Thursday, September 13, 2012

KATY PERRY: PART OF ME (2012)

Filem gula-gula

SAYA bukanlah peminat setia Katy Perry. Saya akui mengetahui beberapa lagunya antara lain Thinking of You, Fireworkdan The One That Got Away tetapi setakat itu saja. Tidak pernah membeli atau memiliki tiga albumnya.
Namanya dijulang sepanjang tahun 2011. Dia menjadi artis wanita pertama dalam sejarah (rekod serupa pernah dipegang Michael Jackson untuk album Bad) di mana lima lagu dari album yang sama bertajuk Teenage Dream mendapat nombor satu dalam carta.
Tahun itu juga menjadi tahun pertama dia melancarkan siri jelajah besar-besaran, The California Dreams Tour yang meliputi 124 destinasi dan memakan masa 11 bulan.
Perry yang saya kenal melalui tontonan dan pemerhatian sekali imbas ialah seorang bintang pop yang menjual imej. Vokalnya tidaklah semantap mana tetapi kerana kebijaksanaan pemasaran dan penataan gaya, dia mempunyai aura yang amat disenangi apatah lagi berbakat menulis dan menggubah lagu sendiri.
Sejujurnya, saya memilih untuk menonton Katy Perry: Part of Me versi 3D kerana bosan dengan senarai filem yang diputarkan di pawagam yang didominasi filem seram. Sekurang-kurangnya, filem konsert sebegini menghiburkan.
Kerana sifatnya yang tidak jauh beza dengan Michael Jackson's This Is It (2009) atau Justin Bieber: Never Say Never (2011), saya tidak meletak sebarang harapan yang tinggi. Tentu sekali ini bukan autobiografi penuh sebaliknya rakaman perjalanan siri konsert dengan sedikit riwayat subjek utamanya.
Di atas pentas, Perry ialah seorang penghibur yang sangat flamboyant sifatnya. Rambutnya bertukar-tukar warna; sekejap biru, merah atau ungu; dan baju-bajunya sentiasa mencetuskan mood keriangan; seperti pergi ke karnival atau funfair. Keunikannya masih terkawal, tidak menakutkan seperti Lady Gaga.
Pesona inilah yang mendorong ramai remaja menjadikan dia sumber inspirasi seperti yang dipaparkan pada awal dan akhir filem iaitu klip-klip peminat belasan tahun. Dan kerana tujuan filem ini dihasilkan untuk menaikkan lagi reputasi Perry maka ditunjukkan siapa dia sebelum menempa kemasyhuran.
Dilahirkan sebagai Katheryn Elizabeth Hudson dalam keluarga yang kuat pegangan agama, sumber hiburannya ketika kecil terhad kepada buku-buku cerita dan lagu-lagu gospel. Ibu bapanya melarang dia menonton filem The Wizard of Oz atau Alice in Wonderland apatah lagi saluran MTV.
Meningkat remaja, dia mula meneroka pelbagai jenis muzik pengaruh rakan sebaya dan jatuh cinta dengan album Jagged Little Pill daripada Alanis Morrisette.
Dia giat mencipta lagu dan mencuba nasib sebagai artis rakaman. Kejayaan yang diciptanya hari ini tidak sekelip mata. Dia pernah gagal di bawah naungan dua syarikat besar. Mereka mahu dia menjadi klon Britney Spears atau Avril Lavigne dan itu tidak mendapat perhatian.
Sehinggalah pada tahun 2008, dia menandatangani kontrak dengan Capitol Records yang merancang semula strategi pemasaran. Single komersialnya yang pertama, I Kissed a Girl berjaya menduduki carta dan diperkatakan.
Mempunyai latar belakang Kristian yang kuat, saya fikir filem ini mempunyai beberapa topik yang menarik untuk dibincangkan. Bagaimana ibu bapa Perry menerima anak gadisnya menyanyikan lagu yang mempunyai unsur seksual seperti itu. Sayangnya, itu tidak berlaku.
Memang ada temuramah dengan ibu bapanya tentang single tersebut tetapi ia sekadar reaksi wajah, tidak benar-benar mengupas secara mendalam. Barangkali pengarah, penerbit dan Perry sendiri enggan menjadikan filem ini sebagai sesuatu yang serius. Segalanya hanya di permukaan dan diberitahu secara asas.
Momen dramatik tercetus apabila rumah tangga Perry dengan pelawak Russell Brand berkecai. Beberapa babak awal menunjukkan Brand muncul di belakang pentas konsert untuk memberi sokongan.
Penonton turut didedahkan dengan visual Perry menangis sebelum persembahan serta kemurungannya apabila menerima SMS daripada Brand yang bercerita tentang nama bakal anak mereka. Dengan populariti yang sedang dibina adalah mustahil untuk Perry bergelar ibu dan ini salah satu punca perpisahan.
Pengarah filem ini bijak memilih lagu-lagu yang bersesuaian untuk diselang-selikan dengan penceritaan. Suntingannya kemas, audionya secukup rasa untuk sebuah filem konsert dan visual dalam tiga dimensi tidak mengecewakan.
Selain itu, Katy Perry: Part of Me tidak berbeza dengan filem-filem konsert yang lain dengan beberapa tenaga kerja penting seperti pengurus, pembantu peribadi dan beberapa rakan rapat ditemubual.
Kemunculan istimewa nama-nama besar seperti Lady Gaga dan Justin Bieber sekadar mahu menunjukkan Perry seangkatan dengan mereka. Rakaman yang membabitkan mereka itu tidak memberi apa-apa kesan kepada jalan cerita.
Seperti kostum Perry yang mempunyai kek cawan sebagai hiasan dan gula-gula lollipop sebagai prop pentas, begitulah sifat filem ini. Ia manis dan seronok untuk dinikmati meskipun tidak memberi khasiat. Yang pasti, filem ini membuatkan saya mahu menjadi peminat setia Katy Perry.

No comments: