Risiko Mantera
SAYA tidak melihat peniruan sebagai satu kesalahan dalam sinema dunia. Hollywood pun saling meniru sesama mereka apatah lagi pembikin filem dari negara lain yang menjadikan Amerika sebagai contoh pengeluar filem komersial.Barangkali apa yang 'berdosa' adalah apabila sesuatu karya itu ditekap atau diciplak bulat-bulat kecuali ia projek bikin semula (remake) atau adaptasi. Keaslian sesuatu naskhah sangat subjektif untuk diperdebatkan.
Justeru apabila Mantera muncul dengan treler seakan dari francais Transformers (2007-2011), saya tidak mahu terus menjatuhkan hukuman. Penerbit, penulis skrip mahupun pengarah mungkin tidak hanya mendapat idea dari Hollywood tetapi berdasarkan komik atau animasi dari Jepun.
Mantera atau nama antarabangsanya, Man Transformable Exo-Robotic Armor ialah sistem senjata yang dicipta Weston Tech yang berpengkalan di Rusia. Ketua saintisnya, Dr. Natasya menyedari syarikat itu didalangi sekumpulan penjahat yang digelar Dark Legions lalu memusnahkan prototaip sistem tersebut.
Beberapa minit pertama, filem ini agak meyakinkan, walaupun kualiti gambarnya sedikit kabur dan ada masanya gelap. Namun tidak lama selepas itu, saya jadi tertanya-tanya dengan jalan ceritanya kerana tidak dibina dengan baik.
Saya tidak pasti bagaimana komponen yang sudah dimusnahkan, boleh dihantar kepada Azman, seorang penuntut jurusan Teknologi Maklumat yang tinggal di Malaysia. Siapa yang menghantar prototaip itu dan bagaimana Azman boleh menjadi 'the chosen one' tidak dijelaskan.
Dia cuma digambarkan seorang lelaki lurus bendul dan anak yatim piatu yang kerap dibuli tetapi sering menjadi juara permainan video. Azman sendiri tidak peduli dari mana datangnya perkakasan itu. Malah teruja apabila mendapati ia sebuah motorsikal berkuasa tinggi yang boleh berubah menjadi robot.
Penonton turut diperkenalkan dengan watak-watak lain antaranya Deena, rakan sekolej Azman yang kemudian menjadi teman wanita; juga jirannya yang hanya dipanggil Abang yang membantu Azman ketika dipukul dan mengajarnya silat untuk mempertahankan diri.
Secocok
Saya hanya mengikuti minit demi minit filem ini tanpa mengetahui dengan jelas apa, mengapa dan bagaimana. Apa yang pasti ialah Azman mesti membantu Alliance of Light, iaitu puak baik yang diamanahkan menjaga bumi dan menentang keinginan Dark Legions untuk menakluk dunia.
Benar, secara asasnya Mentera mengenai kebaikan melawan kejahatan. Malah seperti filem-filem adiwira dan robotik yang lain, kemenangan pastinya berpihak kepada watak baik di penghujung cerita. Tetapi itu bukan alasan untuk penulis skrip dan pengarah sambil lewa dalam membangunkan plot dan karakter.
Mantera dilihat lebih berminat untuk menghasilkan imej-imej robot berbanding membentuk cerita yang kukuh agar fantasi penulis skrip, pengarah dan penerbit terlaksana dan boleh dihadam penonton.
Saya tidak mahu membandingkan filem ini dengan kehalusan atau ketelitian efek filem luar namun saya merasakan adalah lebih baik jika Mantera dihasilkan seratus-peratus sebagai filem animasi.
Mengapa mahu memeningkan kepala mereka dan penonton untuk menggabungkan lakonan manusia dan animasi jika mereka tidak berupaya mengimbanginya?
Ini kerana imej janaan komputer (CGI) yang dihasilkan Flare Studios dan Spacetoon Media Hub boleh dianggap baik terutamanya pada babak-babak akhir perlawanan. Menolak faktor saya keliru di antara robot baik dengan robot jahat, pergerakan atau koreografi robot-robot itu dalam keadaan terkawal.
Terima kasih juga kepada skor muzik yang secocok dengan babak-babak tertentu dan mempunyai 'feel' muzik orkestra filem-filem adiwira dari luar.
'Mewajahkan' Mantera seperti sebuah filem antarabangsa adalah satu cita-cita yang dipuji. Pihak produksi sanggup terbang ke Rusia dan Dubai, serta bekerjasama dengan tenaga kerja di sana untuk menaik taraf status filem ini. Begitu pun, ia seharusnya didokong oleh lakonan yang meyakinkan.
Barisan pelakon dari luar negara nampak amatur dan kaku. Keserasian di antara Azman (Tomok) dan Deena (Syikin Kamal) juga tidak menyerlah, sama seperti persahabatan di antara Azman dan Kevin (Jayson Lee) yang terasa direka-reka.
Emosi Azman, kekeliruannya serta transisi hidupnya daripada seorang yang lemah kepada hero, tidak dirasai penonton. Sebagai penyanyi yang terjun ke bidang lakonan, Tomok seharusnya dibimbing lebih-lebih lagi apabila skrip tidak membantunya untuk lebih memahami pembinaan karakter serta latar belakang.
Saya tidak melihat peniruan sebagai satu kesalahan dalam sinema dunia. Namun produk seperti Mantera sangat berisiko kerana penonton pernah disogokkan dengan produk hampir serupa yang lebih canggih dan terurus buatannya.
Soal bajet tidak seharusnya menjadi alasan kerana mereka sendiri yang memilih untuk menghasilkan genre sebegini. Risiko yang dipilih itulah yang menentukan kedudukan filem ini, sama ada setaraf dengan filem-filem sedia ada atau sebaliknya.
1 comment:
setuju 100% dengan review ini :-)
Post a Comment