Thursday, October 18, 2012

HANTU KAPCAI (2012)

Komedi yang patut diambil serius
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)

Hantu Kapcai merupakan sebuah lagi naskhah komedi seram yang menyertai  barisan filem menggunakan judul ‘hantu’, antaranya Hantu Air (2012), Hantu Gangster (2012), Hantu Dalam Botol Kicap (2012), Hantu Bonceng (2011) dan Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010).

Judul sedemikian bukan saja mudah untuk difahami dan memberi bayangan tentang keseluruhan cerita, malah mampu menarik golongan penonton sasaran ke pawagam. Rata-rata filem tadi meraih kutipan yang memberangsangkan, mencetuskan minat penerbit dan pengarah untuk terus membikinnya.

Hantu Kapcai merupakan ‘anak sulung’ kepada pengarah Ghaz Abu Bakar yang sebelum ini aktif mengarah telefilem, drama bersiri dan video muzik. Ia juga menjadi produk pertama Showbiz Productions, anak syarikat KRU Studios.

Zizan Razak menggalas peranan Ajib, mat rempit yang menjadi harapan ibu (Dian P. Ramlee) dan adiknya, Akim (Hairul Azreen) untuk menyara keluarga.
Suatu malam, dia kemalangan semasa berlumba dengan Greng (Izzue Islam) dan meninggal dunia. Rohnya yang tidak aman berkeliaran, cuba mencari keadilan dalam masa 40 hari. Dia tahu kemalangannya dirancang oleh Tiger (Remy Ishak).

Dengan bantuan Ibrahim (Fizz Fairuz) yang mampu melihat rohnya, Ajib meminta Akim untuk menebus maruah mereka. Akim yang selama ini tidak gemar merempit terpaksa menunaikan permintaan itu, sekaligus melunaskan hutang keluarga yang ditinggalkan Ajib menerusi hadiah kemenangan berlumba.

Hantu Kapcai menawarkan sebuah tema yang sangat biasa dan premis yang boleh dijangka. Namun, ada sesuatu yang membezakannya dari lambakan filem komedi seram terbitan David Teo, sekurang-kurangnya dari aspek pelaksanaan.

Hantu Kapcai adalah filem komedi yang patut diambil serius. Bukan bermaksud ia karya berat, tetapi bagaimana pembikinnya mengambil berat soal penceritaan dan pembinaan watak. Ia tidak memperlekeh-lekehkan minda penonton, walaupun jalan ceritanya berkemungkinan menyentuh sensitiviti agama.

Ghaz yang turut bertindak sebagai penulis skrip menghasilkan dialog-dialog bersahaja dan tidak menjengkelkan. Ini penting untuk naskhah komedi kerana penonton sepatutnya ketawa, bukan mencebik kerana terasa diperbodohkan.

Dia tahu menyusun babak demi babak dan mengembangkan cerita dengan meletakkan elemen-elemen ‘curiosity’ agar penonton terus melekat di kerusi.

Meskipun terdapat beberapa konotasi seksual secara senyap (misalnya Akim yang suka baca majalah Mangga, Tiger yang suka makan pisang sehingga bajunya juga bergambar pisang, serta babak mengurut dalam penjara), ia tidak dilihat kotor, sebaliknya sejenis humor yang gelap dan pintar, yang tidak menyinggung.

Memang jalan ceritanya tidak masuk akal dan soal logik adalah perkara yang tidak patut diperdebat dalam karya fiksyen. Bagaimanapun, sukar untuk kita mencari pembikin filem tempatan yang mampu membuatkan penonton percaya dengan segala fantasi mereka. Ghaz adalah salah seorang pengarah yang mampu.

Kesan khas yang digunakan agak minimal seperti kedatangan Ajib dalam bentuk cahaya. Namun, dalam beberapa babak dirasakan tidak perlu kerana ia kelihatan seperti grafik amatur, misalnya animasi anak tekak dan spesifikasi enjin.

Tidak banyak yang boleh diulas mengenai lakonan Zizan. Bukan dia tidak bagus atau bersungguh-sungguh, tetapi dia sekadar meneruskan pola lakonan serupa yang pernah kita saksikan dalam filem-filemnya sebelum ini.

Bagaimanapun, saya suka dengan penampilan Ajib yang berjaket merah ibarat satu ‘homage’ kepada imej hantu Michael Jackson dalam video muzik Thriller. 

Di sebalik kisah Ajib, Hantu Kapcai sebenarnya adalah cerita mengenai Akim. Bagaimana dari seorang yang dianggap lembik (bekerja di kedai bunga dengan motor yang juga berhias cetakan bunga-bungaan), bertukar menjadi wira pada akhirnya. Hairul memberikan justifikasi yang sederhana untuk watak ini.

Barangkali ada penonton yang akan terperanjat atau sedikit terganggu dengan babak roh Akim bertemu roh Ajib yang memakai jubah dalam suasana serba putih seperti dalam awan gemawan.
Namun, anggap saja itu suatu babak mimpi seperti mana yang pernah dibayangkan Aziz M. Osman ketika ‘semangat’ Seri yang koma dan roh Dewi berbalah dalam Seri Dewi Malam (2001); atau bayangan Bade Hj. Azmi tentang siksaan neraka dalam Maut (2009).

Sementara itu, Fizz sangat ‘menjadi’ sebagai bekas mat rempit yang sudah insaf dan ingin menjadi peserta program realiti Imam Muda. Kesederhanaan permainannya, bahasa tubuh dan percakapannya yang selamba membuatkan penonton juga secara automatik menyenangi karakter Ibrahim.

Hantu Kapcai bukanlah sebuah filem yang tidak mempunyai kelemahan. Begitupun, kerana sifatnya semata-mata untuk menghiburkan, saya kira misi itu tercapai. Dan sekurang-kurangnya, skor muzik filem ini tidak berbunyi ‘generic’ dan diulang-ulang seperti dalam filem-filem MIG. 





HANTU KAPCAI sedang ditayangkan di ASTRO FIRST

No comments: