Thursday, August 4, 2011

CAPTAIN AMERICA: THE FIRST AVENGER (2011)


Ikon kapten

BERLATAR belakangkan tahun 1942 ketika Perang Dunia Kedua, penonton dibawa mengenali Steve Rogers yang tidak berputus asa untuk menyertai tentera walaupun ditolak beberapa kali kerana saiz tubuh yang kecil dan mengidap asma.

Seorang saintis bernama Dr. Abraham Erskine melihat potensi yang ada pada Rogers iaitu kejujuran dan kemahuan semulajadinya untuk mempertahankan negara.

Lalu Rogers dipilih untuk satu eksperimen ‘tentera luar biasa’. Tubuhnya berubah menjadi sasa dan mempunyai kekuatan berganda dari sebelumnya.

Rogers dijadikan ikon wira propaganda Amerika, mempunyai komiknya sendiri dan menyertai persembahan jelajah dari negeri ke negeri.

Begitu pun, Rogers tidak hanya mahu dijadikan model dan bahan jenaka. Dengan bantuan Peggy Carter dan Howard Stark, dia benar-benar turun ke medan perang.

Dia harus menghapuskan ejen Nazi, Johann Schmidt atau nama jahatnya Red Skull yang mengetuai kumpulan pengganas Hydra.

Captain America: The First Avenger merupakan sebuah lagi naskhah adaptasi komik Marvel selepas Thor, Spider-Man, Iron Man dan banyak lagi.

Filem ini menjadi salam pengenalan kepada perhimpunan adiwira Marvel tahun depan menerusi filem The Avengers (lihat kemunculan Howard Stark, bapa Tony Stark/Iron Man; juga babak akhir kehadiran istimewa Samuel L. Jackson sebagai Nick Fury).

Adalah tidak wajar untuk mempersoalkan unsur-unsur fantasinya; walaupun saya sendiri cuba memahami mengapa tentera yang disuntik serum steroid lebih disanjung berbanding tentera yang menggunakan kudrat dan tenaga sebenar.

Bagaimanapun, seperti kata Dr. Erskine, serum itu mampu menjadikan seseorang yang berhati mulia bertambah mulia dan seseorang yang tidak jujur bertambah tamak.

Justeru, Rogers sememangnya lelaki yang patut diteladani sifat dan semangatnya – sebelum dan selepas eksperimen dilakukan.

Di tangan penulis Christopher Markus dan Stephen McFeely, lakon layar Captain America terbina dengan kukuh dan dinamik.

Pengarah Joe Johnston (The Rocketeer, 1991; Jurassic Park III, 2001) berjaya mentafsirkannya ke layar perak dengan merakam mood filem-filem tentera ala John Wayne, dalam masa sama memberikan nuansa moden menerusi warna, dialog dan teknik aksi.

Perjalanan ceritanya mengikut manual filem-filem adiwira sebelum ini; dari seorang lelaki lemah kepada gagah, didampingi karakter wanita yang menyokong dan beberapa watak sampingan yang asalnya meragui, tetapi kemudian membantu.

Biarpun tipikal, pembangunan emosi tidak diabaikan. Selepas sekian lama sinonim dengan watak adiwira Johnny Storm dalam dua filem Fantastic Four (2005 dan 2007), saya mulanya sangsi dengan keupayaan Chris Evans.

Namun, saya tersilap kerana dengan mudahnya ‘uniform’ Rogers/Captain America disarung pelakon ini.

Biarpun sebelum disuntik serum, tubuh CGI Evans kelihatan agak pelik, namun ia tidak menghilangkan keyakinan penonton bahawa Rogers hanyalah budak baik dari Queens yang mahu berjuang demi negara tanpa ada muslihat lain.

Evans memiliki sepasang mata yang mampu membuatkan orang percaya kepadanya. Walaupun loghatnya sedikit gagal, Hugo Weaving tetap menonjol sebagai Red Skull.

Dia membawakan peranan itu dengan penuh stail; tidak begitu menjengkelkan, tetapi sangat kejam manakala Tommy Lee Jones sebagai Colonel Chester Phillips ibarat pelawak yang melontarkan sebaris dua humor dengan bersahaja.

Hayley Atwell barangkali tidak sepopular heroin lain, tetapi kemunculannya sangat dirasai. Dia memberi justifikasi terhadap watak tentera wanita yang tegas dan memendam rasa kepada Rogers.

Captain America adalah sebuah filem yang ringkas, tetapi menghiburkan. Penulis skrip dan pengarahnya tidak melebih-lebihkan sesuatu aspek; baik dalam CGI mahupun aspek sosio-politik, di mana filem-filem Hollywood lazimnya dengan lantang mahu menunjukkan kehebatan Amerika.

Captain America juga adalah antara filem adiwira terbaik tahun ini, selepas The Green Lantern dan The Green Hornet membuatkan saya menyesal menontonnya.

No comments: