Thursday, August 2, 2012

SALMON FISHING IN THE YEMEN (2012)


'Pancingan' yang baik

Tema cinta, politik, dan alam sekitar bersatu menjadi latar menarik.

SALMON Fishing in the Yemen adalah satu judul yang sangat eksentrik. Subjeknya diterangkan dalam sebaris ayat, iaitu tentang memancing ikan salmon di Yaman tetapi ia membuatkan kita ingin lebih tahu mengapa, siapa, kenapa dan bagaimana kerana perlakuan itu secara dasarnya tidak masuk akal.

Filem ini dihasilkan dari novel karya Paul Torday dan lakon layarnya ditulis pemenang Oscar, Simon Beaufoy (Slumdog Millionaire, 2008). Manakala pengarahnya Lasse Halstrom bukanlah orang baru dalam kerja-kerja adaptasi, misalnya The Cider House Rules (1999), Chocolat (2000) dan Dear John (2010).

Salmon Fishing in the Yemen bukanlah cerita sains fiksyen walaupun beberapa terma sains dan kejuruteraan digunakan. Drama komedi ini mencakupi pelbagai tema seperti cinta, politik dan hubungan antarabangsa serta isu alam sekitar.

Dr. Alfred Jones (lakonan Ewan McGregor) ialah seorang pakar perikanan untuk kerajaan Britain. Dia dihubungi peguam Harriet Chetwode-Talbot (Emily Blunt) mewakili pelanggannya, seorang hartawan bernama Sheikh Muhammed (Amr Waked) yang mahu membawa hobi memancing salmon ke perairan Yaman.

Jones menganggap itu satu gurauan. Secara saintifik, ia tidak boleh dilaksanakan kerana iklim yang panas di padang tandus. Begitu pun, dengan kuasa dan wang - Sheikh sanggup melabur sehingga 50 juta pound sterling - manusia akan cuba mencari rasional di luar logik.

Apatah lagi, Perdana Menteri Britain mahu projek itu diusahakan atas kepentingan peribadinya dalam mengalihkan perhatian dunia dari perang Afghanistan, seterusnya menaikkan imejnya dalam mengeratkan hubungan luar.

Tidak dinafikan babak-babak awal sedikit melelahkan (seperti mana sesetengah orang menganggap memancing itu membosankan). Ini kerana watak-wataknya bercerita secara teknikal kemungkinan projek itu direalisasikan. Walaupun tujuannya untuk kefahaman namun ia agak meleret dan mencuri masa.

Bagaimanapun, sebaik saja misi mustahil itu dimulakan, penonton bukan saja melihat kegigihan Jones, Talbot dan Sheikh; tetapi merasai krisis serta konflik yang mereka hadapi.

Jones dan isteri terpaksa berpisah kerana tidak sehaluan. Talbot menerima berita kehilangan kekasihnya yang berperang di Afghanistan, manakala Sheikh dicerca masyarakat setempat kononnya cuba melawan takdir Tuhan. Penonton juga diberikan idea jika Jones dan Talbot sebenarnya saling terpikat.

Itu tidak termasuk lagi kehadiran watak pegawai perhubungan awam Perdana Menteri, Patricia Maxwell (Kristin Scott Thomas) yang bermulut lancang dan keras kepala. Gaya lakonannya menyuntik elemen humor Britain yang sedikit menyakitkan hati tetapi bijak dan menghiburkan.

Setiap kisah ini, baik fokus utama tentang projek mahupun setiap sub-plotnya, dijalin cantik tanpa terburu-buru. Penonton hanya perlu mengikut arus cerita kerana kesudahannya sukar dijangka. Dan apa yang lebih penting, setiap tanda tanya yang ditimbulkan mendapat jawapan pada penghujung filem.

Jika ada yang kabur pun ialah motif konkrit tentang kesungguhan Sheikh mahukan projek itu dilancarkan. Ya, ada diterangkan tentang visinya dan keinginan untuk melihat generasi akan datang menikmati 'keajaiban' yang dicipta tetapi kurang jelas dan meyakinkan.

Salmon Fishing in the Yemen tidak seperti kebanyakan filem Hollywood yang bersifat prejudis terhadap masyarakat Timur Tengah, khususnya agama Islam. Tiada label pengganas diletakkan di mana-mana dalam filem ini malah Sheikh digambarkan sebagai seorang yang sangat positif dan memberi inspirasi.

Saya tertarik dengan konsepnya yang mengaitkan iman (faith) dengan ikan (fish). Jones yang selama ini tidak percaya pada agama disedarkan oleh Sheikh melalui metafora jika kita yakin akan mendapat ikan setiap kali memancing, itu bermakna kita percaya ada kuasa yang lebih besar dari keupayaan manusia.

Cuma saya menyedari penulis skripnya mengelakkan dari menggunakan perkataan 'God' atau 'Allah' secara spesifik. Sebaliknya menggantikan dengan 'belief' atau 'faith'.

Saya tersentuh dengan plot filem ini. Ia memberi harapan untuk kita terus bermimpi dan berusaha melawan ketakutan dan kegagalan. Tidak kisahlah jika ada yang menyifatkannya sebagai satu lagi propaganda Barat untuk melebih-lebihkan kehebatan mereka, kerana ia terhasil sebagai 'a feel good movie'.

McGregor semakin matang dalam memilih karakter, seperti yang pernah dipamerkan dalam Beginners (2010). Dia bukan lagi seorang idealis yang tidak praktikal seperti dalam Moulin Rouge (2001) atau lelaki mata keranjang dalam Down With Love (2003). Dia 'sajak' untuk membawakan karakter lelaki pintar.

Blunt, yang mempunyai keserasian dengan McGregor, memberikan persembahan yang seimbang dengan lapisan-lapisan emosi yang tidak keterlaluan. Manakala Waked, menyinar sebagai Sheikh yang disayangi karakternya terutama sekali pada babak selepas projek mereka disabotaj.

Saya membaca di Internet, ada peminat setia bukunya yang tidak setuju cara ia diadaptasi. Banyak pertukaran pada plot dan juga dikatakan penamat yang berlainan. Namun sebagai orang yang belum membacanya, saya menghargai Salmon Fishing in the Yemen berdiri sendiri sebagai filem yang baik.

No comments: