Thursday, October 27, 2011

REAL STEEL (2011)

Manusia di sebalik robot


SALAH satu babak perlawanan tinju antara robot dalam filem Real Steel.


BERLATAR belakang masa depan, kurang 10 tahun dari sekarang, sukan tinju didominasi oleh robot. Charlie Kenton, seorang bekas peninju cuba membina kehidupan dengan membawa robotnya, Ambush dari satu tempat ke satu tempat untuk pertandingan.

Ambush kemudian rosak kerana tumpas dan Charlie terdesak untuk mencari robot baru. Secara kebetulan, dia dimaklumkan mempunyai seorang anak lelaki berusia 11 tahun bernama Max, hasil perhubungannya dengan seorang wanita yang kini sudah meninggal dunia.

Berita itu datang dengan tawaran bernilai AS$100,000 jika Charlie sanggup melepaskan hak penjagaan kepada ibu dan bapa saudara Max.

Dia bersetuju, tetapi separuh daripada wang itu hanya akan diperolehi selepas mereka pulang bercuti dari Itali selama dua bulan. Charlie diminta untuk menjaga Max dalam tempoh tersebut.

Max yang sememangnya meminati sukan tinju robot teruja dengan pekerjaan Charlie, biarpun bapanya itu bersikap dingin. Melalui minat dan semangat juang yang sama untuk meneruskan kehidupan, rasanya penonton sudah boleh mengagak apa yang bakal terjadi di antara Charlie dan Max.

Real Steel membuatkan saya berada dalam dilema. Filem ini sebenarnya sangat formulaic, yakni sebuah naskhah tipikal Hollywood yang boleh dijangka kesudahannya dengan susunan lakon layar yang klise.

Penonton juga disajikan dengan deretan 'iklan', daripada komputer HP sehinggalah saluran sukan ESPN. Bagaimanapun, di sebalik 'kebiasaan' dan elemen futuristik yang ditampilkan, Real Steel menekankan tentang manusia biasa dan perhubungan mereka.

Bagi saya, ini sangat 'melegakan' kerana pembikin filem sekarang gemar menjadikan sesuatu yang abnormal sebagai normal.

Sebagai contoh, hubungan intim pontianak dan serigala dengan manusia. Atau sesama ahli sihir, saintis dan makhluk asing. Ataupun robot-robot yang boleh bercakap dengan manusia seperti dalam francais Transformers (2007-2011).

Benar, Real Steel juga berkaitan robot, tetapi robot di dalam filem ini sekadar menjadi penyambung kasih di antara bapa dan anak.

Walaupun ia dipromosikan sebagai filem blockbuster dengan kesan khas dan pertarungan, apa yang lebih menyegarkan ialah melihat insan-insan biasa dan masalah-masalah mereka.

Atom, robot yang dipungut Max di tempat pembuangan ialah medium yang merapatkan hubungan Charlie dan Max. Apatah lagi Atom 'dihidupkan' menerusi semangat manusiawi iaitu sistem kod suara dan teknik meniru bayangan atau gerakan.

Atom ialah simbolik kepada watak Charlie sendiri yang selama ini dianggap tidak berguna tetapi sebenarnya masih mampu berjuang. Manakala bagi Max, Atom ialah alat untuk dia membuktikan kepada bapanya bahawa dia sangat berharga.

Intipati ini berjaya digenggam penonton di sebalik sub plot lain seperti hubungan Charlie dengan teman wanita, Bailey yang mahu menyelamatkan gelanggang tinju lama milik bapanya; serta babak-babak pertarungan sesama robot.

Shawn Levy membuktikan dia bukan hanya boleh mengarah filem komedi seperti Cheaper By The Dozen (2003) atau siri Night At The Museum (2006, 2009) dan Date Night (2010). Real Steel menonjolkan kebolehannya sebagai sutradara filem tentang humanisme yang bertemakan sukan.

Babak-babak pertarungan dibikin kemas dan tidak kelihatan janggal. Kemuncak pertandingan di antara Atom dengan robot berteknologi tinggi, Zeus, berjaya mengepam adrenalin penonton. Ini dibantu skor muzik Danny Elfman yang barangkali tidak begitu asli bunyinya, tetapi efektif.

Penamatnya pula mampu menyentuh penonton. Hugh Jackman adalah pilihan yang tepat untuk watak Charlie, seorang father figure yang bukan saja kuat dan berani secara fizikal, tetapi terselindung kelembutan hati.

Dakota Goyo pula membuka laluannya sebagai bintang masa depan yang perlu diberikan perhatian. Meskipun sedikit kaku pada babak tarian dengan Atom yang kelihatan jelas dikoreograf, dia membuatkan penonton percaya terhadap hubungan Max dan Charlie.

Thursday, October 20, 2011

KLIP 3GP (2011)

Refleksi yang mengganggu

IDEA pembikinan filem Klip 3GP sangat menarik bagi saya. Walaupun agak terlewat kerana penggunaannya sudah bermula seawal era millennium, namun subjeknya masih relevan dengan masyarakat moden; apatah lagi tema sebegini jarang diangkat dalam filem-filem Melayu.

Seperti mana David Fincher menghasilkan The Social Network (2010) tentang evolusi Facebook, Klip 3GP turut mewakili zaman kepesatan teknologi.

Bagaimana ia membawa kesan kepada ketamadunan manusia, walaupun format 3GP sudah sedikit terkebelakang dan kurang diperkatakan hari ini.

Eddie ialah watak yang amat penting dalam Klip 3GP. Dia menjadi penggerak atau ‘pencerita’ kepada empat kisah yang tidak bersangkut-paut di antara satu sama lain, tetapi secara tidak langsung berkait rapat dengannya. Filem ini bermula mengenai Eddie dan akhirnya juga tentang Eddie.

Eddie ialah jejaka muda yang memperolehi kekayaan mudah dengan memperdagangkan klip-klip yang dimuat turun di Internet.

Ketika Eddie menyaksikan klip-klip itu pada satu malam, penonton dibawa mengenali asal-usul serta watak-watak di dalamnya.

Klip Hantu Kebaya Merah ialah mengenai imej seram yang secara tidak sengaja dirakam oleh tiga gadis; Remaja Rogol mengenai gadis sekolah yang diperkosa beramai-ramai dan Maya Eksekutif Terlampau ialah rakaman seks seorang wanita dalam keadaan sedar.

Turut dipaparkan ialah dua karakter lelaki kaki intip yang merakam apa saja perlakuan sumbang, termasuk menceroboh tandas wanita, demi wang.

Tidak dinafikan, idea asal Sofia J. Rhyland terhadap empat cerita ini mempunyai faktor tarikan yang kuat untuk penonton menyaksikan dan mengambil peduli.

Namun begitu, selaku penulis skrip, dia dan pengarah Aidilfitri Mohd. Yunos mempunyai sedikit masalah dalam pengolahan.

Diceritakan secara berselang-seli, susunannya agak melompat-lompat. Benar, penonton masih boleh mengikuti dan memahami setiap satunya, tetapi polanya tidak kemas dan menganggu konsentrasi penonton. Di antara keempat-empat kisah itu, Hantu Kebaya Merah yang paling kurang berkesan.

Segmen ini seakan digarap tergopoh-gapah kerana lakonan yang tidak meyakinkan dan kesan khas yang kelihatan seperti kartun.

Saya kurang pasti jika penulis skrip dan pengarah memang sengaja mahu menjadikannya komikal, tetapi niat itu tidak kesampaian.

Segmen kaki pengintip mungkin melucukan bagi sesetengah penonton kerana dua lelaki itu diwarnakan dengan sifat selamba dan berani. Namun, ia seperti membuka mata kita tentang penyalahgunaan serta manipulasi manusia terhadap teknologi.

Seperti yang disebut oleh salah satu watak, perkara-perkara ini hanya dilakukan kaum Melayu dan ini refleksi kebenaran yang amat membimbangkan.

Saya akui visual yang dipaparkan dalam kisah Remaja Rogol sangat ‘mengganggu’. Pengarah berjaya menimbulkan perasaan cemas, jijik dan kurang selesa pada babak Sandra diperkosa bergilir-gilir, lebih-lebih lagi membabitkan abangnya sendiri.

Adegan Sandra mati dengan mata terbeliak dan berdarah di celah kangkang masih berbekas di fikiran saya.

Walaupun segmen ini dilaksanakan dengan baik, babak-babak awal terasa sedikit meleret, tidak ubah seperti video muzik lagu cinta di antara Sandra dan teman lelakinya.

Barangkali pengarah mahu mengelirukan penonton jika Sandra nanti akan menjadi mangsa teman lelaki atau sebaliknya, kerana kekasihnya itu juga obses merakam gambar Sandra.

Paparan utama Klip 3GP ialah kisah Maya yang diperdaya Sunny, lelaki yang ditemuinya di kelab malam. Dengan pengaruh alkohol, Maya dibawa ke ranjang untuk dirakamkan. Sunny sebenarnya ialah gigolo yang bekerjasama dengan isteri sendiri dalam memeras ugut mangsa-mangsa rakaman.

Pemilihan Mimi dari kumpulan One Nation Emcees untuk menggalas watak Maya adalah keputusan tepat. Karakter itu seolah direka khusus untuknya. Penyanyi yang pertama kali berlakon ini bukan saja tidak kaku beraksi ghairah, malah dia mampu meraih simpati, dalam masa sama menggerunkan penonton apabila bertindak di luar kawalan.

Dibarisi pelakon baru, tidak ramai yang benar-benar menyerlah dalam Klip 3GP. Zahiril Adzim selaku Eddie sekadar menjadi perantara, tidak lebih daripada itu.

Barangkali bukan salah Zahiril, sebaliknya ruang watak yang tidak berkembang. Meskipun dia adalah dalang utama penyebaran klip-klip, kebencian penonton terhadapnya tidak dirasai.

Tidak banyak yang kekok mengenai filem ini, kecuali lakonan beberapa pemain yang amatur dan lokasinya yang dirasakan terlalu jelas ‘menipu’ penonton.

Saya memahami tentang penajaan dan kekangan bajet, tetapi agak mengelirukan apabila apartmen Maya, Sunny dan Eddie kelihatan serupa pada kawasan koridor, di mana beberapa kali penonton diberikan pandangan dari kamera litar. Ini kelihatan seperti mereka berjiran.

Saya menyifatkan gambaran pengarah menerusi sesetengah babak begitu realistik. Namun, saya meragui klasifikasi PG 13 yang diberikan Lembaga Penapis Filem (LPF) kerana ia agak panas dan kurang manis untuk penonton dalam julat 13 hingga 17 tahun.

Thursday, October 13, 2011

AL-HIJAB (2011)

Mesin seram yang baik tetapi...


LAKONAN Maimon Mutalib sebagai Mak Itam (kanan) memberikan aura seram menerusi intonasi suara dan renungan matanya.


NAMA Pierre Andre sangat sinonim dengan naskhah seram. Bermula dengan skrip Jangan Pandang Belakang (2007) yang mencatat kutipan pecah panggung; diikuti Congkak (2008), Jangan Tegur (2009) dan Seru (2011), karyawan muda ini berpotensi besar dalam mencerna dan menjual idea-idea komersial.

Saya menyifatkan Seru, karya arahannya bersama Woo Ming Jin, sebagai antara filem seram Melayu terbaik. Tekniknya tidak asli, tetapi pembikinan yang kemas dalam membangkitkan mood ngeri menjadikannya sebuah filem slasher Melayu yang berjaya.

Justeru apabila Pierre muncul dengan Al-Hijab, harapan saya terhadap kemampuannya meningkat. Apatah lagi dia diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengarah, tanpa kontroversi campur tangan seperti yang berlaku semasa penggambaran Jangan Tegur.

Al-Hijab mengisahkan seorang pelakon tambahan, Rafael yang pertama kali ditawarkan memegang watak utama dalam sebuah filem hantu bertajuk Jalan Mati. Dia mempunyai masalah untuk menghayati skrip kerana tidak percayakan alam ghaib dan perkara-perkara mistik.

Perbualannya bersama teman wanita, Qiss memberi ilham untuk dia memasuki dimensi lain. Qiss dan ibunya menerangkan konsep hijab mata yang boleh dibuka supaya seseorang itu dapat melihat makhluk halus.

Keinginan Rafael dirasai oleh seorang pawang, Mak Tam yang mampu berhubung dengan arwah ibunya. Permintaan Rafael untuk memiliki deria keenam ditunaikan Mak Tam dan kehidupannya tidak lagi serupa selepas itu.

Premis filem ini sangat ringkas dan Pierre menceritakannya dengan lurus. Olahan yang jelas membuatkan penonton mudah menghadam.

Jika dilihat daripada aspek pembangunan plot, cerita Al-Hijab sebenarnya tidak cukup berkembang. Durasi satu jam 30 minit hanya berlegar kepada hasrat Rafael untuk melihat hantu - itu saja. Oleh itu, adegan demi adegan yang direka sekadar mesin seram untuk menyeronokkan penonton.

Selaku penulis lakon layar dan pengarah, Pierre bijak 'memetik suis' pada waktu yang tepat - bila untuk membuatkan penonton berdebar dan bila untuk memunculkan hantu di skrin.

Saya sendiri menonton di celah-celah jari semasa beberapa babak kerana terkesan dengan helah yang sebenarnya bukan baru, tetapi masih mampu membuatkan kimia tubuh berasa takut.

Sebagai contoh, babak Rafael 'mencari' hantu di bangunan tinggalan berek polis dengan menggunakan kamera tangan.

Penonton turut sama mencari imej atau bayangan hantu di celah-celah sawang dan akar pokok yang mencalar. Begitu juga ketika Rafael dalam perjalanan pulang dari rumah Mak Tam apabila keretanya rosak dan terkandas di jalan raya.

Apabila penonton tahu Rafael sudah boleh melihat hantu, mereka berkongsi penglihatan yang sama dengannya. Penonton sendiri tertunggu-tunggu kemunculan makhluk-makhluk hodoh, dibantu sistem bunyi dan muzik latar yang banyak memberikan isyarat waktu untuk menjerit atau memejam mata.

Bagaimanapun, penonton tidak dapat lari daripada membandingkan filem ini dengan Jangan Pandang Belakang. Pierre mengulangi identiti kejutan yang serupa pada babak-babak di dalam rumah, termasuk kisah pendua - hantu menyerupai Qiss, seperti mana hantu menyerupai nenek dalam Jangan Pandang Belakang.

Terdapat satu babak yang saya fikir dilaksanakan dengan baik, iaitu ketika Rafael bermimpi di dalam mimpi.

Saya juga suka dengan babak pembuka filem ini - kereta sesat, jalan mati dan wanita menari di dalam gelap - meskipun ia sekadar imaginasi bagi skrip yang bakal dilakonkan Rafael.

Al-Hijab barangkali akan lebih menarik jika Pierre memasukkan pengalaman-pengalaman Rafael diganggu di lokasi filem Jalan Mati.

Rasanya idea itu lebih memberi impak, berbanding babak-babak awal yang agak panjang ketika Rafael membuat kajian. Penamat filem ini juga mudah dijangka bagi saya.

Ekspresi dan mainan tubuh Pierre sebagai mangsa gangguan sudah pernah ditonton, manakala Nur Fathia sebagai pelakon baru kelihatan sedikit kaku.

Tidak dinafikan, Maimon Mutalib sebagai Mak Tam memberikan aura seram menerusi intonasi suara dan renungan matanya, tetapi bintang sebenar filem ini ialah hantu-hantu yang berada di sekeliling.

Thursday, October 6, 2011

LIBAS (2011)

‘Libasan’ yang tidak mengena


SALAH satu adegan lakonan Beego, Rosyam Nor, Mohd. Fadzly Kamarulzaman dan Johan dalam Libas.


LIBAS meneruskan percubaan pembikin filem tempatan untuk memasukkan elemen sukan dalam naskhah mereka. Usaha ini pernah dilakukan dalam Cinta 100 Ela (2002), Gila Bola (2003) dan Gol & Gincu (2005).

Ketiga-tiganya mengaut kutipan bawah RM1 juta di pawagam, kecuali Sumolah (2007) yang sedikit bernasib baik dengan RM1.2 juta.

Secara kasarnya, Libas mengisahkan satu pertarungan takraw bawah tanah yang disertai delegasi dari seluruh dunia. Pasukan Malaysia yang diketuai ‘Raja Libas’, Adnan Saladin berdepan tekanan untuk bergelar juara demi menyelamatkan bola pusaka jatuh ke tangan pihak lawan, Thailand.

Adnan yang cedera di kaki pada perlawanan lalu diasak jurulatih untuk tidak memalukan negara, apatah lagi selepas salah seorang pemain terkorban. Diburu rasa bersalah, dia terpaksa melatih pemain baru dalam tempoh amat singkat iaitu seminggu sebelum pertandingan bermula.

Dua daripada pemain, Hamadi dan Kumok ditemui secara kebetulan, manakala Megat ialah ahli pasukan lama. Pemilihan Megat membawa padah kerana dia bukan saja mempunyai muslihat untuk memiliki Ratna, bekas tunang Megat tetapi juga seorang pembelot yang menjadi tali barut kepada pasukan Thailand.

Saya tidak mempunyai masalah jika Libas dikatakan mahu meniru filem popular Stephen Chow, Shaolin Soccer (2001). Menilai dari premis cerita, cara plot dibentuk dan efek khasnya, filem ini secara terang-terangan mempunyai beberapa persamaan dan sesiapa pun pasti membandingkannya.

Seperti yang selalu saya tulis dalam ruangan ini, idea sesebuah filem itu tidak semestinya asli seratus peratus. Mana-mana pembikin filem di seluruh dunia pun sering mengitar semula ilham yang sama. tetapi isinya masih berlegar mengenai hitam dan putih sifat manusia.

Begitupun, apa yang membezakan mereka ialah kreativiti – bagaimana penulis lakon layar dan pengarah membuat muslihat untuk menjadikan filem itu seronok ditonton dan berbaloi untuk duit tiket yang dibayar. Sekurang-kurangnya, penonton berhak untuk memahami cerita yang ingin disampaikan.

Maaf, saya merasakan Libas tidak memberikan hak itu kepada penonton. Penceritaannya kucar-kacir dan mengelirukan. Saya boleh mengerti kesimpulan dan mesej yang ingin ditampilkan. Tetapi perinciannya tidak jelas. Penulis skrip, Martias Ali mengabaikan latar watak dan back-story sehingga semuanya kabur.

Banyak persoalan yang bermain di fikiran saya dan tergantung tanpa jawapan. Jika diminta untuk saya bertanya apa dan bagaimana, saya sendiri tidak tahu dari mana hendak dimulakan. Tetapi saya ambil satu contoh iaitu bola takraw pusaka yang menjadi rebutan dan dikatakan simbol kepada maruah negara.

Jika bola itu sangat bernilai, mengapa ia disimpan Adnan secara peribadi, bukan penganjur? Mengapa ada watak seorang lelaki Inggeris yang sanggup menawarkan berjuta dolar kepada pasukan Thailand untuk mendapatkan bola itu? Siapa lelaki itu dan apa motifnya? Adakah bola itu memang mempunyai kuasa sakti kerana berusia lebih 100 tahun?

Bola itu pun hanya ditunjukkan pada penghujung filem kerana motivasi awal peserta dari Amerika, Iraq, Jepun dan Korea bersaing untuk piala dan wang kemenangan AS$100,000.

Adakah pasukan negara lain sedar tentang kewujudan bola mistik itu? Adakah kerana mereka bukan watak-watak utama, lalu penulis skrip tidak peduli? Apa kelebihan Malaysia dan Thailand dapat menggunakan bola istimewa itu semasa bertarung?

Bukan bermaksud untuk mempersoalkan logik. Sesebuah filem berhak untuk mencipta apa jua fiksyen dan fantasi tetapi perkara pokoknya, ia harus difahami penonton. Pembikin filem harus membuatkan penonton percaya dengan apa yang ditunjukkan, bukan sekadar idea tanpa asas.

Pembinaan watak tidak kemas dan tidak meyakinkan. Misalnya, Adnan dikatakan cedera di kaki tetapi sepanjang filem, dia boleh saja bermain takraw dengan cemerlang.

Saya tidak berkenan dengan gambaran watak-watak pasukan dari Thailand. Mereka bercakap dalam bahasa Melayu tetapi mengajuk bunyi orang Siam. Bukankah lebih elok jika bercakap bahasa Thai dan sediakan saja sarikata untuk penonton?

Jika tujuannya untuk jenaka, ia tidak lucu malah, elemen komedi yang dicipta dalam Libas tidak menjadi. Mungkin ada satu dua babak yang membuatkan penonton ketawa, tetapi babak itu tidak memberi kesan kekal.

Sebagai sebuah filem bertemakan sukan, saya tidak teruja untuk menyaksikan pertarungan. Apa yang dipaparkan hanyalah riuh-rendah pemain dan penonton tanpa fokus sebenar. Tahu-tahu saja, sudah ada yang menang dan yang kalah. Suara latar pengulas pertandingan juga sekejap dengar, sekejap tidak.

Penceritaan yang longgar memberi kesan kepada aspek lakonan. Bagaimana saya harus yakin dengan persembahan keseluruhan, jika saya tidak percaya dengan jalan cerita? Namun, saya pasti barisan pelakon sudah mencuba sehabis baik, begitu juga dengan pos-produksi yang menghasilkan kesan khas.