Filem salinan karbon
SEPERTI aplikasi copy dan paste dalam Microsoft Word, begitulah saya mengibaratkan penghasilan The Hangover Part II dari filemnya yang pertama. Apa yang diubah hanyalah font, yakni rupa luaran seperti lokasinya yang bertukar dari Las Vegas ke Bangkok.
Rentak dan gaya penceritaannya sama. Konflik, pendedahan dan penutupnya juga serupa. Filem yang pertama diangkat sebagai Filem Muzikal/Komedi Terbaik Golden Globe 2010 kerana keasliannya. Bagaimanapun, filem kedua sekadar salinan karbon yang dibikin atas permintaan dan keuntungan.
Jika penonton mahu berhibur, The Hangover Part II mungkin mampu menghiburkan. Malah, kebanyakan babaknya berupaya membuatkan penonton ketawa. Namun, apa yang mendukacitakan ialah selaku pengarah, Todd Phillips dan sekumpulan penulis lakon layarnya tidak menyuntik apa-apa pembaharuan.
Sekuel ini mengisahkan Stu bakal berkahwin di Thailand dengan gadis pujaannya, walaupun tidak direstui bapa pengantin perempuan. Malam pertama selepas tiba di Bangkok, dia dan rakan-rakan baiknya duduk minum di tepi pantai. Apa yang berlaku seterusnya adalah sama seperti filem pertama.
Apabila terjaga dari tidur, mereka berada di tempat yang asing. Salah seorang daripada mereka hilang dan tidak mengingati langsung apa yang berlaku malam tadi. Mereka mempunyai masa 24 jam untuk menyelesaikan segala misteri dan tiba ke majlis perkahwinan tepat pada waktu.
Mari kita bandingkan beberapa 'kelainan' dari filem kedua berbanding pertama. Filem kedua menampilkan monyet menggantikan harimau. Stu mempunyai cacar di muka menggantikan gigi yang patah. Alan kehilangan rambut menggantikan kehilangan seluar.
Begitu juga dengan kewujudan mengejut seorang sami berbanding bayi dan mangsa yang hilang ditemui di dalam lif berbanding bumbung. Penulis skrip hanya menukar objek berlainan untuk filem kedua, tetapi helah dan taktiknya masih identikal.
Saya melihat filem yang pertama sebagai pengembaraan sekumpulan kawan yang penuh liku dan tanda tanya tetapi menyeronokkan.
Namun demikian, The Hangover Part II dirasakan sebaliknya. Insiden yang serupa berulang lagi menyebabkan elemen misteri terasa mendatar. Ada beberapa ketika humornya seakan dipaksa dan terlalu mencuba. Misalnya seorang bakal doktor kehilangan jari dan bakal pengantin mengadakan hubungan luar tabii dengan pelacur transeksual.
Secara teknikal, tiada apa yang begitu mengejutkan. Kalau ada pun, ia tidak cukup untuk menjadikan sambungan ini sesuatu yang mengagumkan.
Dalam beberapa babak, penyelesaiannya terasa mudah - hanya melalui rakaman video di telefon bimbit. Penulis skrip seakan malas untuk mencari idea yang lebih inovatif. Babak penutup pula yang memaparkan gambar-gambar kejadian sebenar adalah serupa seperti filem pertama. Mungkin teknik ini memang disengajakan.
Pembangunan karakter juga tidak digilap, contoh ketara ialah watak Alan lakonan Zach Galifianakis. Karakter asalnya ialah lelaki yang kurang sihat, tetapi masih memikat, menimbulkan simpati dan kelucuan. Begitupun, dalam filem kedua, Alan dirasakan keterlaluan, biadab dan sangat menjengkelkan.
Saya tidak pasti jika Galifianakis gagal membawakan watak itu sebaiknya. Ini kerana Ken Jeong sebagai Mr Chow juga mempunyai karakter yang menyakitkan hati, tetapi masih dianggap kelakar. Manakala Ed Helms sebagai Stu dan Bradley Cooper sebagai Phil mengulangi watak yang pernah dimainkan dengan terkawal tanpa banyak perubahan.
Barangkali, apa yang baiknya ialah penyatuan semula geng wolfpack' ini dapat mengembalikan rindu penonton dan nostalgia terhadap filem pertama. Kerana itu jugalah, pengarah/penulis skrip membawa kembali Mike Tyson pada penghujung cerita, semata-mata atas dasar melengkapkan anggota reunion.