Thursday, August 25, 2011

FINAL DESTINATION 5 (2011)

Jadikan kelima yang terakhir


FILEM Final Destination 5 tidak berupaya menandingi filem terawal daripada francais filem ini.


SAYA tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk Final Destination 5. Selepas sebelas tahun francais filem ini diperkenalkan dan menyaksikan keempat-empat filem sebelumnya, saya dapat mengagak apa yang bertukar hanyalah pelakon dan set.

Dengan sedikit olahan di sini sana, helah dan plotnya masih serupa. Saya menyifatkan Final Destination (2001) sebagai filem seram paling ngeri yang pernah saya tonton.

Ideanya asli, jalan ceritanya sukar dijangka dan babak-babak kematiannya sangat menyiksakan. Pengalaman pertama kali menontonnya membuatkan saya teringat-ingat, tetapi tidak buat filem-filem seterusnya.

Selepas menonton filem kelima, harapan saya bertambah rendah dari apa yang dijangkakan. Jalan cerita tidak berubah. Seorang jejaka mendapat mimpi, kali ini di dalam bas, di mana jambatan yang mereka lalui akan runtuh dan mengorbankan beratus nyawa.

Mimpi itu kemudiannya menjadi realiti dan mereka yang terselamat diburu maut satu demi satu. Jejaka tadi harus mengingati semula kronologi kematian di dalam mimpinya supaya mereka boleh ‘melarikan diri’ dari ajal.

Aspek lakonan sangat mendukacitakan. Selepas lima minit filem berputar (tidak termasuk durasi montaj kredit yang panjang - lebih dua minit!), saya sudah mula menggelengkan kepala.

Para pelakon nampak amatur dan tiada keserasian. Mereka hanya menyebut dialog seperti membaca tele-prompter dan berusaha keras semasa adegan kematian.

Francais ini yang asalnya dibarisi bintang popular, akhirnya diganti-ganti dengan wajah baru yang kurang dikenali.

Penerbit tahu, mereka tidak perlu bergantung kepada populariti pelakon, sebaliknya jenama Final Destination itu sendiri. Barangkali juga, ia memang disengajakan agar penonton tidak terlalu ‘terikat’ dengan pelakon kerana watak mereka akan mati bila-bila masa saja.

Yang kekal hanyalah Tony Todd sebagai Mr. Bludworth, koroner yang sering muncul secara misteri untuk mengingatkan bakal mangsa tentang ajal. Todd kembali dalam filem kelima selepas ‘menghilang’ pada filem ketiga dan keempat.

Bencana kematian yang berlaku, tidak dinafikan sangat dahsyat dan melampau-lampau. Elemen suspen masih dirasai kerana cara kematian atau setiap tragedi itu ditulis dalam corak yang sukar dijangka. Bagaimanapun, ‘keseronokan’ dimomokkan dengan perasaan takut dan debar hanya bersifat sementara.

Plotnya sedikit longgar dan momentumnya mendatar. Mungkin kerana pengarah dan penulis skrip lebih ghairah menunjukkan kematian semata-mata.

Namun demikian, plot Final Destination 5 mempunyai ‘taktik’ baru untuk mengelak ajal dengan mengorbankan orang lain demi menyelamatkan nyawa sendiri.

Penamatnya tidak mengejutkan, malah boleh dikatakan membosankan. Sebaik saja filem ini tamat, impak kekal terhadap filem ini tidak dirasai.

Efek 3D yang digunakan lebih baik dari Final Destination 4 (2009) kerana peredaran masa dan peningkatan teknologi. Tetapi kesan khas yang canggih saja tidak menjamin kualiti cerita dan keseluruhan filem.

Tanpa 3D pun, filem ini masih memberi kesan yang sama. Alasan ini hanyalah filem hiburan semata-mata membuatkan pembikinnya tidak serius dan malas.

Saya yakin francais ini bakal diteruskan, jika tidak sekarang, mungkin sepuluh tahun lagi. Siri seram seperti ini sentiasa mengaut keuntungan dan mempunyai pengikut sendiri walaupun semakin lama ia menjadi semakin teruk.

Jika ditanya pada saya, biarlah ia berakhir setakat ini saja sebelum saya membencinya. Saya masih mahu mengenang francais Final Destination sebagai antara idea paling unik dan kreatif dari sinema Hollywood.

No comments: