Jangan terjun dulu
JUDUL filem ini secara terus menerangkan tentang ceritanya. Seorang lelaki berdiri di birai tingkap iaitu perbuatan yang sering dikaitkan dengan cubaan membunuh diri. Tidak dinafikan, ia satu tajuk yang menangkap perhatian, apatah lagi dibarisi pelakon popular, terutamanya Sam Worthington dari Avatar (2010).
Man on a Ledge dimulakan dengan adegan Worthington yang melakonkan watak Nick Cassidy mendaftar masuk ke Hotel Roosevelt di New York. Dia menikmati makan tengah hari di dalam bilik, kemudian mengelap kesemua objek yang disentuhnya untuk memadamkan kesan cap jari.
Cassidy menulis satu nota, membuka tingkap hotel dan berdiri di tepi birai dengan ketinggian beberapa tingkat. Penonton seterusnya dibawa ke belakang, sebulan sebelum kejadian tadi berlaku, di mana Cassidy ditempatkan di sebuah pusat pemulihan sebelum dihantar ke penjara untuk hukuman 25 tahun.
Cassidy ialah seorang pegawai polis yang didapati bersalah kerana merompak. Dia berjaya melarikan diri semasa dibawa menghadiri pengkebumian bapanya.
Kembali ke situasi Cassidy berdiri di tepi tingkap. Orang ramai mula berkumpul sambil mendongak ke atas. Suasana menjadi huru-hara, pihak polis mula mengepung kawasan itu dan memujuk supaya dia kembali masuk ke dalam bilik. Cassidy memberi syarat, dia hanya mahu bercakap dengan detektif Lydia Mercer.
Cassidy sebenarnya mahu membuktikan kepada polis bahawa dia tidak bersalah. Dia memberitahu Mercer dia telah dianiaya oleh seorang hartawan berpengaruh, David Englander dalam satu misi memindahkan berlian berharga. Cassidy diperangkap dan dituduh mencuri berlian tersebut.
Sementara itu, di seberang jalan, adiknya, Joey dan teman wanitanya, Angie sedang cuba menceroboh bilik kebal di pejabat Englander. Mereka mahu mencuri berlian berkenaan sebagai cara untuk membalas dendam.
Worthington bukanlah seorang aktor yang tidak tahu berlakon tetapi selepas melihat dia bergasak dan beraksi dalam filem seperti Terminator Salvation (2009) dan Clash of the Titans (2010), penonton berasa sedikit janggal apabila dia hanya diperlukan untuk statik di sekitar birai tingkap.
Dia cuba untuk 'mencemaskan' penonton menerusi dialog, emosi dan perbuatannya tetapi tidak kesampaian. Selain lakon layar yang lemah, Worthington tidak boleh membawakan watak lelaki Amerika dengan baik kerana masih terbawa-bawa loghat Australia, loghat asal negara kelahirannya.
Elizabeth Banks yang membawakan watak Mercer juga tidak mendapat keadilan. Sebagai seorang perunding yang bertugas untuk memujuk Cassidy, dialog-dialog yang diucapkan tidak cukup meyakinkan agar mangsa menyerah diri. Jika betul Cassidy mahu terjun bangunan, sudah lama dia melakukannya.
Hubungan Cassidy dan Mercer mempunyai peluang untuk dibina dan diteroka dengan baik tetapi penulis skrip Fablo F. Fenjves tidak berupaya melakukannya. Segalanya sekadar di permukaan, penonton tidak merasai sebarang ketegangan mahupun tekanan malah ada masanya ia bertukar menjadi kebosanan.
Sebagai sebuah filem thriller, Man on a Ledge tidak cukup mendebarkan dan tidak bergerak pantas. Walaupun ada beberapa kejutan, ia tidak dapat menutup kelemahan-kelemahan yang jelas. Malah selepas filem ini berakhir, mungkin penonton akan merasakan betapa ia satu idea yang mengarut.
Pembinaan untuk kebanyakan watak hampir tiada. Misalnya, peranan bekas rakan sekerja dan teman baik Cassidy, Mike Ackerman lakonan Anthony Mackie. Penonton tidak diberitahu sehingga filem selesai jika dia sebenarnya terlibat dalam memerangkap Cassidy atau tidak.
Begitu juga dengan detektif Jack Dougherty (Edwards Burns) yang kemunculannya hanya untuk menjengkelkan dan menyakitkan hati Mercer, tidak lebih daripada itu.
Tidak ketinggalan watak seorang wartawan berambut perang yang berani, Suzie Morales lakonan Kyra Sedgwick. Peranan-peranan ini dicipta hanya untuk memenuhi ruang dan tempoh tayangan tanpa kepentingan sebenar.
Untuk memberikan nuansa komedi, watak Joey yang dibawakan bintang remaja Jamie Bell dan kekasihnya, Angie (Genesis Rodriguez) digambarkan sebagai pasangan yang sering bertengkar walaupun sedang melakukan rompakan.
Ada masanya dialog-dialog mereka membuatkan saya tersenyum tetapi kebanyakannya saya rasakan dialog mereka ditulis seperti sebuah sitkom yang teruk. Taktik-taktik mereka menceroboh juga seakan meniru gaya siri filem Mission Impossible (1996) tetapi untuk versi kanak-kanak.
Mujurlah Ed Harris menyumbangkan sinar bintangnya menerusi peranan Englander. Walaupun gambaran watak sebagai tokoh korporat yang korup agak 'cheesy' dan stereotaip, di tangan Harris, ia kelihatan hidup dan dipercayai.
Man on a Ledge adalah percubaan pertama Asger Leth sebagai pengarah filem cereka selepas dokumentarinya, Ghosts of Cite Soleil menang anugerah pencapaian cemerlang daripada Director's Guild of America (DGA) pada 2008.
Cubaannya tidaklah dikategorikan sebagai sampah secara total. Sekurang-kurangnya dia berjaya mendapatkan barisan pelakon yang berkredibiliti.
Leth tidak perlu terjun bangunan kerana malu dengan hasilnya. Cuma dia perlu belajar untuk menghasilkan filem yang bukan saja seronok untuk ditonton tetapi memberikan momen-momen keaslian atau babak untuk dikenang.