Thursday, August 11, 2011

RISE OF THE PLANET OF THE APES (2011)


Kebangkitan Andy Serkis

SAYA tidak pernah menonton francais asal Planet of The Apes yang mengandungi lima filem (1968-1973). Begitu juga dengan siri televisyennya (1975-1981).

Kalau ada pun, ketika itu saya masih kecil dan ingat-ingat lupa. Apa yang saya tahu sekadar di permulaan iaitu kisah mawas yang ingin menentang manusia.

Justeru, bila saya menonton bikin semula Planet of The Apes yang dihasilkan pengarah terkenal Tim Burton pada 2001, saya kurang faham mengapa francais ini menjadi fenomena. Saya tidak pasti jika versi itu yang tidak memenuhi jangkaan dan cita rasa saya, atau imaginasi Burton yang memang buruk.

Penilaian saya terhadap filem terbaru, Rise of the Planet of the Apes (Rise) tidak berdasarkan dari mana-mana filem sebelumnya, meskipun versi arahan Rupert Wyatt ini dikatakan prekuel kepada francais asal.

Jika itu benar, saya gembira kerana ia merupakan sebuah permulaan yang baik dengan plot yang lengkap.

Tidak seperti francais Transformers (2007-2011) di mana perkelahian robot-robot gergasi menenggelamkan jalan cerita, Rise dipandu oleh plot yang kuat.

Wyatt memahami naskhah tulisan Rick Jaffa dan Amanda Silver dalam menghasilkan sebuah kraf, yang bagi saya, antara filem terbaik musim panas ini.

Walaupun efeknya diuar-uarkan sehebat Avatar (2010) - kerana menggunakan teknologi motion-capture dan dijenterakan syarikat kesan khas yang sama - ia bukan sekadar indah di luaran. Kesan khasnya mampu memberi jiwa, terutama sekali kepada watak Caesar yang dimainkan Andy Serkis dengan cemerlang.

Rise adalah contoh bahawa kesan khas bukan sekadar untuk bermegah-megah dan menjadikan filem kelihatan mahal, tetapi bagaimana ia dimanipulasikan dengan efektif.

James Franco memainkan peranan saintis bernama Will Rodman yang menjalankan eksperimen mencari penawar Alzheimer. Melakukan uji kaji ke atas mawas bernama Bright Eyes, projek itu dimansuhkan apabila Bright Eyes mengamuk dan mengancam keselamatan sehingga terpaksa ditembak.

Bagaimanapun, pemergian Bright Eyes meninggalkan anaknya yang baru saja dilahirkan. Will menyeludup keluar bayi mawas itu, lalu memelihara dan mengajarnya seperti manusia. Bayi mawas yang dinamakan Caesar itu mewarisi keupayaan kognitif ibunya hasil eksperimen tersebut.

Meningkat dewasa, Caesar menjadi keliru. Dia tidak dibenarkan bebas meneroka dunia luar, apatah lagi hidupnya hanya dikelilingi manusia yang tidak sepertinya.

Sementara itu, Will terus terdesak untuk menjadikan penawar Alzheimer satu kenyataan demi bapanya yang semakin lemah daya ingatan.

Satu insiden menyebabkan Caesar ditangkap, lalu ditempatkan di pusat penjagaan cimpanzi yang sah. Terasa dikhianati, dia akhirnya memberontak dan di sinilah berlakunya 'peperangan' di antara mawas dan manusia yang memusnahkan bandar San Francisco.

Saya menyifatkan Caesar sebagai karakter separa animasi terbaik dalam sejarah Hollywood. Menjadi protagonis dan antagonis dalam masa yang sama, perasaan amarah, ketakutan dan kesuciannya mampu dikongsi penonton.

Sebagai sebuah filem blockbuster, Rise tidak lari dari elemen klise seperti watak penjaga mawas yang kejam lakonan Tom Felton, yang ada kalanya nampak keterlaluan.

Rise tidak akan menjadi sehebat ini tanpa pelakon sebagus Serkis. Kekuatan Caesar bukan hanya pada CGI dan skrip yang baik, tetapi kebolehan Serkis menggerakkan watak itu menerusi bahasa tubuhnya.

Dia pernah mengagumkan saya menerusi watak Gollum dari siri The Lord of the Rings (2001-2003) dan sebagai Kong dalam King Kong (2005).

Sudah tiba masanya Oscar menghargai susah payah Serkis dengan sekurang-kurangnya satu pencalonan tahun ini.

Sementara itu, tidak banyak yang boleh diulas mengenai lakonan Franco. Watak itu memang sesuai buatnya selepas nama Tobey Maguire dilucutkan.

Begitu juga dengan Freida Pinto yang sekadar menjadi teman wanita Franco tanpa apa-apa fungsi lain.

Saya sukakan beberapa momen sinematik yang dicipta Wyatt, seperti babak di mana Steven Jacobs lakonan David Oyelowo dikelilingi mawas di kafeteria makmal.

Saya juga tertarik dengan pendekatan pengarah dan penulis yang 'menjinakkan' keganasan mawas melalui serangan, tetapi bukan menghancurkan atau mengoyakkan daging manusia.

Penamat filem ini membuka kemungkinan untuk sambungan. Saya antara yang berharap ia bakal direalisasikan.


No comments: