Thursday, December 8, 2011

OMBAK RINDU (2011)


Semangat melodrama Melayu

SAYA masih ingat kata-kata Osman Ali beberapa tahun lalu. Menurutnya, dia suka bikin cerita yang sangat dekat dengan masyarakat kita, yang seronok ditonton oleh ahli keluarganya di kampung.

Ini dapat dilihat menerusi karya-karya awalnya seperti telefilem Tollgate Girl (2001) dan Atas Nama Cinta (2003). Malah filemnya seperti Anak Halal (2007) dan Cun! (2011) juga mudah difahami kerana jiwa sosiobudaya Melayu yang amat kuat.

Justeru, penerbit Sharad Sharan membuat keputusan yang tepat apabila memilih Osman sebagai pengarah kepada adaptasi novel terlaris, Ombak Rindu tulisan Fauziah Ashari.

Ombak Rindu adalah sebuah naskhah melodrama seperti yang selalu kita tonton dalam slot Cerekarama. Ia mengisahkan Izzah, seorang gadis kampung yatim piatu yang dijual bapa saudara sendiri untuk dijadikan pelacur. Lelaki pertama yang menidurinya ialah Hariz, usahawan muda pewaris syarikat ternama.

Kerana simpati dengan Izzah yang merayu supaya dibawa pulang, Hariz membeli wanita itu untuk dijadikan orang suruhan. Izzah juga memohon agar mereka berkahwin dan berjanji tidak akan menuntut sebarang hak sebagai isteri, asalkan perhubungan mereka halal di sisi agama.

Keikhlasan Izzah melembutkan hati Hariz, tetapi ketika cinta mula berputik mereka berdepan dilema. Hariz bakal disatukan dengan Mila Amylia, seorang pelakon popular yang juga rakan sepermainannya sewaktu kecil. Pernikahan rahsia Hariz dan Izzah juga dihidu ibu Hariz yang bongkak, Datuk Sufiah.

Saya menyifatkan Osman sebagai pencerita yang baik. Di tangannya, Ombak Rindu terjalin kemas memandangkan dia harus menterjemah novel setebal 563 halaman kepada filem berdurasi dua jam. Saya sempat membaca bukunya sebelum menonton dan sejujurnya, saya lebih gemarkan versi filem.

Tanpa niat memperkecilkan penulis asal, saya merasakan banyak sub-plot dan karakter tambahan yang menjadikan fokus penceritaan sedikit rumit dan tersasar. Lakon layar tulisan Armantono dan Osman menyelamatkan cerita ini dari komplikasi dan 'membuang' terlalu banyak kebetulan yang direka.

Mereka memansuhkan beberapa watak dan situasi mengikut kesesuaian; misalnya kisah adik perempuan Hariz yang disisih keluarga atau kisah ibu tiri Hariz yang menjadi tempat Izzah mengadu. Kehilangan sub-plot sebegini sedikit pun tidak menjejaskan cerita, malah ia menjadi lebih ringkas dan realistik.

Menyentuh tentang realistik, Osman dan Armantono juga mengubah beberapa latar watak. Sebagai contoh, watak bapa saudara dan ibu saudara Izzah di dalam novel berniat jahat ingin menjualnya kerana benci dan terbeban.

Tetapi versi filem lebih 'memanusiakan' karakter apabila Pakcik Taha terpaksa menjual Izzah kerana terdesak. Dia inginkan wang bagi biaya kos perubatan, walaupun isterinya membantah Izzah dipaksa bekerja di Kuala Lumpur.

Gerak filem ini berada dalam ruang yang sederhana - tidak terlalu perlahan, tidak juga terlalu pantas. Cuma pada beberapa babak, saya berasa sedikit terganggu dengan lagu tema mendayu yang diulang-ulang seakan mahu memaksa penonton berasa pilu.

Taktik serupa pernah dilakukan dalam Lagenda Budak Setan (2010) arahan dan terbitan Sharad Sharan. Saya fikir lebih sesuai jika lagu lengkap vokal itu digantikan dengan iringan muzik instrumental saja.

Terdapat beberapa kelemahan teknikal seperti gambar tidak fokus dan suntingan yang melompat - mungkin kerana beberapa babak terpaksa dibuang akibat kesuntukan masa. Namun kekurangan itu dimaafkan kerana dibayar dengan lakonan cemerlang barisan pemain.

Secara ideal, Maya Karin bukanlah bayangan dari novel untuk watak Izzah. Namun, aktres ini membuktikan bahawa bakat melangkaui jati dirinya sebagai wanita kacukan Melayu-Jerman. Dia membuatkan kita lupa siapa Maya yang sebenar dan percaya apa yang ditonton itu ialah Izzah.

Watak ini mungkin kelihatan stereotaip dan membosankan secara lisan. Tetapi, Maya berupaya memberikan dimensi melalui pertuturan, riak wajah dan bahasa matanya. Walaupun lenggok mengajinya sedikit terkeluar dari bunyi konvensional, itu bukanlah masalah besar. Izzah adalah lakonan terbaik Maya setakat ini.

Aaron Aziz yang memeran watak Hariz mempamerkan lakonan bersahaja. Sifat bengis dan kasarnya sudah biasa disaksikan, seperti dalam KL Gangster (2011), namun sisi lembutnya menjadikan dia hero pujaan terbaru. Aaron menghidupkan pesona Hariz sebagai lelaki berego tinggi tetapi masih sensitif.

Pelakon pembantu seperti Bront Palarae, Zaidi Omar dan Azizah Mahzan melengkapkan kehebatan persembahan. Lakonan Azizah sebagai Datuk Sufiah ibarat satu penghargaan kepada watak wanita kejam ala Mak Dara dari filem Ibu Mertuaku (1962).

Saya teringatkan perkara ini semasa babak dia menyaksikan Izzah berjalan di dalam hujan, lengkap bunyi petir dan cahaya kilat.

Syabas diucapkan kepada Lisa Surihani yang berani mencabar kebolehannya melalui peranan Mila. Lakonannya mewakili fitrah manusia yang angkuh dengan status dan dilanda amarah apabila gagal mendapatkan sesuatu yang dihajati. Dia tidak dibenci secara total, malah diberi simpati oleh penonton.

Ombak Rindu memenuhi fungsi dan emosinya sebagai sebuah soap-opera Melayu. Pembikinannya moden, tetapi meminjam semangat sedu-sedan filem era 1970-an dan 1980-an seperti siri Esok karya Tan Sri Jins Shamsudin. Ini adalah satu pujian untuk Osman Ali.

No comments: