Thursday, October 13, 2011

AL-HIJAB (2011)

Mesin seram yang baik tetapi...


LAKONAN Maimon Mutalib sebagai Mak Itam (kanan) memberikan aura seram menerusi intonasi suara dan renungan matanya.


NAMA Pierre Andre sangat sinonim dengan naskhah seram. Bermula dengan skrip Jangan Pandang Belakang (2007) yang mencatat kutipan pecah panggung; diikuti Congkak (2008), Jangan Tegur (2009) dan Seru (2011), karyawan muda ini berpotensi besar dalam mencerna dan menjual idea-idea komersial.

Saya menyifatkan Seru, karya arahannya bersama Woo Ming Jin, sebagai antara filem seram Melayu terbaik. Tekniknya tidak asli, tetapi pembikinan yang kemas dalam membangkitkan mood ngeri menjadikannya sebuah filem slasher Melayu yang berjaya.

Justeru apabila Pierre muncul dengan Al-Hijab, harapan saya terhadap kemampuannya meningkat. Apatah lagi dia diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengarah, tanpa kontroversi campur tangan seperti yang berlaku semasa penggambaran Jangan Tegur.

Al-Hijab mengisahkan seorang pelakon tambahan, Rafael yang pertama kali ditawarkan memegang watak utama dalam sebuah filem hantu bertajuk Jalan Mati. Dia mempunyai masalah untuk menghayati skrip kerana tidak percayakan alam ghaib dan perkara-perkara mistik.

Perbualannya bersama teman wanita, Qiss memberi ilham untuk dia memasuki dimensi lain. Qiss dan ibunya menerangkan konsep hijab mata yang boleh dibuka supaya seseorang itu dapat melihat makhluk halus.

Keinginan Rafael dirasai oleh seorang pawang, Mak Tam yang mampu berhubung dengan arwah ibunya. Permintaan Rafael untuk memiliki deria keenam ditunaikan Mak Tam dan kehidupannya tidak lagi serupa selepas itu.

Premis filem ini sangat ringkas dan Pierre menceritakannya dengan lurus. Olahan yang jelas membuatkan penonton mudah menghadam.

Jika dilihat daripada aspek pembangunan plot, cerita Al-Hijab sebenarnya tidak cukup berkembang. Durasi satu jam 30 minit hanya berlegar kepada hasrat Rafael untuk melihat hantu - itu saja. Oleh itu, adegan demi adegan yang direka sekadar mesin seram untuk menyeronokkan penonton.

Selaku penulis lakon layar dan pengarah, Pierre bijak 'memetik suis' pada waktu yang tepat - bila untuk membuatkan penonton berdebar dan bila untuk memunculkan hantu di skrin.

Saya sendiri menonton di celah-celah jari semasa beberapa babak kerana terkesan dengan helah yang sebenarnya bukan baru, tetapi masih mampu membuatkan kimia tubuh berasa takut.

Sebagai contoh, babak Rafael 'mencari' hantu di bangunan tinggalan berek polis dengan menggunakan kamera tangan.

Penonton turut sama mencari imej atau bayangan hantu di celah-celah sawang dan akar pokok yang mencalar. Begitu juga ketika Rafael dalam perjalanan pulang dari rumah Mak Tam apabila keretanya rosak dan terkandas di jalan raya.

Apabila penonton tahu Rafael sudah boleh melihat hantu, mereka berkongsi penglihatan yang sama dengannya. Penonton sendiri tertunggu-tunggu kemunculan makhluk-makhluk hodoh, dibantu sistem bunyi dan muzik latar yang banyak memberikan isyarat waktu untuk menjerit atau memejam mata.

Bagaimanapun, penonton tidak dapat lari daripada membandingkan filem ini dengan Jangan Pandang Belakang. Pierre mengulangi identiti kejutan yang serupa pada babak-babak di dalam rumah, termasuk kisah pendua - hantu menyerupai Qiss, seperti mana hantu menyerupai nenek dalam Jangan Pandang Belakang.

Terdapat satu babak yang saya fikir dilaksanakan dengan baik, iaitu ketika Rafael bermimpi di dalam mimpi.

Saya juga suka dengan babak pembuka filem ini - kereta sesat, jalan mati dan wanita menari di dalam gelap - meskipun ia sekadar imaginasi bagi skrip yang bakal dilakonkan Rafael.

Al-Hijab barangkali akan lebih menarik jika Pierre memasukkan pengalaman-pengalaman Rafael diganggu di lokasi filem Jalan Mati.

Rasanya idea itu lebih memberi impak, berbanding babak-babak awal yang agak panjang ketika Rafael membuat kajian. Penamat filem ini juga mudah dijangka bagi saya.

Ekspresi dan mainan tubuh Pierre sebagai mangsa gangguan sudah pernah ditonton, manakala Nur Fathia sebagai pelakon baru kelihatan sedikit kaku.

Tidak dinafikan, Maimon Mutalib sebagai Mak Tam memberikan aura seram menerusi intonasi suara dan renungan matanya, tetapi bintang sebenar filem ini ialah hantu-hantu yang berada di sekeliling.

1 comment:

Ermizi Muhamad said...

Salam. sekadar memberikan pandangan. Saya rasa filem ini bukanlah filem yang menarik dan baik. Banyak kesilapan dari sudut setting dan olahan cerita.

salah satunya, kalau saudari tentang satu perkara. bukankah bila sudah dibukakan hijab, kita akan meneyedari hantu yang sedang ikut kita atau buat apapun, tapi dalam cerita ni boleh terbalik pulakk masa scene dekat lori yang pierre nak tumpang tu. sepatotonya dia yang namapak hantu tu ikut dia. tapi pemandu lori tu pulak yang nampak. TAK LOGIK LANGSUNG! HAHAHAH SALAH! LARI KONTI LAA ! HAHAH .