Thursday, September 29, 2011

BINI-BINIKU GANGSTER (2011)


Lebih gedik dari ganas

Judul filem ini mengingatkan penonton kepada francais popular Korea, My Wife Is A Gangster (2001-2006). Dibikin semula dalam versi Cina tahun lalu, kejayaan besar siri itu barangkali mencetuskan ilham kepada Yana Samsudin dan Fadzil Zahari untuk menulis skrip dan mengadaptasikannya kepada citarasa tempatan.

Bagaimanapun, Bini-Biniku Gangster bukanlah filem ciplak mahupun saduran, biarpun secara jelas ideanya tidak asli. Filem ini meneruskan ketaksuban pembuat filem kita terhadap budaya samseng selepas Kongsi dan KL Gangster (2011); seperti mana mereka pernah obses dengan filem-filem rempit dan hantu.

Bini-Biniku Gangster bermula dengan fokus kepada kehidupan pasangan suami isteri, Herry dan Manja. Di sebalik kelembutan dan kebijaksanaan Manja menguruskan rumah tangga, Herry tidak mengetahui isterinya itu ialah kepala gangster yang dikenali sebagai Kak Yong.

Selepas dua tahun berkahwin, mereka masih tidak dikurniakan cahaya mata. Manja yang sedar akan keinginan suaminya mencarikan jodoh baru dengan meminang Reanna, rakan setugas Herry untuk dijadikan madu. Reanna sebenarnya ialah adik kepada Min Siam, musuh ketat kumpulan gangster Manja.

Watak Reanna yang diputihkan pada mulanya, kemudian didedahkan sebagai gangster, bukanlah satu elemen kejutan. Melalui tajuk filem pun, penonton sudah boleh mengagak. Justeru, apa yang ingin diketahui ialah konflik di antara Herry, Manja dan Reanna.

Menyaksikan karakter komikal mereka yang sengaja dilebih-lebihkan, saya sedar ini bukanlah naskhah untuk diambil serius. Bukan bermaksud jangan peduli, tetapi ia dibuat semata-mata sebagai wadah mengisi masa lapang. Rasanya filem ini tidak berhasrat menjadi sebuah komedi klasik.

Bini-Biniku Gangster adalah sebuah filem yang ringkas. Jalan ceritanya tersusun dan tidak merumitkan, cuma sedikit longgar pada penghujung. Selepas bermain dengan macam-macam idea dari awal cerita, penulis skrip enggan menjadi lebih kreatif apabila mencipta kesimpulan dengan cara yang mudah.

Penamat itu seakan satu jalan pintas untuk memberitahu sebenarnya tiada siapa pun yang terancam kerana mereka semua datang dari dunia gangster. Ini menjadikan plot Bini-Biniku Gangster tidak cukup ‘adventurous’ dan tidak di luar kotak. Kejutan itu bukan saja tidak meyakinkan, malah klise.

Filem ini tidak membawa apa-apa faktor-x untuk dikenang. Ia sekadar mengulangi apa yang pernah kita tonton dalam filem aksi komedi lain. Kalau berbeza pun, watak-watak wanita lebih dominan bersesuaian tema dan tajuk.

Mungkin kerana itu, sikap gedik yang dibawakan pelakon lebih menonjol dari babak-babak ganas. Kerana filem ini ditunjangi wanita, maka ganas yang dipamerkan itu ‘dilembutkan’ dan dikurangkan.

Sebagai pelakon bukan komedi, Yana Samsudin, Intan Ladyana dan Shaheizy Sam mampu membuatkan penonton ketawa menerusi dialog-dialog dan gerak tubuh. Mereka tiada masalah dalam mencari keserasian.

Gaya manja Sam menjadikan dia lebih digilai penonton, manakala Yana dan Intan membuktikan mereka pelakon versatil yang berani menggalas pelbagai watak.

Saya tertarik dengan karakter Mat Saja lakonan Zalif Sidek. Wataknya tidaklah begitu penting kepada penceritaan, tetapi apa memberikan impak ialah lakonan bersahajanya. Zalif dilihat sebagai pesaing kepada pembawa watak-watak comic relief yang selama ini dikuasai Angah, Along, Zizan atau Johan.

Berkesan atau tidak Bini-Biniku Gangster, saya percaya Ismail Bob Hasim akan terus mengarah. Seperti penerbit David Teo, saya juga percaya pengarah ini berpotensi menjana kutipan box office dalam filem-filemnya yang akan datang, seperti yang dibuktikan menerusi filem pertama arahannya, Ngangkung (2010).

No comments: