Jalan lurus pilihan Syamsul
Saya menyifatkan Syamsul Yusof sebagai pengarah yang bijak membaca selera penonton. Ini bukan saja berkaitan dengan kutipan yang diperolehi setiap filemnya, tetapi kemampuan Syamsul untuk membuatkan penonton terus melekat di kerusi dari awal sehingga ke penghujung cerita.
Jalan Kembali: Bohsia 2 adalah sambungan kepada filem box-office, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam (2009). Filem ini merupakan filem ketujuh arahan Syamsul selepas Aku Bukan Tomboy ditayangkan tahun lalu.
Amy, seorang bekas bohsia kini menjalani kehidupan baru apabila memasuki pusat pemulihan akhlak. Walaupun nekad untuk berubah, penderaan dan gangguan mental daripada senior bernama Rokiah membuatkan Amy lari. Dia yang sudah bertudung mencari rezeki dengan menjadi pelayan warung.
Rakan baiknya, Tasya pula semakin hanyut apabila berkawan dengan samseng bernama Keting. Mereka bukan saja menyamun, malah menjadi pengedar dan penagih dadah, selain merempit. Bekas teman lelaki Tasya, Muz juga masih aktif merempit tetapi tidak lagi melibatkan diri dengan bohsia.
Keting mendendami Muz, bukan saja kerana tewas dalam pertaruhan, tetapi apabila Muz menyelamatkan Tasya daripada dijual sebagai pelacur. Keting juga berang kerana keinginannya untuk mendapatkan Amy tidak berhasil.
Bohsia 2 bukanlah sebuah filem yang memberikan kelainan berbanding filem pertama. Susur galur penceritaan, aksi, komedi dan dramanya boleh dijangka. Syamsul mempunyai stail pengarahan serupa yang membolehkan penonton 'membaca' setiap filemnya seperti sebuah buku.
Dari aspek peningkatan prestasi, mungkin tidak banyak perubahan yang dicapai. Syamsul selesa memilih jalan 'lurus' dan tidak melakukan eksperimentasi baru. KL Gangster (2011) masih menjadi penanda aras untuk melihat tahap kecemerlangannya sebagai pengarah.
Namun begitu, Syamsul mempunyai kepandaian dalam memberikan nilai-nilai hiburan untuk setiap naskhahnya. Kepandaian itu bukan saja dari segi lenggok bahasa dan pertuturan yang relevan dengan penonton sasaran. Malah, dia berupaya mengolah kisah biasa menjadi sesuatu yang tidak membosankan.
Kepakaran Syamsul adalah mencedok setiap elemen yang dimahukan penonton, lalu menghimpunkan dan menyusunnya dengan betul. Tugasan itu sebenarnya tidak mudah kerana jika elemen-elemen tersebut tidak diimbangi dengan baik, naskhah yang terhasil barangkali akan menjadi lesu, keliru dan caca marba.
Jarak tiga tahun kemunculan Bohsia 2 adalah tempoh yang agak lama untuk penonton mengingati semula apa yang terjadi dalam filem pertama. Bagaimanapun, Syamsul tidak mengambil jalan mudah dengan meletakkan babak-babak imbasan, sebaliknya menjadikan pelakon sendiri sebagai pencerita.
Misalnya, adegan pembukaan di mana Amy meluahkan perasaan kepada rakannya di pusat pemulihan, betapa dia trauma membunuh bapa sendiri yang mahu merogolnya. Dialog-dialog seperti itu adalah penting untuk 'reestablish' karakter atau plot yang pernah ditampilkan.
Begitu juga babak konfrantasi Tasya dengan makciknya, menyatakan dia menjadi gadis jalanan kerana ibunya lebih mementingkan teman lelaki.
Tujuannya bukan sekadar mengingatkan peminat lama, tetapi untuk memberi kefahaman kepada penonton yang tidak pernah menyaksikan Bohsia terdahulu. Ini adalah aspek wajib untuk filem sekuel. Ia bukan saja bergerak dari filem pertama, tetapi mampu juga untuk berdiri sendiri sebagai sebuah naskhah baru.
Keberuntungan Syamsul turut terletak pada kekuatan pelakon yang dipilih. Masing-masing mempunyai 'resume' yang memberangsangkan, contohnya Salina Saibi. Lahir dari kaca tv, aktres ini memiliki kecenderungan untuk memberikan persembahan yang sangat dramatik dan ia satu keperluan bagi watak Amy.
Nabila Huda sebagai Tasya pula kelihatan sangat selesa 'menyarung semula pakaian yang pernah digayakan' . Lakonannya semakin bersahaja dan ini boleh disaksikan dengan jelas menerusi babak dia bercakaran dengan watak Hetty Sarlene di ruang tamu rumah. Hetty tenggelam dalam penjiwaan karakter Nabila.
Bagaimanapun, saya melihat kemunculan Zizan Razak sebagai Ijan tidak lebih sebagai salinan karbon kepada wataknya, Fadil dalam KL Gangster. Zizan hanya mengulangi rutin komedi yang sama dan lakonannya stereotaip.
Begitu juga babak Harun Salim Bachik sebagai bomoh yang dirasakan sedikit 'draggy' dan sengaja direka semata-mata untuk selingan ketawa penonton.
Tidak keterlaluan jika dikatakan lampu sorot untuk Bohsia 2 tertumpu kepada Sofi Jikan. Dia membuatkan penonton sangat meluat dan sakit hati terhadap Keting. Walaupun karakter sebegini sudah menjadi 'makanan' Sofi, Keting membawanya ke satu tahap baru terhadap penghayatan watak-watak antagonis.
Seperti yang diusulkan judul filem, Bohsia 2 adalah pencarian watak-watak utamanya untuk kembali ke pangkal jalan. Walaupun kedengaran klise dan seperti sekolah moral, Syamsul pintar untuk tidak kelihatan terlalu 'mengajar'.
Pada awal cerita, dia menggambarkan segala perlakuan yang tidak bermoral dan menyesatkan dalam mood serba pantas, tetapi tiba di penghujung, dia tahu bagaimana untuk menukar kepada mood yang lebih tenang dan menyentuh. Saya boleh melabelkan Bohsia 2 sebagai filem dakwah yang tidak konvensional.
1 comment:
babak keting menyoal tok imam bertubi2 pasal agama then azan berkumandang tu seriusly "EPIK!"
Post a Comment