Thursday, December 1, 2011

50/50 (2011)

50/50 markah penuh
Oleh SYAZWAN ZAKARIAH
syazwan_zakariah@astro.com.my
SEKALI imbas, kanser dan komedi bukanlah satu gabungan yang ideal. Kanser ialah subjek yang sangat sensitif, harus ditangani berhati-hati dan tidak sesuai untuk dijadikan bahan jenaka. Silap percaturan ia boleh menyinggung perasaan.
Filem 50/50 bagaimanapun bukanlah yang pertama mencuba kombinasi tersebut. Judd Apatow terlebih dulu melakukannya menerusi Funny People (2009), tetapi kurang berhasil.
Filem itu menerima reaksi yang pelbagai dan tidak termasuk dalam senarai komedinya terbaik seperti The 40 Year Old Virgin (2005) atau Knocked Up (2007). Tidak mudah untuk membuatkan penonton ketawa atau berasa selesa terhadap perkara yang dikaitkan dengan kematian.
50/50 mengisahkan Adam, penyelidik di Seattle Public Radio yang berusia 27 tahun. Dia digambarkan sebagai seorang lelaki yang jujur, patuh kepada peraturan dan tidak merokok, malah tidak memandu kereta kerana menganggapnya sebagai merbahaya.
Hidupnya berubah apabila disahkan mengidap sejenis barah tulang belakang. Di sisi Adam, terdapat beberapa individu penting sepanjang dia melalui proses penerimaan dan penyembuhan.
Dia mendapatkan kaunseling daripada doktor muda, Katherine. Dalam masa sama hubungannya dengan teman wanita, Rachel menemui jalan buntu. Adam juga mula menghargai perhubungannya dengan ibu bapa, persahabatan dengan Kyle dan mendapat kawan baru semasa menjalani kemoterapi.
Bayangkan jika anda berada di tempat Adam - diberitahu secara tiba-tiba akan ajal yang menanti ketika usia masih muda dan belum bersedia untuk mati.
Di sinilah terletaknya keberanian dan kekuatan skrip tulisan Will Reiser. Berdasarkan kisahnya sendiri yang pernah bertarung dengan tumor, Reiser cuba melawan ketakutan dan kegelapan itu dengan humor.
Setiap karakter dipersembahkan dengan pembinaan yang dinamik. Mungkin terdapat sedikit kekasaran pada dialog atau jenaka yang lucah, tetapi ia segera dimaafkan kerana watak-watak ini diisi dengan emosi manusia yang sebenar.
Menonton 50/50 seolah-olah menyaksikan sebuah dokumentari seorang pesakit kanser dan kehidupan di sekelilingnya.
Reiser bertuah kerana pengarah, Jonathan Levine (The Wackness, 2008) memahami naskhah asal. Dia berjaya mengimbangi elemen jenaka dan dramatik, membuatkan penonton tidak rasa bersalah untuk ketawa, juga membuatkan penonton tidak berasa malu untuk mengalirkan airmata.
Di tangan Reiser dan Levine, mereka tidak memanipulasi kesedihan secara berlebihan. Tetapi tidak juga mengusulkan jenaka yang keterlaluan. Filem ini memberi perspektif yang tulus bagaimana kanser dapat mengubah cara seseorang melihat kehidupan dalam skop yang lebih meluas.
Perkara terbaik mengenai 50/50 ialah pemilihan Joseph Gordon-Levitt sebagai Adam. Peranan itu sempurna di bahunya dengan pendekatan yang sangat semulajadi.
Dia membawa penonton merasai apa yang dilalui Adam. Bermula daripada berita kanser, sikap tenang dan optimisnya sehinggalah kemuncak ketakutannya. Menyaksikan survival Adam untuk terus hidup membuatkan penonton seperti mengenali dan memahami perasaannya.
Justeru, saya tidak dapat membayangkan jika tiada seorang pun yang tidak mengalirkan air mata atau sekurang-kurangnya tersentuh dengan penderitaan Adam. Seorang penonton lelaki di sebelah saya menangis teresak-esak tanpa segan-silu. Malah pada beberapa babak, pawagam tiba-tiba menjadi sunyi sepi.
Saya akui tidak meminati Seth Rogen dan gaya jenakanya yang menjengkelkan. Namun, watak Kyle sangat secocok, dibantu keserasian dengan Gordon-Levitt. Apatah lagi dalam kehidupan sebenar, Rogen memang sahabat baik kepada Reiser. Jadi tiada orang lain yang lebih tepat untuk melakonkannya.
Bintang pembantu lain turut memberi sokongan yang baik terhadap filem ini, terutamanya Anjelica Huston yang memberikan cukup empati menerusi peranan ibu serta watak Katherine, kaunselor muda yang tidak berpengalaman lakonan Anna Kendrick.
Saya agak hairan mengapa aktres berbakat hebat sepertinya menerima tawaran berlakon dalam siri filem Twilight (2008-2012), tetapi 'dosa'nya itu sudah ditebus menerusi lakonan bertaraf calon Oscar dalam Up In The Air (2009).
Saya menonton filem ini dua kali di pawagam kerana dua sebab. Pertama, kerana saya benar-benar menyukainya dan kedua, kerana saya cuba mencari kelemahan. Malangnya, saya gagal menemui sebarang kecacatan kerana ini adalah sebuah filem 'kecil' yang berjiwa besar dan penceritaannya jelas.
50/50 ialah sebuah kisah yang jujur tentang kehidupan yang tidak semestinya indah, tetapi tidak menekan penonton. Ya, kita pasti menangis, tetapi ia tidak membuatkan kita sedih, sebaliknya meninggalkan pawagam dengan perasaan positif dan penuh inspirasi.
Saya mengharapkan filem ini dipandang pada musim anugerah akan datang, terutamanya untuk Gordon-Levitt. Filem ini mendapat markah penuh kerana dia.

1 comment:

Adrian said...

filem ini memang best