Tuesday, March 20, 2012

7 PETALA CINTA (2012)


Mencari dakwah di sebalik purdah

Melabelkan filem dalam satu-satu kategori atau klasifikasi bukanlah perkara yang salah. Penerbit menjadikan ia sebagai strategi pemasaran yang sangat penting. Apa yang dilabelkan itu adalah bayangan terhadap jenis cerita yang bakal disajikan kepada penonton.

Filem 7 Petala Cinta arahan Azhari Zain (Flat 3A, 2011; Hantu Dalam Botol Kicap, 2012) dikelaskan sebagai filem yang berunsurkan Islam. Latar, suasana dan dialognya dicipta mengikut acuan sekian banyak naskhah cinta berteraskan dakwah seperti filem-filem atau drama-drama dari Indonesia.

Hamka ditunangkan dengan Saidatul Nafisah iaitu anak Abi Ikhwan, seorang ustaz di Madrasah Qalbun Salim. Malangnya, dia diberitakan terkorban dalam satu peperangan semasa menyambung pengajian di Yaman.

Attar yang memendam perasaan terhadap Nafisah cuba untuk mengembalikan semangat wanita itu tanpa mengetahui dirinya diperhatikan Hilma Aqilah.

Bagaimanapun, pertemuan tidak sengaja Attar dengan seorang pelacur bernama Nida mengundang bencana. Attar diperangkap sehingga diusir dari Madrasah.

Pernikahannya dengan Nafisah terbatal. Attar yang dulunya seorang perompak kembali diburu konco-konco lama sehingga dia tercedera. Nida kemudiannya menyesal kerana menganiaya Attar, lalu lelaki itu dibawa pulang ke Madrasah. Konflik seterusnya tercetus apabila Hamka yang disangka mati tiba-tiba kembali.

Selepas hampir dua jam menonton, saya menyifatkan 7 Petala Cinta sekadar Islam pada aspek kosmetik. Wajah Islam itu boleh dilihat menerusi tatarias dan busana, bahasa serta set dan lokasinya, tetapi tidak pada rasa. Banyak kepincangan dalam penceritaan membuatkan saya tidak percaya pada kisahnya.

Apa yang merimaskan saya ialah cara mereka bercakap, terutamanya Nafisah (lakonan Shima Anuar). Intonasinya perlahan dan lembik, membuatkan saya tertanya, adakah watak muslimah dimestikan bertutur begitu? Ayat-ayat sehariannya seperti dicedok dari buku sastera seakan bermadah dan berlagu.

Saya tertanya, mengapa mereka menggunakan kata ganti nama sepanjang masa, misalnya "Hilma tidak sampai hati untuk beritahu Saida" sedangkan mereka boleh berkata, "Saya tidak sampai hati untuk beritahu awak".

Barangkali Azhari bersama penulis skrip, Panel MIG, mahu meniru gaya percakapan dalam telenovela Sepanyol atau sinetron. Namun, ia kedengaran sangat janggal dan tidak realistik, seolahnya mereka bercakap tentang orang lain, bukan mengenai diri mereka sendiri.

Watak Nafisah ialah gambaran seorang wanita Islam yang lemah. Kejutan di penghujung membuatkan saya bersimpati dengan nasibnya yang diibaratkan seperti bola. Sekejap dia bakal dijodohkan dengan Attar dan sekejap dengan Hamka. Dia hanya tahu menangis dan menyerahkan bulat-bulat kepada keluarga.

Dia juga seorang yang mementingkan diri sendiri, biarpun mengetahui Hilma sudah lama menyimpan perasaan terhadap Attar. Adakah Nafisah tetap mesti berkahwin, tidak kiralah dengan Attar atau Hamka? Mana pendiriannya?

Maaf, saya mungkin silap, tetapi saya amat meragui tindakan Abi Ikhwan yang melindungi perompak seperti Attar ketika dia melarikan diri daripada polis.

Benar, Abi mahu memberi peluang kepada Attar untuk kembali ke pangkal jalan, tetapi sebagai seorang ustaz yang tinggi ilmu agamanya, dia tidak boleh membuat undang-undang sendiri.

Dia patut menasihatkan Attar supaya bertaubat dan menyerah diri kepada polis. Bukan menyuruh Attar memulangkan barangan yang dicuri dan lepas bebas atas kesilapannya yang lalu. Ketika Attar difitnah Nida juga, Abi membuat keputusan terburu-buru dan penilaiannya sebagai ustaz diragui.

Banyak tanda tanya mengapa sesetengah situasi diwujudkan. Misalnya, bagaimana kain serban Attar tiba-tiba dimiliki Nida, sedangkan sebelum itu Attar tidak pun memakainya? Mengapa Nida tiba-tiba jatuh cinta kepada Attar? Adakah semata-mata selepas lima minit Attar mengingatkan Nida tentang dosa pahala?

Saya merasakan 7 Petala Cinta terlalu mencuba untuk menjadi sebuah naskhah Islamik sehingga segalanya menjadi palsu, memaksa dan direka-reka. Apa yang lebih merunsingkan apabila saya tidak dapat menangkap dakwah yang cuba disampaikan kerana dialog-dialognya tidak 'berisi'.

Saya melihat orang-orang di dalam filem ini seperti terasing dari komuniti masyarakat, seolah mereka berada dalam dunia berbeza. Perlukah nama-nama watak kedengaran seperti Arab semata-mata kerana ini cerita Islamik? Saya percaya ada perkara lain yang lebih patut dititik beratkan seperti lakon layar.

Saya beri contoh filem Emak Ingin Naik Haji (2009) dari Indonesia. Ia tidak dihiasi dengan wanita berpurdah atau lelaki berserban dengan nama yang pelik-pelik. Seingat saya juga, tiada babak berceramah atau berzanji yang panjang.

Namun begitu, kita menonton sebuah hakikat sebenar dan dapat menggenggam inti pati keagamaan dengan tafsiran Islam dalam jiwa yang lebih besar.

Dalam Ayat-Ayat Cinta (2008), kita dapat memahami pengorbanan wanita-wanita yang mencintai Fahri, serta berkongsi perasaan lelaki itu dalam menahan nafsu, kesedihan dan kegembiraan yang bercampur baur.

Tidak keterlaluan juga jika saya meletakkan filem Muallaf (2009) arahan Yasmin Ahmad mempunyai semangat dakwah yang lebih jelas menerusi skrip dan penceritaannya, walaupun wajahnya sebuah filem sekular. Sayang sekali, 7 Petala Cinta tidak memberikan cerminan yang sama. Saya mohon jika pembikin filem kita ingin membuat naskhah yang berteraskan keIslaman, berikanlah ia maruah, tempat dan penjagaan yang seadilnya.

Tuesday, March 13, 2012

BUNOHAN (2012)

Lukisan ciptaan Dain Said
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)

Saya mengibaratkan pengalaman menonton Bunohan selama sejam 37 minit seperti berada di dalam sebuah galeri lukisan. Setiap bingkai yang dilihat mempunyai maksud-maksud sendiri, sama ada secara jelas mahupun tersirat.

Bunohan ialah nama kampung, tempat asal tiga beradik iaitu Ilham, Adil dan Bakar. Mereka kembali dengan tujuan masing-masing. Ilham diupah untuk membunuh adiknya sendiri, Adil, peninju tomoi yang dipaksa pulang untuk bersembunyi, manakala Bakar menginginkan tanah warisan untuk dijual. Bapa mereka, Pok Eng ialah seorang tok dalang wayang kulit. Ibu mereka pula, Mek Yah ialah seorang pawang dan primadona main puteri, sejenis upacara puja semangat bagi menyembuhkan penyakit.

Sekali imbas, Bunohan ialah sebuah filem yang mudah. Tetapi Dain Said selaku penulis dan pengarah (Dukun, 2006) tidak mahu menjadikannya sebagai naskhah yang biasa, lurus dan selapis. Sama ada sengaja atau tidak, Dain mahu penonton kita belajar ‘membaca’ filem, bukan sekadar menonton. Bagi saya, Bunohan ialah sebuah kisah cinta. Babak ketika Mek Yah berbicara dengan ‘semangat’ Pok Eng adalah kesimpulan untuk segalanya. Tengku Azura mungkin bukan pelakon terbaik, tetapi dialog-dialognya sebagai Mek Yah menjadikan penamat filem ini sangat berkesan dan bermakna.

Keluarga Pok Eng menjadi porak-peranda dan berpecah-belah apabila Mek Yah membawa diri, kecewa kerana suaminya berkahwin lain. Dia menukar dirinya menjadi buaya putih, tetapi masih mengawasi dan merawat anak-anaknya ketika mereka memerlukan. Ini bukan cerita seram atau tahyul, tetapi unsur mistikal yang sememangnya wujud dalam masyarakat setempat sejak dulu. Dain ‘memperkenalkan semula’ budaya dan mitos rakyat kita yang bukan aneh, tetapi tidak dipedulikan.

Sama halnya seperti kanak-kanak lelaki, jiran Pok Eng yang selalu datang ke rumahnya untuk bermain. Dia bukanlah hantu, tetapi kerana keakraban mereka, roh mereka bersatu dan dia menjadi pewaris semangat Pok Eng. Secara simbolik, mungkin dia sajalah harapan Pok Eng untuk meneruskan tradisi wayang kulit selepas ketiga-tiga anaknya membawa haluan sendiri. Cara Dain mengangkat dan meraikan permainan tradisi itu berbeza sekali dengan cara Prof. Dr. Hatta Azad Khan dalam Wayang (2008) yang lebih konvensional.

Di sebalik adegan-adegan lasak dan berkelahi yang menjadi faktor pelaris untuk memikat penonton massa, Dain mencipta sebuah drama kekeluargaan yang bukan melankolik seperti dalam Cerekarama, tetapi kuat jati diri Melayunya. Bagaimana Pok Eng berusaha untuk memujuk Adil selepas 27 tahun meminggirkannya, penemuan Adil terhadap dirinya yang sebenar, kerakusan Bakar sehingga sanggup membelot, serta Ilham yang merindui asal-usulnya.

Sukar untuk memahami maksud mimpi Ilham, antaranya piramid di tepi pantai dan bangkai-bangkai buaya bergelimpangan. Imej-imej ini seakan dari peti televisyen, juga imej yang sama dari kotak permainan yang tergantung pada dinding bot usang. Kerana itu, saya menyifatkan Bunohan seperti bingkai-bingkai lukisan. Penonton mampu melihat secara ketara apa yang dipersembahkan, tetapi erti dan nilainya boleh ditafsirkan berbeza mengikut interpretasi masing-masing.

Keputusan Dain untuk melakukan penggambaran semasa musim tengkujuh membawa keajaiban kepada visual Bunohan. Jurukamera dari Thailand, Charin Pengpanich (Tropical Malady, 2004) berupaya menangkap mood keseluruhan yang suram, kelam dan misteri menerusi landskap serta persekitaran alam. Sukar untuk tidak mengagumi sinematografi filem ini, lebih-lebih lagi apabila didokong pengarahan seni seperti solekan, kostum, rekabentuk dan tangkapan cahaya yang terkawal. Suntingan audionya teliti dan menghasilkan bunyi yang tulen, serta penataan muzik Tan Yuan Wei yang mengusik emosi.

Imaginasi Dain tidak akan menjadi tanpa persembahan hebat barisan pemain. Faizal Hussein bernafas sebagai Ilham, melunaskan watak yang rumit dan kompleks seperti tiada masalah. Meskipun seorang pembunuh upahan, dia masih menerima empati penonton yang menyedari akan ‘kehilangannya’. Pekin Ibrahim sebagai Bakar amat dibenci, walaupun kejahatan tidak terpamer pada wajah, Wan Hanafi Su sebagai Pok Eng yang kacau perasaannya, serta Zahiril Adzim sebagai Ilham yang rapuh walau tangkas di gelanggang tomoi. Setiap pelakon saling melengkapi, sama ada watak kecil atau pun besar. Ini termasuklah watak batu api kampung, Jolok lakonan Hushairy Hussin. Di sebalik pertuturan, kelakuan dan gaya melibas rambutnya yang menjengkelkan, karakter ini seronok untuk diperhatikan.

Bunohan adalah sebuah cerita orang kampung, tetapi dibikin untuk tontonan masyarakat dunia. Aspek teknikalnya bersifat antarabangsa dan penceritaannya universal, tidak hanya relevan untuk sesetengah kelompok audiens. Biarpun dialognya seratus peratus dalam loghat Kelantan, penonton tidak akan berasa asing, malah mempercayai penuh setiap pertuturan. Skrip asal tulisan Dain molek bahasanya, penuh realisme, dengan suntikan dramatik dan humor.

Begitu pun, saya kira kejayaan terbesar untuk Dain ialah apabila Bunohan masih berlegar-legar dalam fikiran penonton selepas filem tamat. Sekurang-kurangnya ini terjadi kepada saya. Selepas dua kali menonton, saya masih dihantui keasyikannya dan ini sangat jarang dirasai untuk filem Melayu.

Filem: Bunohan
Pengarah: Dain Said
Pelakon: Faizal Hussein, Zahiril Adzim, Pekin Ibrahim, Namron, Tengku Azura

Tuesday, March 6, 2012

CINTA KURA KURA (2012)


Imaginasi dan perlambangan


Sebuah filem komedi romantik ringan yang penonton tidak terlalu diberatkan dengan babak-babak luar biasa.


Sebelum ke layar perak, Nizam Zakaria dikenali sebagai pengarah siri televisyen Gaia (2008/2009), Hotel Mania (2010) dan Ponti Anak Remaja (2011). Dia juga pernah mengarahkan drama Radio Gaga (2007) yang ditayangkan di TV2.

Radio Gaga adalah permulaan fantasi Nizam tentang hubungan psikologi manusia dengan haiwan. Watak utamanya digambarkan memelihara seekor kucing yang boleh bercakap selepas berlakunya satu kemalangan di makmal.

Malah dalam Gaia mahupun Ponti, pengarah muda itu cuba mencipta sebuah dunia di mana manusia boleh berinteraksi dan berkawan dengan makhluk halus.

Filem pertamanya, Cinta Kura-Kura meneruskan obsesi Nizam untuk meneroka hubungan manusia dengan dimensi lain - tidak semestinya hantu tetapi suatu entiti yang boleh dirujuk sebagai imaginary friends.

Setiap dari kita pasti mempunyai teman imaginasi semasa kecil dan di sini Nizam memilih kura-kura sebagai subjek.

Nani (Tiz Zaqyah) yang baru kematian ibu bapanya bertemu dengan seekor kura-kura di sebuah tasik, ketika dia melayarkan sampan-sampan kertas.

Kura-kura itu dinamakan Nico (meminjam suara Zizan Razak). Nico menjadi tempat Nani berkongsi cerita sebagai saluran eskapisme 'bawah sedar' untuk remaja seusianya meluahkan perasaan.

Apa yang Nani tidak tahu ialah Nico mampu berkata-kata tetapi hanya melakukannya apabila dia mahu.

Untuk memulakan hidup baru, Nani dan abangnya, Amin (Bob AF) berpindah rumah. Mereka berjiran dengan Adam (Aeril Zafrel), seorang pemuzik muda yang tinggal bersama ibunya (Norhayati Taib). Keakraban Adam dan Nani membuatkan Nico cemburu.

Dia bukan saja berasa tersisih tetapi menganggap Fadzly (Fizz Fairuz), seorang pemilik kedai haiwan sebagai calon yang lebih layak untuk menjadi kekasih Nani.

Selaku pengarah dan penulis skrip, Nizam menjadikan watak Nico sama seperti manusia, ada sifat hitam dan putihnya. Walaupun Nico 'teman baik' Nani, dia menentang Adam kerana status dan kepentingan, sama seperti sifat manusia yang mementingkan darjat dalam sesuatu perhubungan.

Pada dasarnya, Cinta Kura-Kura adalah sebuah filem komedi romantik yang ringan. Jalan ceritanya ringkas, mudah difahami dan dialognya senang dihadam. Nizam memilih pendekatan yang agak slapstik dan mengarut untuk beberapa babak komedinya tetapi mungkin dimaafkan kerana ini filem fantasi.

Misalnya, antara babak terakhir ketika pelbagai jenis haiwan terlepas dari sangkar restoran makanan eksotik. Pasti ada yang tertanya mengapa perlu lembu dan gajah muncul di situ, tetapi ini cara Nizam yang sedikit 'over the top' untuk mencuit perasaan penonton.

Saya tertarik dengan beberapa perlambangan yang digunakan. Nico gemar membaca buku cerita Sang Arnab dan Kura-Kura. Ini adalah satu ego boost untuk karakter haiwan sepertinya yang inginkan persamaan taraf seperti manusia, kerana dalam perlumbaan dengan arnab, kura-kura yang menang.

Pekerja kedai haiwan, Toq (lakonan Munir Phyne Ballerz) pula sering memakai cekak telinga arnab. Sepintas lalu, karakter dengan gaya sebegitu nampak lucu. Tetapi sebenarnya, ia satu simbol yang mewakili persaingan di antara Fadzly (arnab) dan Adam (kura-kura) dalam memikat hati Nani.

Malah judul filem itu sendiri ialah perlambangan cinta Adam dan Nani, iaitu cinta yang mengambil masa untuk terjalin dan harus melalui beberapa rintangan sebelum 'kemenangan' menyebelahi mereka.

Zizan adalah pilihan yang tepat untuk watak Nico. Intonasi dan gaya percakapannya 'masuk' dengan gerak tubuh kura-kura itu, sekali gus membuatkan kehadiran Nico dipercayai. Begitu juga dengan suara Fara Fauzana sebagai kura-kura Mira dan Usop Wilcha sebagai kura-kura Atok.

Sementara Tiz dapat membebaskan dirinya daripada belenggu watak wanita dewasa seperti yang ditonton dalam siri Nur Kasih (2009) dan Nur Kasih The Movie (2011). Sesuai dengan usianya yang sebenar, Tiz tidak kekok untuk menzahirkan peranan Nani yang sedikit keanak-anakan, periang dan pintar.

Bagaimanapun, keserasiannya dengan Aeril sukar untuk dirasai pada permulaan cerita. Saya tidak pasti jika ini memang disengajakan atau Aeril yang berasa kurang selesa. Namun melihat dari sudut yang lain pula, sifat-sifat Adam yang 'clueless', lembab dan pemalu seperti kena dengan lakonan yang sedemikian.

Selain lakonan, Nizam juga bermain dengan warna-warna terang, terutamanya merah dan hijau untuk mengekspresikan perasaan dan mood keseluruhan filem. Ini dapat dilihat menerusi warna-warna baju yang dipakai Nani mahupun Adam.

Kerja-kerja kesan khas yang melibatkan kura-kura agak membanggakan. Cuma babak kemuncak ketika di dapur dan di perkarangan restoran kelihatan agak kartun. Imej manusia dan CGI yang disatukan nampak janggal dan tidak cukup halus pembikinannya.

Sejujurnya, jika menonton filem ini, anda akan menyaksikan beberapa babak lazim yang biasa ditonton, dirasai dan didengar. Malah, selok-belok ceritanya juga boleh dibaca dan diteka kesudahannya dengan mudah.

Namun Nizam ialah pengarah yang tahu untuk meletakkan watak dan cerita pada tempat yang betul. Yang paling penting, tidak menghina pemikiran penonton biarpun secara asas, apa yang disajikan adalah luar dari kotak logik.