Looper digarap cemerlang
Filem tulisan dan arahan Rian Johnson (Brick, 2005) ini adalah sebuah lagi contoh naskhah sains fiksyen yang melangkaui realiti, tetapi dengan kreativiti, penonton dapat mempercayai dan menerimanya bulat-bulat. Asli dan memprovokasi pemikiran, ia dilaksanakan dengan cemerlang.
Joe ialah seorang pembunuh upahan atau dipanggil 'looper' yang bekerja dengan mafia pada tahun 2044. Pada 30 tahun akan datang, mesin masa telah dicipta dan digunakan oleh geng mafia ini untuk menghapuskan musuh mereka.
'Looper' bertanggungjawab membunuh sesiapa saja yang dihantar menerusi mesin masa. Mangsa diikat dan disarungkan kain pada wajahnya dengan tujuan menyembunyikan identiti. Sehinggalah suatu hari, Joe ditugaskan untuk membunuh dirinya sendiri yang dibawa dari masa depan.
Ketua mafia pada masa depan yang hanya dikenali sebagai Rain Maker ingin menghapuskan kesemua 'looper'. Justeru, Joe versi tua dan versi muda harus bekerjasama untuk mencari Rain Maker yang ketika itu masih seorang kanak-kanak. Budak lelaki itu mesti dibunuh agar sejarah dapat diubah.
Anda mungkin keliru apabila membaca sinopsis ini dan barangkali terpinga-pinga juga semasa menyaksikan filemnya. Namun, kebijaksaan Johnson 'bercerita' membuatkan penonton terpaku kerana diusik naluri ingin tahu bagaimana, kenapa dan apa yang akan terjadi.
Dengan skrip yang kompleks, Looper terdedah kepada banyak lubang kelemahan. Tetapi, di sinilah kekuatan Johnson dalam menyambungkan setiap titik yang diciptanya sendiri agar tidak tersasar atau tergantung.
Dia tahu menjalinkan setiap karakter dengan peristiwa dan latar masa, membuatkan segalanya bergerak teratur. Dia juga membenarkan pembinaan watak berlaku secara organik dengan menyuntik sifat-sifat insani. Walaupun Looper adalah kisah masa depan, ketertiban dan semangat manusia masih sama.
Plot filem ini dibangunkan dengan baik dan begitu berhati-hati, sehingga mungkin terasa sedikit mendatar di pertengahan. Segala perincian harus dijelaskan, tetapi ia tidak lama sebelum adrenalin memuncak semula.
Johnson memahami filem aksi tidak semestinya harus ada letupan dalam setiap sepuluh minit. Sedang kita cuba menghadam konsep pengembaraan masa, dia turut menampilkan elemen thriller menerusi individu berkuasa telekinetik. Ini menambah nilai kepada penceritaan yang menakjubkan dan memeranjatkan.
Seperti Inception ilham genius Christopher Nolan (The Dark Knight Rises, 2012), Looper juga membuatkan penonton tidak boleh mengagak babak-babak seterusnya kerana ia penuh dengan 'twists and turns'.
Selain penulisan dan pengarahan yang baik, Looper didokong oleh persembahan hebat para pemainnya. Joseph Gordon-Levitt sebagai Joe versi muda terpaksa memakai prostetik dan solekan tebal untuk menyamakan ciri-ciri wajahnya dengan Bruce Willis sebagai Joe versi tua.
Di sebalik mekap itu, Gordon-Levitt memberikan lakonan yang stabil, mengadaptasi bahasa tubuh dan gaya percakapan Willis dengan berkesan. Aktor muda ini tampil berkeyakinan membawa peranan multi-dimensi, di antara seorang pembunuh kejam dengan lelaki biasa yang berada di persimpangan.
Bruce Willis tidak menghampakan. Sekurang-kurangnya, tidak terlalu klise Hollywood seperti siri filem Die Hard (1998-2007). Keserasiannya dengan Gordon-Levitt yang menjadi individu serupa pada usia berbeza, tercetus dengan baik, terutamanya pada babak dalam restoran ketika masing-masing bersemuka.
Emily Blunt ialah 'femme fatale' dalam filem ini. Kemurniannya di sebalik ketegasan dan cara dia memegang senapang mahupun kapak dilakonkan dengan sangat baik. Jika dilihat dari satu lapis, peranannya seperti seorang mangsa, tetapi di pengakhiran, dia adalah srikandi dan 'survivor' pada masa sama.
Selain tiga bintang gred-A ini, perhatikan persembahan pelakon cilik, Pierce Gagnon yang membawakan watak paling penting. Biarpun kemunculannya hanya setengah jam sebelum filem tamat, tetapi memberi impak yang besar.
Looper adalah contoh terbaik bahawa Hollywood masih belum kering idea. Ia tidak takut untuk mempermain-mainkan minda penonton dalam cara yang pintar. Akal penonton yang ligat mencantumkan 'permainan' yang ditunjukkan akhirnya mendapat penamat yang fantastik dan memuaskan.
Filem ini bagaikan satu tamparan kesedaran kepada studio-studio besar yang semakin ghairah menerbit filem bikin semula, atau sekuel dan prekuel, atau adaptasi komik dan novel. Dunia memerlukan lebih ramai Rian Johnson.
No comments:
Post a Comment