Jiwa besar, lebih dari 3D
Budi ialah seorang lelaki yang dilahirkan pada tahun lompat bersamaan tarikh 29 Februari 1896. Dimakan usia empat tahun sekali, saiz fizikalnya yang tidak pernah tua menyebabkan orang kampung menganggap dia terkena sumpahan.
Filem ini merakamkan perjalanan hidup Budi dari era transformasi Tanah Melayu kepada Malaya sehinggalah Malaysia pada tahun 2012. Bagaimana dia jatuh cinta dengan seorang gadis Cina bernama Lily dan kesetiaannya untuk terus bersama wanita itu meskipun dihalang keluarga dan skeptikal masyarakat.
KRU adalah syarikat gergasi adik-beradik yang bijak memanipulasi idea-idea yang ditekap dari barat. Selepas kejayaan Magika (2010) meraih trofi Filem Terbaik dan Edry Abdul Halim sebagai Pengarah Harapan, mereka membawakan sebuah lagi citra yang mempunyai rupa dan perasaan epik komersial ala Disney.
Edry masih mengekalkan nuansa muzikal. Tetapi kali ini lebih memberatkan drama dan kurang elemen nyanyian berbanding filem pertamanya.
Seiring dengan keberanian KRU menghasilkan 29 Februari dalam versi 3D (juga versi 2D dan biasa), filem ini mempunyai semangat besar dari aspek penceritaan.
Skrip tulisan Amir Hafizi mengkacukkan kisah fiksyen Budi dengan peristiwa-peristiwa penting tanah air - seperti penaklukan Jepun, Hari Merdeka 31 Ogos 1957 serta tragedi 13 Mei 1969. Tidak dapat dielakkan, penonton pasti teringat kepada Forrest Gump (1994) yang mempunyai helah dan teknik hampir serupa.
Beberapa visual asal yang diperoleh dari Arkib Negara 'diperbaharui' untuk disesuaikan dengan plot. Misalnya visual laungan kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman yang disatukan dengan lakonan semula penonton di Stadium Merdeka, termasuk Budi sebagai saksi kepada hari bersejarah itu.
Visual arkib berkenaan hanya boleh diperbaiki sehingga tahap tertentu dan ia masih nampak janggal apabila diasimilasikan dengan rakaman terkini.
Justeru menjadikan ia dalam bentuk 3D adalah jalan yang lebih inovatif agar babak itu nampak 'timbul' dan memberikan kesan berbeza, berbanding cubaan Datin Paduka Shuhaimi Baba 'mengahwinkan' visual baru dan lama untuk filem 1957: Hati Malaya (2007) yang kesemuanya diberikan warna hitam putih.
Usaha KRU untuk memberi kepuasan tontonan menerusi medium 3D harus dipuji meskipun hanya terpamer jelas pada sesetengah babak dan ada ketikanya kelihatan mendatar. Begitu juga sesetengah kesan khas yang tidak cukup 'halus' buatannya seperti adegan pekan dibom serta rumah pusaka terbakar.
Namun kelemahan ini dilindungi dengan pengarahan seni dan rekaan produksi yang boleh dibanggakan. Latar warna-warna yang terang dan garang serta kostum, set dan prop yang sesuai. Jabatan tatarias begitu teliti dalam menunjukkan transisi setiap zaman.
Pengarahan Edry dirasakan lebih kemas berbanding Magika dari aspek susun atur dan gerak yang sederhana - tidak terlalu pantas, tidak juga lembab. Begitu pun terdapat beberapa babak yang menjadi persoalan, tidak pasti jika ia disebabkan kesilapan suntingan filem atau suntingan lakon layar.
Antaranya, ketika babak pekan dibom, ibu Budi meninggalkannya bersendirian sebelum babak seterusnya menunjukkan ibunya sudah berada di lokasi lain. Begitu juga dengan 'kematian' Razak tanpa diberitahu sebabnya sebelum kelibat Razak tiba-tiba muncul semula pada era 1980an. Hal ini amat mengelirukan.
Babak Budi bersalam dengan Dr. Mahathir Mohamad (kini Tun) pada hari perasmian Proton Saga di Jambatan Pulau Pinang juga diwujudkan tanpa signifikan. Adakah ia dibikin semata-mata untuk 'mengisi' ruang 1980an? Kalau begitu, mengapa era 1990an tidak ditunjukkan dan terus melompat ke 2012?
Hal-hal 'kecil' sebegini yang sedikit sebanyak mengganggu tumpuan tontonan. Meskipun sudah gah dari sudut rupa, beberapa detik 'sakti' yang ingin dicipta Edry dan Amir seolah tidak kesampaian, tidak dirasai dan hanya di permukaan.
Apa yang saya amat suka mengenai 29 Februari ialah penataan skor muzik yang cantik dengan iringan orkestra. Sama halnya dengan lagu-lagu yang kenal ruang dan tahu detik yang tepat untuk diisi terutamanya babak-babak menuju ke penghujung sebelum berlaku tragedi kematian.
Remy Ishak bukanlah seorang penyanyi, tetapi usahanya untuk mendendangkan melodi dikira lulus, atas kebijaksanaan Edry menggubah mengikut kemampuan vokal aktor itu. Watak Budi yang mampu bernyawa lebih 100 tahun itu juga dipikul Remy dengan baik kerana karakter dramatik sudah sebati dengannya.
Pujian harus diberikan kepada Jojo Goh sebagai Lily yang menampilkan lakonan yang baik dan mencetuskan keserasian dengan Remy. Wajah, gerak tubuh dan persembahannya memberikan kesegaran kepada industri sinema Melayu yang jarang-jarang menampilkan pelakon utama berketurunan Cina.
Tidak ketinggalan lakonan Izzue Islam sebagai Razak yang bersahaja dan mencuit tetapi ada masanya menyentuh kerana kemurnian sifatnya sebagai pemuda cacat penglihatan. Cuma pembinaan watak Fizz Fairuz sebagai lelaki yang gemar memakan gula-gula lollipop seperti salah tempat dan 'merimaskan'.
Apa pun, penghasilan 29 Februari harus dilihat dari perspektif yang lebih meluas. Selain merintis teknologi stereoskopik, usaha menggabungkan unsur komersial yakni drama dan romantisme; dengan elemen sejarah dan patriotisme adalah satu inisiatif yang membanggakan dan menghiburkan.
No comments:
Post a Comment