Legasi yang berulang
PADA tahun 2002, dunia sinema diperkenalkan dengan Jason Bourne, seorang perisik dan pembunuh upahan yang hilang ingatan. Filem bertajuk The Bourne Identity itu berdasarkan novel tulisan Robert Ludlum secara longgar dan menampilkan Matt Damon sebagai pelakon utama.
Atas sambutan yang baik, jenama Bourne diteruskan dengan dua sekuel, The Bourne Supremacy (2004) dan The Bourne Ultimatum (2007). Kewujudan siri ini memberikan satu lagi pilihan dan kesegaran untuk peminat filem aksi selain siri James Bond (1962-2012) dan Mission Impossible (1996-2001).
Apa yang menarik tentang karakter Bourne ialah dia seorang lelaki biasa yang tidak mempunyai kuasa ajaib atau gajet-gajet canggih. Dia hanya menggunakan kekuatan akal dan fizikal untuk meneruskan ikhtiar hidup. Dua filem sambungan dikatakan tidak sebaik yang pertama tetapi masih mempunyai kekuatan sendiri.
Apabila studio penerbitan mahu meneruskan siri ini untuk filem keempat, tanpa Damon dan tidak lagi berdasarkan buku, ia dilihat sebagai taktik untuk mengaut keuntungan semata-mata. Tugas pengarahan buat pertama kali diserahkan kepada Tony Gilroy selepas dia menulis ketiga-tiga skrip filem Bourne.
Kemampuan Gilroy sebagai pengarah pernah dibuktikan menerusi Michael Clayton (2007) dan Duplicity (2009). Dilihat mempunyai kewibawaan namun tugasan kali ini lebih berat kerana perbandingan pasti dibuat. Dan seperti yang dibimbangi banyak pihak, The Bourne Legacy terhasil tanpa kesaktian.
Cerita dalam The Bourne Legacy bermula serentak pada masa yang sama ketika peristiwa di dalam The Bourne Ultimatum berlangsung. Anda dinasihatkan menonton atau mengambil tahu serba-sedikit tentang filem ketiga sebelum menyaksikan sambungannya ini. Jika tidak, anda akan sedikit sesat.
Penonton disogokkan pelbagai terma yang janggal berkenaan operasi CIA. Jika anda pengikut baru siri Bourne, berkemungkinan anda bosan dan keliru, lebih-lebih lagi 15 ke 20 minit yang pertama bergerak dalam rentak perlahan. Para pelakon seperti bercakap sesama sendiri tanpa difahami penonton.
Damon tidak muncul dalam filem ini, hanya fotonya digunakan. Dia sebagai Jason Bourne dilaporkan hilang, menyebabkan beberapa operasi sulit CIA terpaksa dihentikan, termasuk menghapuskan ejen-ejen perisik. Salah satunya adalah Project Outcome yang diwakili ejen Aaron Cross lakonan Jeremy Renner.
Berbanding Bourne yang menjadi tangkas menerusi latihan, Cross bergantung kepada pil yang dikilangkan khas bagi membantu memperkuatkan tenaganya secara fizikal dan mental. Dia masih manusia biasa tetapi genetiknya diubah. Mungkin ini usaha Gilroy untuk memasukkan sedikit elemen sains fiksyen.
Dr. Marta Shearing (Rachel Weisz) merupakan salah seorang saintis yang bertanggungjawab mengubah kromosom ejen-ejen ini agar menjadi manusia yang sempurna. Namun apabila operasi dihentikan, bukan saja ejen menjadi sasaran malah kesemua saintis dibunuh termasuk cubaan membunuh Shearing.
Cross dan Shearing akhirnya menjadi pelarian. Mereka merantau jauh sehingga ke Manila iaitu lokasi kilang memproses pil biru yang mesti diambil Cooper untuk terus hidup. Mereka bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri dan saling menukar identiti.
Tema diburu majikan sendiri hampir sama dengan filem Bourne yang pertama. Namun apa yang membuatkan The Bourne Legacy tewas adalah skripnya yang lemah. Jika The Bourne Identity mempunyai sifat misteri yang harus dibongkar dan jawapan yang harus dicari untuk setiap persoalan, filem keempat ini tidak.
Edward Norton yang melakonkan watak Kolonel Eric Bayer selaku ketua operasi, sejak awal lagi sudah memberi arahan kepada konco-konco dan setiap unit gerakan. Justeru, penonton sudah boleh mengagak apa yang bakal berlaku. Debaran hanya dirasai menerusi babak-babak aksi dan kejar-mengejar saja.
Tiada adegan yang benar-benar melonjakkan adrenalin kecuali apabila Cross dan Shearing dikejar di Manila. Bagi peminat-peminat filem bergasak sebegini, ia mungkin satu kenikmatan tetapi secara teknikal, ia terhasil sedikit huru-hara dengan suntingan dan gerak kamera yang tidak lancar.
Renner dan Weisz adalah pelakon yang hebat. Mereka mampu membawakan apa saja watak tetapi kali ini ia kelihatan biasa saja kerana dipengaruhi gaya pengarahan. Keserasian itu ada dan boleh dipercayai malah sesiapa pun setuju mereka sudah melakukan yang terbaik untuk meneruskan legasi Bourne.
Meskipun nama-nama watak berubah dan pelakonnya juga berubah, premis cerita masih sama. Mereka melarikan diri dari agensi yang serupa serta lari dari sasaran peluru yang serupa.
Penghasilan sekuel ini sedikit sebanyak merosakkan reputasi jenama Bourne. Seperti kata Paul Greengrass (yang mengarahkan The Bourne Supremacy dan The Bourne Ultimatum) dalam satu temubual, filem keempat ini sepatutnya dinamakan The Bourne Redundancy yang bermaksud Bourne yang berulang.
No comments:
Post a Comment