Thursday, October 18, 2012

AKU TERIMA NIKAHNYA (2012)

Ijab kabul yang tidak sempurna

JIKA dinilai judul dan plot, Aku Terima Nikahnya ibarat salinan karbon daripada filem Hollywood, The Vow yang ditayangkan di pawagam Mac lalu.
Sebenarnya, tiada apa yang hendak dihairankan. Tabiat tiru-meniru bukanlah perkara asing dalam industri sinema dunia. Bollywood meniru Hollywood, Hollywood meniru sesama mereka, apatah lagi penggiat seni di rantau Asia.
Begitupun, mohon jangan keliru di antara teknik mengadaptasi atau mengambil inspirasi dengan menciplak. Terma-terma itu membawa maksud yang berlainan.
Di Malaysia, isu peniruan sudah sekian lama 'dipraktikkan' tanpa rasa berdosa. Mohon maaf jika saya silap tetapi seingat saya filem seperti Mr. Os (1987) dan Keluarga 99 (1987) juga pernah didakwa meniru karya komedi Hong Kong.
Berbeza dengan Hollywood, mereka mempunyai lebih integriti dan peruntukan yang besar untuk terus membeli hak cipta jika mahu membikin semula. Misalnya, The Ring (2002) yang diambil dari Jepun bertajuk Ringu (1998) dan The Departed (2006) yang dibeli dari filem Hong Kong, Infernal Affairs (2002).
Untuk berlaku adil, saya tidak akan membandingkan Aku Terima Nikahnya dengan The Vow, walaupun jalan ceritanya mempunyai persamaan yang ketara. Dengan sedikit perbezaan yang ada, penerbit, penulis skrip dan pengarah boleh mempertahankan hak mereka dan mengatakannya sebagai naskhah asli.
Johan (Adi Putra) dan Arlisa (Nora Danish) merupakan pasangan suami isteri yang baru berkahwin. Rumah tangga mereka diuji apabila Johan dilanggar kereta semasa berjogging menyebabkan dia hilang daya ingatan.
Johan menghidap selective amnesia iaitu dia hanya dapat mengingati perkara yang berlaku dua tahun sebelum kemalangan terjadi. Ini bermakna dia tidak mengenali siapa Arlisa malah sukar menerima hakikat dia sudah beristeri.
Masalah di dalam filem ini ialah saya tidak tahu mengapa Johan marah-marah dan begitu membenci Arlisa. Benar, dia keliru kerana Arlisa 'tiba-tiba' wujud dalam hidupnya namun itu sajakah alasan terbaik untuk dia menjadi seorang pemberontak dan suami yang bengis?
Karakter Johan sepatutnya disokong dengan latar cerita yang kukuh. Sebagai contoh, mungkin dua tahun sebelum dia mengenali Arlisa, dia mempunyai kekasih lain. Oleh yang demikian, barulah wujud konflik sebenar mengapa Johan bingung dan tertanya-tanya siapa Arlisa dalam hidupnya.
Bukan itu saja, Johan tidak mencuba langsung untuk mengingati detik-detik terdahulu, seperti mencari semula gambar-gambar lama atau menghubungi rakan-rakan baik untuk membantu menceritakan apa yang telah terjadi.
Malah pekerjaan Johan juga kabur. Adakah dia pelukis sepenuh masa atau mempunyai profesion lain? Mengapa dia tidak cuba untuk menjalani kehidupan lamanya agar dia mengingati semula apa yang pernah dia lakukan?
Memang ada ditunjukkan babak Johan melukis potret-potret Arlisa tetapi itu sajakah usahanya untuk mendapatkan semula kehidupan yang hilang? Dia dilihat hanya menghabiskan masa duduk di rumah seolah-olah 'menunggu' ingatannya pulih sendiri seperti sediakala.
Karakternya digambarkan sebagai lelaki yang dangkal dan lemah walaupun secara luaran asyik membentak-bentak dan berkelakuan kasar.
Dia mengenepikan Arlisa mentah-mentah sehingga menimbulkan keanehan. Mengapa setiap perbuatan isterinya dibenci, termasuk kemanjaan seorang wanita yang sah di sisinya (dan secantik Nora Danish) juga ditolak bulat-bulat?
Dalam filem ini, ya, Johan menolak atas alasan belum bersedia dan tidak selesa. Tetapi mengapa? Dia tidak punya kekasih lama untuk berasa curang malah dia juga tidak merapati wanita lain, kecuali Suria, rakan baik Arlisa. Itu pun Johan akui dia sekadar mahu berkawan.
Atau adakah dalam kehidupan lampaunya, Johan seorang homoseksual? Saya mula bermain dengan pelbagai teori kerana tidak dijelaskan sebab-musababnya. Saya menjadi lebih keliru daripada Johan!
Kemunculan pelakon-pelakon pembantu seperti ibu bapa Johan dan Arlisa; serta rakan baik mereka, tidak menyokong apa-apa dari aspek pembinaan watak. Mereka sekadar ada di situ untuk mengisi masa tayangan dengan dialog berulang-ulang seperti "bersabarlah" atau "kau ceraikan saja jika tidak suka".
Inilah kelemahan paling besar dalam Aku Terima Nikahnya. Pembinaan karakter tidak dipedulikan sebaliknya penulis dan pengarah hanya memberi fokus kepada babak-babak melankolik yang memaksa penonton untuk menangis dan berasa kasihan sedangkan saya marah dan kecewa dengan plot yang kabur.
Jika ada simpati pun, saya ingin tujukan kepada Adi dan Nora kerana saya tahu mereka pelakon berbakat. Saya pasti dedikasi mereka untuk filem ini tidak berbelah bagi namun sayangnya tidak kesampaian.
Filem ini disudahkan dengan pengakhiran yang menggembirakan ala Hindustan. Bukan bermaksud saya menginginkan penamat yang kompleks atau kesedihan tetapi tiada kematangan dalam penceritaan. Penulis skrip mengambil jalan mudah apabila menggunakan takdir sekali lagi sebagai jalan penyelesaian.
Aku Terima Nikahnya mempunyai banyak lubang kelemahan. Ia ibarat sebuah majlis ijab kabul yang meriah (merujuk gandingan hero dan heroin popular; serta kutipan tiket yang baik) tetapi tidak sempurna kerana isinya kosong.

4 comments:

Farahanani Amhazali said...

Kalau tak silap saya, ada filem Filipina yang bertema sebegini.
Jalan cerita nya juga hampir serupa.
One True Love lakonan Dingdong Dantes dan Marian Rivera. Sang suami yang amnesia dan terlupa terus kewujudan isteri.

Amy Z! said...

Saya sukakan ulasan filem yang padat dan tidak bias seperti ini.
Jika diteliti, jalan cerita ini sendiri dah terkeliru. Apatah lagi penonton.
Saya tak rasa rugi tak menonton cerita ini.

Ein said...

saya dah tengok.. dan kecewa... it could have been better i supposed.

http://ngobrolwae.blogspot.com/2012/10/aku-terima-nikahnya-my-personal-review.html

Joni Dep said...

Review filem Skyfall

http://www.sinema.my/movie-review-skyfall-penuh-dengan-plot-buduh/

Sila komen. Terima kasih!