Tuesday, May 29, 2012

HOORE! HOORE! (2012)


Okey! Okey!

Tuesday, May 22, 2012

MANTERA (2012)

Risiko Mantera

SAYA tidak melihat peniruan sebagai satu kesalahan dalam sinema dunia. Hollywood pun saling meniru sesama mereka apatah lagi pembikin filem dari negara lain yang menjadikan Amerika sebagai contoh pengeluar filem komersial.
Barangkali apa yang 'berdosa' adalah apabila sesuatu karya itu ditekap atau diciplak bulat-bulat kecuali ia projek bikin semula (remake) atau adaptasi. Keaslian sesuatu naskhah sangat subjektif untuk diperdebatkan.
Justeru apabila Mantera muncul dengan treler seakan dari francais Transformers (2007-2011), saya tidak mahu terus menjatuhkan hukuman. Penerbit, penulis skrip mahupun pengarah mungkin tidak hanya mendapat idea dari Hollywood tetapi berdasarkan komik atau animasi dari Jepun.
Mantera atau nama antarabangsanya, Man Transformable Exo-Robotic Armor ialah sistem senjata yang dicipta Weston Tech yang berpengkalan di Rusia. Ketua saintisnya, Dr. Natasya menyedari syarikat itu didalangi sekumpulan penjahat yang digelar Dark Legions lalu memusnahkan prototaip sistem tersebut.
Beberapa minit pertama, filem ini agak meyakinkan, walaupun kualiti gambarnya sedikit kabur dan ada masanya gelap. Namun tidak lama selepas itu, saya jadi tertanya-tanya dengan jalan ceritanya kerana tidak dibina dengan baik.
Saya tidak pasti bagaimana komponen yang sudah dimusnahkan, boleh dihantar kepada Azman, seorang penuntut jurusan Teknologi Maklumat yang tinggal di Malaysia. Siapa yang menghantar prototaip itu dan bagaimana Azman boleh menjadi 'the chosen one' tidak dijelaskan.
Dia cuma digambarkan seorang lelaki lurus bendul dan anak yatim piatu yang kerap dibuli tetapi sering menjadi juara permainan video. Azman sendiri tidak peduli dari mana datangnya perkakasan itu. Malah teruja apabila mendapati ia sebuah motorsikal berkuasa tinggi yang boleh berubah menjadi robot.
Penonton turut diperkenalkan dengan watak-watak lain antaranya Deena, rakan sekolej Azman yang kemudian menjadi teman wanita; juga jirannya yang hanya dipanggil Abang yang membantu Azman ketika dipukul dan mengajarnya silat untuk mempertahankan diri.
Secocok
Saya hanya mengikuti minit demi minit filem ini tanpa mengetahui dengan jelas apa, mengapa dan bagaimana. Apa yang pasti ialah Azman mesti membantu Alliance of Light, iaitu puak baik yang diamanahkan menjaga bumi dan menentang keinginan Dark Legions untuk menakluk dunia.
Benar, secara asasnya Mentera mengenai kebaikan melawan kejahatan. Malah seperti filem-filem adiwira dan robotik yang lain, kemenangan pastinya berpihak kepada watak baik di penghujung cerita. Tetapi itu bukan alasan untuk penulis skrip dan pengarah sambil lewa dalam membangunkan plot dan karakter.
Mantera dilihat lebih berminat untuk menghasilkan imej-imej robot berbanding membentuk cerita yang kukuh agar fantasi penulis skrip, pengarah dan penerbit terlaksana dan boleh dihadam penonton.
Saya tidak mahu membandingkan filem ini dengan kehalusan atau ketelitian efek filem luar namun saya merasakan adalah lebih baik jika Mantera dihasilkan seratus-peratus sebagai filem animasi.
Mengapa mahu memeningkan kepala mereka dan penonton untuk menggabungkan lakonan manusia dan animasi jika mereka tidak berupaya mengimbanginya?
Ini kerana imej janaan komputer (CGI) yang dihasilkan Flare Studios dan Spacetoon Media Hub boleh dianggap baik terutamanya pada babak-babak akhir perlawanan. Menolak faktor saya keliru di antara robot baik dengan robot jahat, pergerakan atau koreografi robot-robot itu dalam keadaan terkawal.
Terima kasih juga kepada skor muzik yang secocok dengan babak-babak tertentu dan mempunyai 'feel' muzik orkestra filem-filem adiwira dari luar.
'Mewajahkan' Mantera seperti sebuah filem antarabangsa adalah satu cita-cita yang dipuji. Pihak produksi sanggup terbang ke Rusia dan Dubai, serta bekerjasama dengan tenaga kerja di sana untuk menaik taraf status filem ini. Begitu pun, ia seharusnya didokong oleh lakonan yang meyakinkan.
Barisan pelakon dari luar negara nampak amatur dan kaku. Keserasian di antara Azman (Tomok) dan Deena (Syikin Kamal) juga tidak menyerlah, sama seperti persahabatan di antara Azman dan Kevin (Jayson Lee) yang terasa direka-reka.
Emosi Azman, kekeliruannya serta transisi hidupnya daripada seorang yang lemah kepada hero, tidak dirasai penonton. Sebagai penyanyi yang terjun ke bidang lakonan, Tomok seharusnya dibimbing lebih-lebih lagi apabila skrip tidak membantunya untuk lebih memahami pembinaan karakter serta latar belakang.
Saya tidak melihat peniruan sebagai satu kesalahan dalam sinema dunia. Namun produk seperti Mantera sangat berisiko kerana penonton pernah disogokkan dengan produk hampir serupa yang lebih canggih dan terurus buatannya.
Soal bajet tidak seharusnya menjadi alasan kerana mereka sendiri yang memilih untuk menghasilkan genre sebegini. Risiko yang dipilih itulah yang menentukan kedudukan filem ini, sama ada setaraf dengan filem-filem sedia ada atau sebaliknya.

Tuesday, May 15, 2012

DARK SHADOWS (2012)

Bayang yang tipis

Sebuah naskhah yang menyeronokkan tetapi dalam masa yang sama mendukacitakan.
DARK Shadows merupakan kerjasama kelapan untuk pengarah Tim Burton dan Johnny Depp selepas yang terakhir Alice In Wonderland (2010).
Di tangan pengarah eksentrik ini, Depp sekali lagi diberikan watak ala kartun yang semakin sinonim dengannya, antara lain Captain Jack Sparrow dari siri Pirates of the Carribean (2003-2011) dan Willy Wonka dari Charlie and the Chocolate Factory (2005).
Dark Shadows diinspirasikan dari drama bersiri popular tahun 1966-1971 dengan judul serupa. Kisahnya bermula di Liverpool pada 1752, di mana keluarga Collins iaitu bapa, ibu dan anak paling bongsu, Barnabas, berpindah ke Maine di Amerika Syarikat.
Di sana mereka membuka perniagaan perikanan dan menjadi keluarga terkaya di bandar Collinsport. Ketampanan Barnabas memikat hati anak pembantu rumah, Angelique Bouchard yang akhirnya kecewa kerana Barnabas tidak membalas cintanya.
Akibat dendam, Angelique yang mengamalkan ilmu sihir telah membunuh ibu bapa Barnabas serta teman wanitanya. Barnabas juga disumpah menjadi pontianak agar dia hidup menderita. Angelique menghasut orang kampung untuk menghapuskan Barnabas dan mengambil alih perniagaan keluarga Collins.
Dua ratus tahun kemudian, secara tidak sengaja, keranda yang menempatkan Barbanas dijumpai pekerja-pekerja projek pembangunan. Kembali bebas, Barnabas bukan saja ingin menuntut bela dan merampas semula haknya, tetapi terpaksa mengadaptasi gaya hidup tahun 1972 yang sangat asing baginya.
Melihat pada jalur cerita yang bernuansa gelap dan gothic, Burton mungkin pilihan paling tepat untuk membawa Dark Shadows ke layar perak. Dia mempunyai kepakaran dalam menangani naskhah-naskhah sebegitu seperti mana Sleepy Hollow (1999) atau Sweeney Todd (2007).
Filem ini bermula dengan suasana dan perasaan yang suram untuk menjelaskan latar belakang watak utama. Menginjak ke pertengahan, imej berwarna-warni dan runut bunyi yang rancak mula memenuhi layar, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana ia memang secocok dengan penggayaan era 1970an.
Apa yang menjadi masalah ialah pembangunan plot. Ya, Dark Shadows adalah sebuah naskhah yang menyeronokkan tetapi dalam masa yang sama mendukacitakan. Apa pun, penilaian yang saya berikan ini adalah seratus-peratus berdasarkan versi filem kerana saya tidak pernah menonton siri tvnya.
Burton memang dikenali sebagai pengarah yang bervisi, sangat teliti dan mengambil berat tentang visual yang terhasil. Dia berjaya mewujudkan atmosfera 1970-an menerusi rekaan produksi seperti set, props, kostum dan solekan yang menawan.
Lagu-lagu latar juga berjaya menimbulkan mood dan mendefinisikan generasi era tersebut, termasuk babak konsert Alice Cooper di tangga rumah agam keluarga Collins. Tidak syak lagi filem ini memang dibuat untuk berseronok, tetapi sayang jenakanya tidak cukup melucukan dan membuat penonton ketawa.
Jenaka 'a fish-out-of water' iaitu kejanggalan Barnabas cuba menyesuaikan diri dengan zaman moden, semakin lama semakin lesu. Banyak peristiwa di dalam filem ini berlaku secara rawak dan tidak begitu penting untuk menghubungkan jalan cerita sebenar.
Misalnya, apabila Barnabas mengorbankan sekumpulan 'hippies' demi memenuhi nafsunya yang hauskan darah atau kegilaan Dr.Hoffman (lakonan Helena Bonham Carter) yang mahu menjadi muda. Begitu juga kejutan watak Carolyn (Chloe Grace Moretz) yang tiba-tiba ditampilkan sebagai serigala jadian.
Kewujudan peristiwa-peristiwa yang kurang signifikan seperti ini, sedikit sebanyak membuatkan penonton gelisah kerana apa yang mereka mahu lihat sebenarnya ialah perhubungan dendam di antara Barnabas dan Angelique.
Akibat terlalu banyak karakter, fokus filem ini menjadi agak celaru dan durasi masa terpaksa dibahagi-bahagikan untuk setiap watak yang dicipta.
Dark Shadows mempunyai resepi terbaik untuk sebuah filem yang hebat. Barisan pelakon handalan, pengarah berpengaruh dan jenama siri tv yang popular. Namun, potensi ini gagal dimanipulasikan kerana skrip tulisan Seth Grahame-Smith yang tidak meyakinkan dan superficial.
Lakonan Depp sebagai Barnabas boleh dijangka. Di sebalik wajahnya yang pucat dan kostum drakula, penonton dapat membaca gerak tubuh dan lontaran dialognya. Memang tidak semua pelakon mampu menghidupkan watak-watak aneh seperti mana Depp, tetapi tiada faktor 'wow' yang dibawakan kali ini.
Begitupun, saya tertarik dengan lakonan Eva Green sebagai Angelique. Dia mempunyai aura wanita cantik dengan pandangan yang jahat, dilengkapi dengan penggayaan dari segi kostum dan solekan sepadan.
Dark Shadows masih boleh ditonton sebagai filem yang menghiburkan, tetapi 'bayang' yang ditinggalkan filem ini agak tipis, kesannya tidak akan kekal lama. Ia tidak termasuk dalam senarai filem Burton yang akan dikenang-kenang, sebaliknya sekadar memanjangkan profilnya sebagai pengarah dengan idea unik.

Tuesday, May 8, 2012

CHOW KIT (2012)

Cebisan hitam dan putih


DUA cerita berbeza dengan latar masa, suasana dan elemen survival yang sama mencorakkan filem Chow Kit.
Diinspirasikan daripada kisah benar, Chow Kit meneropong cebisan-cebisan kehidupan yang berlaku di jalan popular itu. Filem ini dibahagikan kepada dua cerita berbeza dengan latar masa, suasana dan elemen survival yang sama.
Kisah pertama mengenai sekumpulan kanak-kanak yang tinggal di situ. Mereka membesar dalam keadaan serba daif kerana ibu bekerja sebagai pelacur dan bapa menagih dadah. Mereka belajar berniaga kecil-kecilan atau terpaksa mengemis demi mencari duit poket.
Apabila Tika dirogol kekasih ibunya, mereka bersatu menuntut keadilan dengan membuat undang-undang sendiri.
Kisah kedua pula mengenai Ah Kuan, seorang bekas ahli kongsi gelap yang ingin memulakan kehidupan baru tetapi terpaksa menjalankan tugasan terakhir demi menuntut hak yang dirampas.
Episod baru hidupnya menemukan dia dengan seorang kawan lama, Mojo dan seorang gadis bernama Aileen. Mojo juga terdesak mencari wang demi ibunya yang sakit. Sementara Aileen sanggup lari bersamanya selepas dirogol bapa ayam.
Dua cerita ini dihasilkan pasukan penulis skrip dan pengarah yang berbeza. Tetapi terdapat satu watak iaitu lelaki yang merogol Tika sebagai penyambung di antara kisah pertama dengan kisah kedua.
Chow Kit mempunyai idea yang menarik apabila meneroka dilema kanak-kanak dan dewasa dalam tekanan hidup yang serupa. Pembikin filem ini ingin menampilkan semangat juang golongan-golongan ini, bagaimana mereka meneruskan kehidupan dari sehari ke sehari.
Kisah pertama arahan Rosihan 'Dhojee' Zain mendedahkan latar belakang setiap wataknya agar penonton memahami mengapa mereka menjadi begitu.
Walaupun lakonan kanak-kanak terlibat kaku dari aspek dialog dan penghayatan tetapi penonton boleh merasai kepayahan hidup mereka.
Penonton percaya dengan keserasian dan persahabatan yang terjalin atau sebenarnya memang sifat semulajadi kita mudah bersimpati terhadap apa jua yang berkaitan dengan kanak-kanak.
Muhamad Izzam Syafiq sebagai Ajik antara yang menyerlah. Dia mungkin tidak setrauma Tika yang dirogol tetapi tidur di atas katil yang sama tempat ibunya melacur adalah satu pengalaman yang memeritkan.
Izzam berjaya melunaskan peranan Ajik sebaiknya. Tidak berlebih-lebih tetapi masih boleh diperbaiki jika dibimbing. Barangkali akibat proses memasukkan suara yang kurang teliti, mutu lakonan Izzam dan rakan-rakannya terjejas.
Saya juga tertarik dengan watak yang dipegang Namron. Kita tahu Namron memang pelakon yang baik dan mutu lakonannya diperakui. Tetapi apa yang menghebatkannya lagi ialah karakter itu sendiri.
Dia tersepit antara memilih dadah dengan meminta anaknya mengemis dan mencuri. Tidak seperti sifat penagih yang sering digambarkan, wataknya masih seorang bapa penyayang. Wataknya tidak digambarkan sehitam-hitamnya. Tetapi masih dalam lingkungan putih atau kelabu.
Akibat banyak yang ingin diceritakan, beberapa watak hanya ditampilkan seperti tangkap muat. Ini terjadi kepada watak-watak penjaga Rumah Nursalam yang diwujudkan seperti melepas batuk di tangga atau mungkin sekadar mengambil hati kerana mereka menjadi sumber rujukan penghasilan filem ini.
Keperitan hidup di lorong-lorong, termasuk melihat gadis bawah umur diperkosa bukanlah sesuatu yang menyeronokkan. Namun Dhojee membuatkan penonton mahu terus mengikutinya walaupun terdapat beberapa momen yang bergerak perlahan dan membuatkan penonton sedikit bosan.
Kisah kedua arahan Brando Lee bermula dengan agak pantas, menaikkan semula mood penonton yang sudah gelisah di pertengahan filem.
Begitupun lakonan yang kelihatan amatur, dialog-dialog yang agak baku, serta perjalanan cerita samseng ala Hong Kong membuatkan Chow Kit hilang roh realiti, berbanding kisah pertama.
Tidak banyak yang boleh dibantu Beto Kusyairi atau Dira Abu Zahar kerana mereka hanya menggalas peranan pembantu.
Terutamanya Dira, agak mengecewakan apabila bakatnya tidak dimanipulasi sebaik mungkin.
Babak ketika dia merelakan diri menjadi mangsa demi menyelamatkan rakannya dirogol tidak memberi apa-apa kesan. Sedangkan babak itu sepatutnya menjadi antara yang diingati kerana nilai estetikanya dalam penceritaan.
Saya tidak pasti jika Dhojee dan Brando sengaja menjadikan rogol sebagai subjek persamaan untuk kedua-dua kisah.
Tetapi tidak seperti Tika yang trauma dan berdendam, Aileen nampaknya dengan mudah mengikut lelaki yang tidak dikenalinya (Ah Kuan) selepas diperkosa di rumah sendiri.
Dengan bajet terhad, visual dan audio Chow Kit berada pada tahap lebih baik sedikit berbanding filem-filem bebas, begitu juga dengan suntingan yang tersusun.
Adunan warna dan sinematografi nampak 'mentah' pada babak-babak tertentu tetapi bersesuaian dengan jiwa dan rupa filem sebegini. Lagu-lagu latarnya juga berbau independent, tahniah kepada Loque sebagai penata muzik yang baik.

Tuesday, May 1, 2012

THE LADY (2012)

Wanita itu Michelle Yeoh

The Lady bermula pada 1947 ketika Aung San Suu Kyi berusia dua tahun. Bapanya, Aung San, seorang pejuang kemerdekaan mati dibunuh, menjadikan Myanmar terus huru hara di bawah pemerintahan junta tentera.
Mara ke tahun 1988, Suu Kyi (Datuk Michelle Yeoh) menetap di Oxford bersama suaminya, seorang profesor bernama Michael Aris dan dua anak lelaki.
Panggilan dari Myanmar yang menyatakan ibunya diserang strok membuatkan Suu Kyi bergegas pulang. Niat untuk tinggal beberapa minggu bagi menjaga ibunya mengubah takdir hidup Suu Kyi.
Kepulangannya menyaksikan Myanmar sebagai lembah penuh kekejaman, tekanan dan kesengsaraan. Dia melihat dengan mata sendiri penunjuk perasaan mati ditembak dan orang awam berdemonstrasi memegang sepanduk wajah bapanya.
Suu Kyi menyedari dialah orang yang tepat untuk meneruskan perjuangan bagi menuntut demokrasi, sebaik saja orang kampung datang bertemu dan memujuknya agar menjadi ketua.
Membikin filem biopik seorang pemimpin terkenal dunia yang masih hidup dan belum tamat lagi perjuangannya adalah risiko yang amat besar.
Dua individu penting yang menggerakkan filem ini, Yeoh (Crouching Tiger, Hidden Dragon, 2000) dan pengarah dari Perancis, Luc Besson (The Fifth Element, 1997) mengambil cabaran itu dengan menukar label stereotaip mereka - daripada filem-filem bergenre aksi kepada sebuah drama riwayat.
Yeoh adalah pilihan sempurna untuk watak Suu Kyi. Dia bukan saja mempunyai persamaan fizikal; yang menuntut pelakon ini menurunkan berat badan dan membuat kajian selama tiga tahun; tetapi gerak tubuh, riak wajah dan penghayatan emosi yang sangat luar biasa.
Saya tidak memahami bahasa Myanmar, tetapi saya mempercayai apa yang diucapkan Yeoh semasa dia bertutur. Ia kelihatan serupa dan hampir mirip dengan laporan-laporan berita yang saya tonton mengenai Suu Kyi.
Namun, tanggungjawab untuk menjadikan The Lady sebuah naskhah cemerlang tidak sepatutnya digalas Yeoh seorang.
Kekuasaan dan kehebatan persembahannya, yang saya kira patut dipertimbangkan pihak Oscar, tergugat kerana penceritaan filem yang kurang mendalam dan fokus yang agak bercelaru.
Saya mengerti tidak mudah untuk memuatkan segala perincian tentang Suu Kyi serta momen-momen bersejarah yang dilaluinya. Namun, kerana durasi yang terhad, penulis skrip dari Britain, Rebecca Frayn terpaksa memasukkan setiap aspek secara sedikit-sedikit tanpa mendalaminya.
The Lady terhasil sebagai sebuah filem yang bercerita dari satu dimensi dan menyentuh hanya di permukaan.
Besson yang sinonim dengan kreativiti visual menghasilkan babak-babak perang dan keganasan yang baik. Ini sememangnya 'makanan' Besson dalam memberikan kepuasan pancaindera secara sinematik. Malah, dia juga berjaya mencipta kontras di antara suasana panas Myanmar dengan kedinginan Oxford.
Begitupun, untuk babak-babak drama, Besson dirasakan sedikit tergesa-gesa. Dia seperti mahu cepat ke babak seterusnya kerana mungkin merasakan ada banyak lagi cerita yang mahu disampaikan.
Misalnya, babak perbualan hati ke hati di antara Suu Kyi dan suaminya selepas berpisah sekian lama. Saya mengerti fokus The Lady adalah untuk menunjukkan semangat patriotik seorang wanita, isteri dan ibu, tetapi babak ini sepatutnya menjadi satu babak yang paling diingati.
Dalam babak ini, emosi Suu Kyi yang berbelah bagi di antara perjuangan untuk keluarga dan negara seakan tidak kesampaian kerana penulis skrip tidak cukup memanipulasikannya. Dilema ini sepatutnya sudah ditampilkan sejak awal supaya penonton dapat berbagi rasa dan berkongsi apa yang Suu Kyi alami.
Meskipun umum mengetahui junta tentera adalah golongan yang kejam dan tidak berhati perut, tetapi dalam beberapa babak, mereka kelihatan komikal.
Ini kerana gambaran yang lemah dan dialog yang tidak sesuai, ditambah pula dengan skor muzik ala kehadiran Darth Vader dari filem Star Wars, untuk menampakkan lagi kejahatan mereka.
Begitupun, demi berlaku adil, beberapa babak seperti ketika Suu Kyi diumumkan sebagai penerima Hadiah Nobel dan dia hanya mampu mendengar melalui radio; serta babak kematian suaminya, Aris tanpa Suu Kyi dapat bertemu, menjadi antara yang tragis dalam filem ini.
Yeoh bertuah kerana David Thewlis mampu membawakan watak Aris dengan begitu secocok, melengkapi permainannya sebagai Suu Kyi.
Mengenepikan segala kelemahan yang ada, The Lady adalah sebuah filem yang mesti ditonton. Pertama, kerana kita patut berbangga dengan pencapaian Yeoh sebagai anak seni kelahiran Malaysia, dan kedua, kerana filem ini adalah sebuah kisah pejuang Asia penuh inspirasi yang menuntut hak asasi manusia.