Thursday, December 22, 2011

SONGLAP (2011)


Masih ada harapan

Songlap membuatkan saya berasa lega. Kehadirannya yang menutup tirai 2011 ibarat membuka lembaran baru untuk industri perfileman tempatan.

Syabas kepada pengarah Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak kerana menghadiahkan Malaysia dengan sebuah naskhah yang sangat baik. Sudah lama saya tidak berasa benar-benar puas apabila menonton filem Melayu.

Songlap berkisar kepada kehidupan dua adik-beradik yang mewakili golongan marhain di Kuala Lumpur. Seawal babak pertama, penonton sudah dapat menangkap bahawa Ad tidak menggemari pekerjaan yang dilakukannya. Ad membantu abangnya, Am dalam urusan jual beli bayi.

Ad mahu memilih jalan hidup yang lain untuk mendapatkan wang. Dia tidak tahu menari shuffle, tetapi rela belajar demi hadiah yang lumayan. Sedangkan Am lebih senang menghabiskan masa dengan berjudi.

Sebagai abang, Am mahu Ad menerima apa saja yang diberikan kepadanya. Tetapi selaku remaja memberontak, Ad sering saja menunjukkan protes. Misalnya berkawan dengan penagih dadah seperti Razak dan mencuri duit tabung untuk bertemu pelacur bernama Rita yang sebenarnya ibu mereka.

Tidak sukar untuk memahami jalan cerita Songlap, terima kasih kepada pengarah yang menjadikan ia mudah dihadam dan diikuti. Begitupun, jiwanya agak kompleks keranaSonglap adalah sebuah filem yang amat menekan perasaan, tetapi sangat seronok untuk disaksikan.

Syafie Naswip ialah seorang pemain yang tidak perlu bersusah-payah meyakinkan penonton bahawa dia aktor hebat. Di bahunya, terpikul beban Ad yang sangat berat tetapi diladeni dengan cemerlang.

Dia mempamerkan setiap gerak dan pertuturan dalam emosi yang sangat minimum, tetapi berkesan dan mengagumkan. Lihat babak ketika dia bertemu Rita di bilik hotel untuk mencari teman bersembang. Matanya menterjemahkan perasaan rindu terhadap kasih sayang seorang ibu yang tidak pernah dirasainya.

Warna dan mood babak ini mengingatkan saya kepada filem-filem Wong Kar Wai (rujuk In the Mood for Love, 2000 atau My Blueberry Nights, 2007). Saya amat menyanjungi bakat Normah Damanhuri, bukan saja sebagai Rita tetapi sebagai pelakon yang mampu memainkan apa saja peranan dengan baik.

Sedar atau tidak, Normah adalah seorang bintang yang mampu survive dalam apa jua keadaan - drama atau filem, naskhah bijak atau kurang bijak, material untuk festival atau tidak - dia sentiasa tampil dengan persembahan yang memberangsangkan.

Shaheizy Sam juga memahami karakter Am dengan jelas serta mentafsirkan setiap perasaan dengan tepat. Penonton dapat merasai amarah dan tekanannya untuk terus hidup dalam dilema, kerana dia tahu sampai bila dia harus menjual manusia demi perut sendiri.

Babak dia menengking Hawa, meminta supaya Hawa menyerahkan bayinya, adalah refleksi kehidupan Am yang dibuang ibu. Am menjerit sambil memukul-mukul pahanya sendiri, membayangkan derita bagaimana sukar menjadi insan yang tidak mendapat hak kehidupan yang sepatutnya.

Effendee dan Fariza membawakan dunia kotor anak-anak jalanan dalam dunia sinematik yang sangat indah. Penonton mungkin berasa jijik, dalam masa sama tersayat hati kerana mereka adalah mangsa keruntuhan institusi keluarga.

Saya menyukai cara pengarah memberitahu penonton tentang sesuatu perkara tanpa pelakon menyebutkannya. Sebagai contoh, Ad mula mengetahui siapa Hawa apabila melihat gadis itu memiliki jaketnya yang tertinggal pada malam kematian Razak.

Sama halnya dengan adegan bapa Hawa mengoyakkan foto keluarga sehingga keratan itu meninggalkan gambar mereka berdua. Terdapat juga satu babak yang sangat subtle, di mana bapa Hawa merenung gambar anaknya dalam teksi di celah-celah semak dalam kegelapan malam.

Omar Abdullah yang memeran peranan bapa tidak memerlukan perbuatan fizikal untuk kelihatan kejam. Tetapi riak wajah dan bahasa tubuhnya sudah cukup melahirkan perasaan benci. Penonton seakan bersorak apabila Hawa sendiri yang menjatuhkan 'hukuman' terhadap bapanya di penghujung cerita.

Sebagai pelakon baru, Sara Ali tidak mengecewakan. Dia boleh menjadi lebih baik jika lebih berpengalaman. Namun, beraksi di samping pelakon-pelakon besar, Sara tidak tenggelam. Persembahannya melengkapi yang lain.

Sejujurnya, Songlap bagi saya adalah sebuah filem Melayu yang hampir sempurna. Tiada apa yang ingin saya adukan. Kerja kamera dan suntingannya kemas. Latar muziknya juga kena dengan emosi. Malah saya amat bersetuju dengan pilihan lagu semasa babak kemuncak kejar-mengejar kereta.

Penceritaan bergerak baik. Ada ketikanya sedikit perlahan. Tetapi pada ruang-ruang itulah pengarah mengembangkan cerita dan watak-wataknya.

Barangkali, Songlap berakhir tidak seperti yang diharapkan sesetengah penonton.

Ad dan Hawa meninggalkan Kuala Lumpur yang menakutkan. Sedang Am masih berlari-lari tanpa arah yang pasti. Saya melihat penamat itu sebagai satu simbolik yang melegakan. Seperti industri perfileman tempatan. Sekurang-kurangnya kita masih ada harapan.

No comments: