagai korban sehinggalah munculnya malam puaka yang dipanggil Blood Moon.

Valerie yang tinggal di kampung itu jatuh cinta kepada seorang pemotong kayu, Peter tetapi dihalang keluarganya yang menginginkannya berkahwin dengan anak seorang hartawan, Henry.

Semasa Valerie dan Peter merancang untuk melarikan diri, kakak Valerie menjadi mangsa pembunuhan pertama serigala jadian. Father Solomon, seorang penghalau hantu dipanggil ke kampung tersebut untuk membantu.

Dia yakin serigala itu adalah salah seorang penduduk kampung yang boleh bertukar rupa, apatah lagi selepas mengetahui makhluk itu pernah bercakap dengan Valerie. Gadis itu kemudiannya dijadikan umpan.

Filem ini menerima kecaman hebat pengkritik dan penonton antarabangsa yang sudah menyaksikannya. Rata-rata tidak bersetuju dengan tafsiran baru yang menukarkan kisah dongeng kepada thriller romantik. Tidak kurang juga yang menganggap filem ini mahu menjadi salinan karbon kepada Twilight.

Saya tidak pasti mengapa Hardwicke seakan tidak mahu lari dari bayang-bayang Twilight. Adakah mungkin dia kecewa kerana siri filem itu diarahkan oleh orang lain?

Dalam hal ini, dia tidak boleh menyalahkan penonton yang membuat perbandingan kerana terdapat beberapa persamaan.

Yang paling jelas ialah serigala jadian sebagai subjek, pemilihan Shiloh Fernandez sebagai hero (nota: Shiloh tewas kepada Robert Pattinson untuk watak Edward Cullen) dan Billy Burke sebagai bapa Valerie iaitu pelakon yang sama menjadi bapa Bella dalam Twilight.

Peminat Twilight barangkali akan menolak Red Riding Hood dan menganggapnya sebagai naskhah 'wannabe'. Bagaimanapun, jika dinilai tanpa mempersoalkan keaslian, Red Riding Hood tidaklah seteruk mana.

Naskhah dongeng seperti Little Red Riding Hood, Snow White atau Sleeping Beauty sebenarnya adalah kisah untuk memberitahu kita tentang bahayanya dunia. Bagaimanapun, kerana ia sering diceritakan dari sisi yang berwarna-warni (terutamanya oleh Disney), kita terlupa ada sisi hitam yang sangat menakutkan.

Red Riding Hood versi Johnson dan Hardwicke cuba membawa penonton ke arah itu. Warna-warna kelam, suram dan cuaca bersalji digunakan untuk membangkitkan suasana misteri, dibantu sinematografi yang baik. Hardwicke bijak menggunakan pengetahuannya sebagai pereka produksi sebelum ini.

Begitupun, imej janaan komputer (CGI) untuk serigala jadian kelihatan agak kartun, terutamanya adegan dia bercakap dengan Valerie.

Pembunuhan yang dilakukan serigala itu tidak cukup ganas dan berdarah. Penonton lebih seram menantikan kemunculan serigala berbanding apabila serigala itu sudah muncul.

Walaupun perjalanan cerita agak lembab, namun ia berjaya membuatkan penonton tertanya-tanya siapakah serigala jadian itu. Dengan kadar suspen yang sederhana, penonton berkongsi perasaan paranoid yang dialami Valerie setiap kali dia memandang tepat ke dalam mata orang di sekelilingnya.

Johnson dan Hardwicke masih mengekalkan semangat cerita asal Little Red Riding Hood menerusi beberapa babak.

Antaranya mimpi Valerie yang melihat neneknya seperti serigala jadian di atas katil serta adegan meletakkan batu ke dalam badan serigala jadian sebelum ditenggelamkan ke dalam laut.

Amanda Seyfried merupakan pelakon yang tepat untuk watak Valerie. Dia mempunyai raut wajah yang misteri dan sifat yang rapuh, sesuai dengan karakter penuh dilema. Sayangnya, Seyfried berusaha keras seorang diri kerana dua aktor pendamping yang sepatutnya menyokongnya tidak berbuat demikian.

Shiloh Fernandez sebagai Peter hanya bersandar wajah tampan, sementara Max Irons sebagai Henry tidak meninggalkan apa-apa kesan. Percintaan tiga segi di antara mereka tidak menjadi dengan dialog seakan-akan soap opera. Gandingan itu sekadar cantik dipandang saja.

Mujurlah filem ini meletakkan bintang senior seperti Gary Oldman dan Virginia Madsen sebagai pelakon pembantu. Julie Christie sebagai nenek juga satu pilihan sempurna.

Mereka mendominasi layar, membuatkan penonton terlupa ini juga sebuah kisah cinta sehinggalah babak penamat yang sangat klise.

No comments: