Thursday, September 8, 2011

KARIPAP KARIPAP CINTA (2011)

Hafsham kekal resipi


SALAH satu adegan lucu yang dipaparkan dalam filem arahan Hafsham.


SAYA lahir dari generasi yang membesar dengan filem arahan Othman Hafsham seperti Adik Manja (1980), Mekanik (1983), Rahsia (1987) dan Driving School (1990). Setiap satu saya sifatkan sebagai naskhah klasik, di mana sehingga kini saya masih mengingati babak demi babak dan dialog-dialognya.

Masuk alaf baru, sentuhannya masih menjadi apabila Soal Hati (2000) menerima sambutan hangat sehingga disambung kepada Soalnya Siapa? (2002). Hari ini, sutradara berusia 72 tahun ini mahu menyentuh hati penonton muda menerusi Karipap-Karipap Cinta, adaptasi novel popular karya Nazri M. Annuar.

Saya memahami justifikasi Hafsham apabila meminta Nazri mengolah sendiri lakon layarnya, biarpun penulis itu tidak berpengalaman menghasilkan skrip. Menterjemah novel kepada bahasa visual tentunya berbeza, tetapi Hafsham barangkali sekadar berjaga-jaga agar 'jiwa remaja' novel itu kekal di layar perak.

Karipap-Karipap Cinta mengisahkan Ali, seorang pekerja syarikat majalah yang menganggap kehidupan sebagai perkara sambil lewa. Dia jatuh cinta pandang pertama kepada Sarah, gadis lulusan Universiti Al-Azhar yang bukan saja pandai bersilat, tetapi juga bijak memasak karipap.

Demi memikat gadis impiannya, Ali berbohong sebagai graduan universiti yang sama, apatah lagi bila mendapat tahu Sarah bakal dijodohkan dengan ustaz. Dia juga sanggup memecah masuk rumah majikan sendiri, untuk mendapatkan dokumen yang boleh membersihkan nama bapa Sarah dari skandal rasuah.

Nazri mempunyai idea yang menarik dalam mencipta situasi komedi dan cinta. Susur galurnya ringkas dan perbualannya selamba, mudah untuk difahami generasi masa kini. Filem ini berjaya muncul dengan beberapa 'punch line' yang agak berkesan, meskipun tidak dapat lari dari elemen-elemen jenaka ala Senario.

Misalnya, kewujudan sidekick Ali lakonan P. Jagen, Shawal AF5 dan Elyas Iskandar yang mengingatkan saya kepada watak-watak pembantu yang stereotaip yang melakukan apa saja untuk membuatkan penonton ketawa. Namun demikian tidak semua lawaknya menjadi, ada yang separuh masak.

Saya kurang memahami sub-plot jiran Ali, lakonan bintang baru Shamira Azmil (anak kepada Azmil Mustapha) yang obses dengan jejaka itu. Walaupun adegan-adegan yang membabitkan mereka menimbulkan sedikit kelucuan, tetapi ia tidak memberi kesan, mahupun kesinambungan kepada keseluruhan jalan cerita.

Saya kira, salah satu formula bagaimana filem komedi romantik boleh berjaya ialah gandingan dua pelakon utama yang 'kuat'. Mereka tidak semestinya hebat, asal saja dapat menimbulkan keserasian dan saling melengkapi. Ini kerana mereka dan sekeliling yang berlaku di antara mereka menjadi fokus.

Gambit Saifullah merupakan pilihan yang mungkin tidak terlalu tepat, tetapi sesuai untuk watak Ali. Terdapat beberapa sifat Ali seperti poyo dan yakin diri yang kena dengan bahasa tubuh Gambit. Tetapi ada waktu-waktunya nampak seperti tidak asli. Puncanya kerana hero tidak secocok dengan heroin, Melia Aimellia.

Sarah sebenarnya satu karakter yang dominan dan bukan calang-calang. Dia seorang wanita yang berperibadi tinggi. Tetapi dalam masa sama masih seperti gadis lain yang ingin mencari cinta dan keluar berpacaran dengan lelaki idaman.

Bukan Melia tidak berusaha, tetapi mungkin kerana kurang pengalaman dan tunjuk ajar, watak Sarah dizahirkan tanpa naluri. Peranan itu seharusnya menjadi peranan yang menyeronokkan dan dinanti-nantikan kemunculannya.

Namun di tangan Melia, perkara itu tidak terjadi. Malah saya amat rimas dengan gaya tudungnya yang tidak kemas. Melihat luarannya juga, saya tidak percaya apabila Sarah dikatakan antara 10 pelajar terbaik Universiti Al-Azhar semasa tahun pengajiannya.

Karipap-Karipap Cinta terhasil sebagai sebuah filem yang mempunyai perasaan dan wajah era 1990an. Saya tidak pasti jika itu satu perkara yang baik atau sebaliknya. Bagaimanapun, Hafsham masih mengekalkan resepi komedi dengan tempo dan ritma yang betul.

Naskhah ini juga dilihat segar, mengaitkan makanan sebagai subjek dan penyambung kepada rasa kasih. Kemunculan Eman Manan juga yang membawakan watak komikal, terutamanya ketika menyanyikan lagu Liyana Jasmay, memberi harapan bahawa filem ini masih mampu menghiburkan.

No comments: