Tuesday, June 26, 2012

ABRAHAM LINCOLN : VAMPIRE HUNTER (2012)


Bukan perlekeh, tetapi menyanjung

DARI aspek lakonan, tiada yang istimewa tetapi masing-masing melakukan apa yang sepatutnya.

PERTAMA kali mendengar tajuknya, Abraham Lincoln: Vampire Hunter, saya sangat skeptikal. Saya menyangka ia sebuah naskhah komedi seram yang mungkin akan menghina pemikiran. Mengapa salah seorang Presiden Amerika Syarikat (AS) yang paling disegani diperolok-olokkan sebagai pembunuh hantu?

Menyaksikan treler juga tidak cukup membuatkan saya teruja, sehinggalah saya duduk dan menonton filemnya. Barangkali kerana saya tidak mempunyai sebarang harapan atau jangkaan yang tinggi, Vampire Hunter muncul mengejutkan sebagai sebuah filem yang menyeronokkan.

Diadaptasi dari novel tulisan Seth Grahame-Smith (yang juga bertindak selaku penulis lakon layar), naskhah ini adalah sebuah drama fantasi thriller, lengkap aksi, keganasan dan lumuran darah.

Pada awal tahun 1800, Lincoln dibesarkan dalam dunia yang mengamalkan diskriminasi kaum dan perhambaan, meninggal dunia akibat penyakit aneh dan dia nekad untuk membalas dendam. Dia tidak mengetahui pembunuh itu ialah puntianak sehinggalah dia bertemu dengan Henry Sturgess.

Lincoln berkeras agar Sturgess mengajarnya cara-cara membunuh hantu. Secara senyap, itu menjadi pekerjaan sambilannya pada setiap malam. Meneruskan hidup dengan menjadi pembantu kedai, Lincoln juga memasang impian untuk bergelar peguam dan sering membaca buku undang-undang.

Pada pertengahan filem, fokus penonton dialih sebentar kepada karier politik Lincoln, bermula dengan niatnya untuk membantu membebaskan golongan hamba abdi berkulit hitam. Ketika dia menjadi Presiden, AS berdepan dengan perang saudara yang turut melibatkan kaum puntianak.

Walaupun kaum itu diketuai Adam, namun Lincoln sangat berdendam dengan John Barts yang membunuh ibunya. Saya sendiri merasakan Barts lebih berkuasa dan menonjol kejahatannya berbanding puntianak lain. Ini dapat dilihat menerusi babak berlawan di kawasan berpasir dengan serangan ribuan kuda.

Babak itu menjadi kegemaran saya. Meskipun ada masanya penonton tidak pasti siapa yang dipukul, sama ada Lincoln atau Barts, tetapi itulah 'kecantikannya'. Babak itu disunting pantas dengan efek berdebu, kuda berlari seperti terbang dan dua pelakon itu melayang-layang dalam pergaduhan.

Saya tidak membaca bukunya. Tetapi saya yakin ada peminat yang menghentam pembikinan filem ini. Sudah pasti ada perbezaan dan persamaan dari karya asal.

Menolak faktor itu, Grahame-Smith berjaya menggabungkan imaginasinya dengan peristiwa-peristiwa sebenar yang bersejarah. Selain perang saudara, era itu terkenal dengan perusahaan barangan perak serta laluan kereta api sebagai medium pengangkutan utama yang menjadi lokasi babak kemuncak pertarungan.

Idea ini memang mengarut tetapi ia dilaksanakan dengan berkesan dan penonton mampu mempercayainya bulat-bulat. Vampire Hunter boleh ditonton secara serius, dalam masa yang sama mencuit hati, apabila melihat Presiden bijak bermain kapak dan tangkas menghapuskan puntianak.

Babak-babak aksi dirakamkan dengan kemas. Begitu juga koreografi gerakan lasak. Keseramannya pula boleh dirasai menerusi imej-imej puntianak yang menakutkan, lengkap gigi, taring dan mata terbuntang yang terpapar secara tiba-tiba di skrin. Jika anda takutkan darah, sila berjaga-jaga dengan filem ini.

Bagaimanapun, Vampire Hunter tidak lari dari shot tipikal filem aksi apabila banyak adegan gerak perlahan. Mungkin pengarah Timur Bekmambetov (Wanted, 2008) mempunyai dua sebab melakukan itu.

Pertama, untuk penonton merasai thrill' babak pembunuhan. Kedua, kerana filem ini turut dirakam dalam versi tiga dimensi. Maka kesan sedemikian menjadi lebih sesuai.

Benjamin Walker sebagai Lincoln mengingatkan saya kepada Liam Neeson kerana raut wajah yang seakan-akan sama. Menjadi Lincoln semasa remaja dan dewasa, jabatan solekan dan kostum banyak membantu Walker merealisasikan transformasi usia.

Dia diyakini sebagai remaja yang memberontak, juga diyakini sebagai pemimpin yang bijak dan dihormati.

Dominic Cooper yang menjadi sidekick' Lincoln juga memberikan persembahan yang baik. Penonton dikejutkan dengan twist' tentang siapa Sturgess yang sebenar. Tetapi tidak meletakkan dia sebagai watak antagonis.

Persepsi awal saya mengenai Vampire Hunter sama sekali meleset. Diakui ia bukan sebuah adikarya atau material untuk menang anugerah, walaupun tidak mustahil dalam kategori suntingan atau kesan khas. Namun, kebijaksanaan hibrid antara fiksyen dan realiti tergabung cantik.

Melihat dari perspektif yang lebih matang, filem ini tidak langsung memperlekehkan Lincoln. Sebaliknya mengangkat dia sebagai seorang yang sangat patriotik, berkorban nyawa dan keluarga demi menyelamatkan negara dari ditakluki puntianak.

Tuesday, June 19, 2012

JIWA TAIKO (2012)


Jiwa gelisah

Babak ranjang turut diselitkan dalam Jiwa Taiko

OSMAN Ali pernah menghasilkan filem Anak Halal (2007), kisah survival remaja yang membesar di lorong Chow Kit dan rumah flat. Dia juga pernah mengarahkan muzik video Bisakah nyanyian Datuk Siti Nurhaliza (2006) yang berlatarkan lorong gelap dan kemahuan penagih dadah kembali ke pangkal jalan.

Untuk filem kelima arahannya, Osman sekali lagi memilih subjek yang saya kira menjadi kegemarannya. Jiwa Taiko seolah kesinambungan pengarah ini untuk bercerita kisah anak-anak jalanan yang mencari arah serta erti hidup.

Jiwa Taiko mengisahkan Firman (lakonan Remy Ishak) yang keluar penjara selepas lima tahun dihukum. Melalui seorang kaunselor bernama Kak Pora (Mislina Mustafa), dia dibawa ke Wira Cinta, sebuah kelab komuniti untuk remaja terpinggir menghabiskan masa dengan beriadah dan belajar ilmu silat.

Di situ, dia jatuh cinta kepada Trisha (Diana Danielle) sehingga seorang gadis lain bernama Lara (Nadiya Nissa) kecewa kerana bertepuk sebelah tangan. Lara kemudian melarikan diri sehingga terjatuh ke dalam genggaman Pinto (Bront Palare), sahabat lama Firman yang menyebabkan dia meringkuk dalam penjara.

Pinto menggunakan kesempatan ini untuk mengajak Firman kembali melakukan kerja-kerja terkutuk, apatah lagi dia kini samseng terhebat Kuala Lumpur. Lalu, bermulalah 'peperangan' Firman bukan saja ke atas dirinya sendiri untuk memadam masa silam tetapi untuk menyelamatkan rakan-rakan barunya.

Sinopsis seperti ini bukanlah sesuatu yang di luar kotak malah penceritaan tentang bekas banduan ingin mendapatkan semula kehidupan sejahtera sudah diulang pakai di mana-mana 'kilang' filem seluruh dunia. Bagaimanapun, ia bukanlah satu kesalahan, asal saja olahannya mampu menghiburkan.

Saya mengikuti hasil kerja Osman seawal dia membikin filem bebas, antaranya Bukak Api (2000), drama televisyen seperti Toll Gate Girl (2001) serta filem-filem cereka, bermula dengan Puaka Tebing Biru (2005) sehinggalah Ombak Rindu (2011) yang mendapat kutipan pecah panggung mencecah RM11 juta.

Saya menyifatkan Osman antara pengarah tempatan yang pandai bercerita. Kecuali Puaka Tebing Biru yang agak bercelaru, kebanyakan naskhahnya terhasil kemas. Namun mengejutkan apabila Jiwa Taiko mengecewakan saya.

Walaupun filem ini dibuka dengan banyak tenaga iaitu babak-babak bergasak namun perjalanannya yang agak perlahan membuka ruang untuk penonton berasa gelisah. Jiwa Taiko bukanlah sebuah filem yang susah untuk difahami tetapi masalah di sini ialah pengarahan Osman yang seperti separuh hati.

Di dalam filem Cun (2011), penonton seakan masuk ke dalam dunia fiksyen ciptaan Osman iaitu suasana Kampung Mata Ayer dan dunia hiburan serba flamboyant. Berlainan dengan Jiwa Taiko, atmosfera yang dicipta yakni dunia 'putih' Wira Cinta dan dunia 'hitam' Pinto terasa palsu dan dipaksa-paksa.

Misalnya, babak buka silat yang sangat bersalut Hollywood dengan lokasi di atas bumbung bangunan dan di tepi pantai. Ia tidak salah tetapi kelihatan janggal, terlalu mencuba dan sangat kosmetik.

Nilai, tertib dan adab persilatan Melayu tidak dirasai seperti mana yang pernah diperkasakan Rahim Razali (kini Datuk) menerusi Matinya Seorang Patriot (1984) atau Puteri (1987).

Namun demikian, itu sekadar aspek kecil yang boleh dilupakan jika fokus penceritaannya dihasilkan dengan teliti. Sayang sekali, saya merasakan Osman lebih leka mencipta babak-babak cumbuan, berpesta dan berkelahi, dari membangunkan karakter dan plot kerana segalanya sekadar di permukaan.

Benar, watak Firman dan Pinto diberikan latar cerita (backstory) yang jelas, yakni bagaimana mereka bermula di kampung sebagai rakan silat sehinggalah hanyut di bandar menggunakan kekuatan yang ada. Tetapi itu sajalah yang harus 'dipegang' penonton dari mula cerita sehingga ke penghujung.

Babak demi babak berlalu tanpa saya mempercayai apa yang berlaku kerana kelemahan skrip dan gaya lakonan serupa yang pernah saya saksikan. Babak-babak pergaduhan yang dikoreografi tidaklah teruk tetapi tidak juga menggemparkan. Keserasian sesama pelakon masih ada tetapi tidak cukup kuat.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai persembahan lakonan. Masing-masing diakui berbakat tetapi mereka pernah dilihat lebih baik dalam filem lain.

Kecuali Nadiya Nissa yang membawa karakter Lara ke tempat yang subtle. Watak seperti ini, jika salah pembawaan, boleh saja kelihatan stereotaip, murah dan mendorong pelakon menjadi over-acting. Lara bukan saja selamat di tangan Nadiya tetapi dia menambah nilai kepada watak antagonis yang lazim.

Walaupun Jiwa Taiko berakhir dengan kegembiraan, babak penamat terasa seperti tergesa-gesa dan seperti mahu cepat disudahkan. Namun saya menyukai adegan kematian Pinto yang sempat melihat kelahiran anaknya, di mana saya dapat merasai sisi dramatik yang cuba dicipta.

Tuesday, June 12, 2012

JALAN KEMBALI : BOHSIA 2 (2012)


Jalan lurus pilihan Syamsul

Saya menyifatkan Syamsul Yusof sebagai pengarah yang bijak membaca selera penonton. Ini bukan saja berkaitan dengan kutipan yang diperolehi setiap filemnya, tetapi kemampuan Syamsul untuk membuatkan penonton terus melekat di kerusi dari awal sehingga ke penghujung cerita.

Jalan Kembali: Bohsia 2 adalah sambungan kepada filem box-office, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009). Filem ini merupakan filem ketujuh arahan Syamsul selepas Aku Bukan Tomboy ditayangkan tahun lalu.

Amy, seorang bekas bohsia kini menjalani kehidupan baru apabila memasuki pusat pemulihan akhlak. Walaupun nekad untuk berubah, penderaan dan gangguan mental daripada senior bernama Rokiah membuatkan Amy lari. Dia yang sudah bertudung mencari rezeki dengan menjadi pelayan warung.

Rakan baiknya, Tasya pula semakin hanyut apabila berkawan dengan samseng bernama Keting. Mereka bukan saja menyamun, malah menjadi pengedar dan penagih dadah, selain merempit. Bekas teman lelaki Tasya, Muz juga masih aktif merempit tetapi tidak lagi melibatkan diri dengan bohsia.

Keting mendendami Muz, bukan saja kerana tewas dalam pertaruhan, tetapi apabila Muz menyelamatkan Tasya daripada dijual sebagai pelacur. Keting juga berang kerana keinginannya untuk mendapatkan Amy tidak berhasil.

Bohsia 2 bukanlah sebuah filem yang memberikan kelainan berbanding filem pertama. Susur galur penceritaan, aksi, komedi dan dramanya boleh dijangka. Syamsul mempunyai stail pengarahan serupa yang membolehkan penonton 'membaca' setiap filemnya seperti sebuah buku.

Dari aspek peningkatan prestasi, mungkin tidak banyak perubahan yang dicapai. Syamsul selesa memilih jalan 'lurus' dan tidak melakukan eksperimentasi baru. KL Gangster (2011) masih menjadi penanda aras untuk melihat tahap kecemerlangannya sebagai pengarah.

Namun begitu, Syamsul mempunyai kepandaian dalam memberikan nilai-nilai hiburan untuk setiap naskhahnya. Kepandaian itu bukan saja dari segi lenggok bahasa dan pertuturan yang relevan dengan penonton sasaran. Malah, dia berupaya mengolah kisah biasa menjadi sesuatu yang tidak membosankan.

Kepakaran Syamsul adalah mencedok setiap elemen yang dimahukan penonton, lalu menghimpunkan dan menyusunnya dengan betul. Tugasan itu sebenarnya tidak mudah kerana jika elemen-elemen tersebut tidak diimbangi dengan baik, naskhah yang terhasil barangkali akan menjadi lesu, keliru dan caca marba.

Jarak tiga tahun kemunculan Bohsia 2 adalah tempoh yang agak lama untuk penonton mengingati semula apa yang terjadi dalam filem pertama. Bagaimanapun, Syamsul tidak mengambil jalan mudah dengan meletakkan babak-babak imbasan, sebaliknya menjadikan pelakon sendiri sebagai pencerita.

Misalnya, adegan pembukaan di mana Amy meluahkan perasaan kepada rakannya di pusat pemulihan, betapa dia trauma membunuh bapa sendiri yang mahu merogolnya. Dialog-dialog seperti itu adalah penting untuk 'reestablish' karakter atau plot yang pernah ditampilkan.

Begitu juga babak konfrantasi Tasya dengan makciknya, menyatakan dia menjadi gadis jalanan kerana ibunya lebih mementingkan teman lelaki.

Tujuannya bukan sekadar mengingatkan peminat lama, tetapi untuk memberi kefahaman kepada penonton yang tidak pernah menyaksikan Bohsia terdahulu. Ini adalah aspek wajib untuk filem sekuel. Ia bukan saja bergerak dari filem pertama, tetapi mampu juga untuk berdiri sendiri sebagai sebuah naskhah baru.

Keberuntungan Syamsul turut terletak pada kekuatan pelakon yang dipilih. Masing-masing mempunyai 'resume' yang memberangsangkan, contohnya Salina Saibi. Lahir dari kaca tv, aktres ini memiliki kecenderungan untuk memberikan persembahan yang sangat dramatik dan ia satu keperluan bagi watak Amy.

Nabila Huda sebagai Tasya pula kelihatan sangat selesa 'menyarung semula pakaian yang pernah digayakan' . Lakonannya semakin bersahaja dan ini boleh disaksikan dengan jelas menerusi babak dia bercakaran dengan watak Hetty Sarlene di ruang tamu rumah. Hetty tenggelam dalam penjiwaan karakter Nabila.

Bagaimanapun, saya melihat kemunculan Zizan Razak sebagai Ijan tidak lebih sebagai salinan karbon kepada wataknya, Fadil dalam KL Gangster. Zizan hanya mengulangi rutin komedi yang sama dan lakonannya stereotaip.

Begitu juga babak Harun Salim Bachik sebagai bomoh yang dirasakan sedikit 'draggy' dan sengaja direka semata-mata untuk selingan ketawa penonton.

Tidak keterlaluan jika dikatakan lampu sorot untuk Bohsia 2 tertumpu kepada Sofi Jikan. Dia membuatkan penonton sangat meluat dan sakit hati terhadap Keting. Walaupun karakter sebegini sudah menjadi 'makanan' Sofi, Keting membawanya ke satu tahap baru terhadap penghayatan watak-watak antagonis.

Seperti yang diusulkan judul filem, Bohsia 2 adalah pencarian watak-watak utamanya untuk kembali ke pangkal jalan. Walaupun kedengaran klise dan seperti sekolah moral, Syamsul pintar untuk tidak kelihatan terlalu 'mengajar'.

Pada awal cerita, dia menggambarkan segala perlakuan yang tidak bermoral dan menyesatkan dalam mood serba pantas, tetapi tiba di penghujung, dia tahu bagaimana untuk menukar kepada mood yang lebih tenang dan menyentuh. Saya boleh melabelkan Bohsia 2 sebagai filem dakwah yang tidak konvensional.

Tuesday, June 5, 2012

SNOW WHITE AND THE HUNTSMAN (2012)



Serikandi satu emosi

INI merupakan filem Snow White kedua untuk 2012 selepas Mirror Mirror ditayangkan April lalu. Berbanding filem arahan Tarsem Singh yang cenderung ke arah komedi romantik atau animasi Disney yang berwarna-warni; versi kali ini lebih gelap mengikut naskhah asal tulisan Grimm Bersaudara.

Walaupun masih berlatarkan era kuno, penulis skrip Evan Daugherty menyuntik semangat feminisme yang kuat untuk disesuaikan dengan cita rasa kontemporari. Dua karakter wanita iaitu Snow White dan Queen Ravenna dijadikan tunjang utama dan pemimpin sementara watak lelaki hanya sebagai pengikut.

Ravenna, yang semasa kecilnya hidup merempat, menggunakan sihir untuk kekal cantik dan menawan hati raja. Berkelana dari satu takhta ke takhta yang lain, King Magnus yang menemuinya sebagai tawanan perang menjadi mangsa terbarunya. Raja itu diracun dan ditikam pada malam perkahwinan mereka.

Anak Magnus, Snow White dikurung di dalam menara sehingga meningkat remaja. Kemarahan Ravenna memuncak apabila cermin emas kepunyaannya menyatakan Snow White adalah wanita tercantik dunia. Ravenna harus mendapatkan jantung Snow White agar dia kekal muda, jelita dan berkuasa.

Bagaimanapun, Snow White berjaya melepaskan diri sehingga tersesat ke rimba gelap. Tiada siapa yang berani masuk ke lembah puaka itu kecuali seorang lelaki pemabuk tetapi perkasa yang dipanggil The Huntsman.

Dia dipaksa Ravenna untuk membawa pulang Snow White tetapi kemudian berpaling tadah selepas mengetahui permaisuri kejam itu mungkir janji untuk menghidupkan semula isterinya yang sudah mati. The Huntsman kini menjadi penyelamat Snow White dan bukan lagi musuh.

Untuk melengkapkan konflik dan formula cinta tiga segi, teman baik Snow White semasa kecil, William pulang ke kampung selepas berperang. William ingin membuktikan dia juga mampu menjadi pelindung apatah lagi dia adalah anak kepada Duke Hammond, orang kanan pasukan tentera King Magnus.

Jika anda bertanya, adakah wujud tujuh lelaki kerdil di dalam versi ini? Ya, sudah tentu tetapi mereka hanya muncul di pertengahan filem. Kehadiran mereka memberikan lebih warna, secara literalnya, pada set dan lokasi yang sebelum itu suram dan kelam.

Golongan kerdil ini tinggal di satu tempat seakan inderaloka yang penuh dengan pari-pari, unggas serta kehijauan. Dengan keyakinan dan kudrat yang ada, mereka bersama Snow White, The Huntsman, William dan bala tentera Duke Hammond, nekad untuk menyerang istana dan menjatuhkan Queen Ravenna.

Sebagai sutradara yang pertama kali mengarahkan filem, Rupert Sanders menghasilkan sebuah kerja yang kemas. Dia bijak menggunakan set yang hebat dan imej janaan komputer (CGI) yang imaginatif, seimbang penceritaan.

Apa yang sedikit mengganggu adalah pacing atau perjalanan yang sedikit lembab di pertengahan. Sanders memanjangkan sesuatu babak yang dirasakan tidak perlu dan memendekkan babak yang mempunyai potensi untuk meraih lebih perhatian.

Masih mengekalkan elemen signature seperti epal beracun dan cermin sakti, pengarah dan penulis skrip juga mengadaptasi nilai-nilai filem fantasi pengembaraan yang standard seperti siri Narnia (2005-2010).

Malah landskap gunung-ganang dan muzik celtic ciptaan James Newton Howard juga sedikit sebanyak mengingatkan penonton kepada siri The Lord of the Rings (2001-2003).

Snow White versi Sanders ini bukanlah gadis yang memakai gaun cantik dan kembang sebaliknya seorang serikandi yang memakai baju besi, menunggang kuda dan memegang pedang. Biarpun sedikit sangsi dari mana dia belajar berlawan, anggap sajalah dia mewarisi kekuatan dan semangat bapanya.

Snow White kali ini ibarat Robin Hood versi wanita, yang bukan saja mahu menentang ketidakadilan tetapi menjadi ketua pertempuran. Cuma apa yang merosakkan idea itu ialah lakonan Kristen Stewart yang stereotaip dan lesu.

Saya tidak pasti mengapa Stewart mempunyai satu emosi saja untuk semua situasi. Saya boleh memaafkannya jika itu berlaku di dalam saga Twilight (2008-2012) tetapi sepatutnya dia mampu menunjukkan peningkatan untuk filem ini.

Jika ini filem bisu, saya gagal mentafsir reaksi wajah dan bahasa tubuh Stewart sama ada dia marah, dendam, kecewa atau gembira. Penonton masih dapat melihat dia mengetap bibir seperti mana Bella dalam Twilight. Atau mungkin bayang Bella terlalu kuat sehingga dia terperangkap.

Charlize Theron, bagaimanapun memainkan peranan Ravenna seperti tiada masalah. Watak jahat yang selalunya kelihatan satu dimensi saja, mendapat nilai tambah di tangan pemenang Oscar ini. Dia berbicara menerusi lirikan mata, sama ada seimbas kerlingan atau renungan.

Dia bukan saja mampu membuatkan penonton benci tetapi takut dan simpati dalam masa yang sama. Bahagian di mana permaisuri kejam harus mengekalkan kuasa dan kecantikan, mungkin agak klise tetapi Theron melakukannya dengan penuh komitmen dan tenaga, sehingga kita 'taksub' dan seronok menontonnya.

Snow White and the Huntsman bukanlah filem fantasi terbaik tahun ini tetapi Mirror Mirror seharusnya malu dengan adaptasi yang dilakukannya terhadap naskhah Snow White.

Malah tidak keterlaluan jika dikatakan filem ini lebih memberi keadilan berbanding adaptasi naskhah dongeng sebelumnya seperti Red Riding Hood (2011) dan Alice In Wonderland (2010).