Thursday, October 25, 2012

TED (2012)

Mengarut tetapi berkesan
Oleh Syazwan Zakariah (syazwan_zakariah@astro.com.my)
Mengarut ialah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan idea filem Ted. Begitupun apabila kita menontonnya, kita tidak rasa diperbodohkan, terima kasih kepada kebijaksanaan Seth MacFarlane selaku penulis skrip dan pengarah yang mampu mengajak kita berfantasi bersamanya. Ini merupakan filem cereka pertama arahan MacFarlane, pencetus ilham siri Family Guy (1999-2012) dan American Dad! (2005-2012). Dikenali dengan lawak-lawak bersahaja dan berisi (tetapi sedikit kotor dan kasar dalam standard budaya kita), dia meneruskan keupayaan itu menerusi Ted. Ted mengisahkan John Bennett, seorang kanak-kanak yang tidak disukai rakan sebaya menerima patung beruang sebagai hadiah. Pada malam Krismas, dia berdoa agar patung itu dapat bercakap dan menjadi teman baiknya. Doanya termakbul, Ted kemudian menjadi patung paling popular atas keajaiban itu. Dia bukan saja menjadi perhatian di Boston, tetapi media massa seluruh dunia, termasuk menjadi tetamu program bual bicara Johnny Carson. Selepas 27 tahun, kelebihan Ted itu, bagaimanapun sudah menjadi lumrah bagi sesiapa saja. Menjalani kehidupan sama seperti manusia, dia masih menjadi kawan baik dan rakan serumah kepada John walaupun lelaki itu sudah berusia 35 tahun dan mempunyai teman wanita bernama Lori. Rutin seperti menonton siri televisyen kegemaran, Flash Gordon (1980) dan melepak bersama-sama tetap dilakukan John dan Ted. Sehingga suatu hari, Lori meminta John agar menjadi lebih dewasa dan bertanggungjawab jika mereka mahu meneruskan perhubungan ke tahap yang lebih serius. Di sinilah bermulanya dilema apabila John terpaksa meminta Ted berpindah rumah dan menjalani hidup sendirian. Ted dilihat sebagai ‘gangguan’ untuk John bertindak matang dan menjadi lelaki sebenar seperti yang diinginkan Lori. Sepintas lalu, kisah seorang lelaki normal yang terpaksa berjauhan dengan patung beruangnya dirasakan cukup ganjil dan tidak masuk akal. Namun, dari awal hingga akhir, penonton akan mempercayai apa saja yang berlaku, menjadikan Ted sebagai naskhah komedi yang asli dan pintar. Seperti mana kita mempercayai kewujudan Gollum dari trilogi The Lord of the Rings (2001-2003) dan Caesar dari Rise of the Planet of the Apes (2011), seperti itulah kita mempercayai kewujudan Ted. Ciptaan teknik animasi motion-capture ini sangat menyakinkan, ditambah suara sumbangan MacFarlene sendiri. Apa yang menarik ialah ironi yang dicipta MacFarlane mengenai watak Ted iaitu sesuatu objek tidak bernyawa tetapi mempunyai kelakuan dan sifat-sifat manusia. Sama seperti John, Ted juga meningkat dewasa menerusi emosi, pemikiran, keinginan dan perbuatannya tanpa menunjukkan perubahan fizikal. Beberapa babak mengusik perasaan saya, misalnya ketika Ted memujuk Lori agar kembali kepada John; juga babak John bertumbuk dengan Ted di bilik hotel. Kita lupa Ted sebenarnya hanya patung beruang, sebaliknya melihat dia sebagai seorang insan yang mahu kita sayangi atau benci kerana keceluparan mulutnya. Kewujudan watak seorang bapa yang psiko dan anak lelakinya yang mahu menculik Ted sebagai subplot, terasa sedikit janggal pada permulaan. MacFarlane sengaja menambahkan lagi konflik, tidak cukup sekadar ‘cinta tiga segi’ di antara John, Ted dan Lori. Namun demikian, ia berjaya menaikkan lagi momentum filem ini apabila terciptanya babak-babak suspen, juga sebenarnya menjadi penghubung kepada kesimpulan keseluruhan cerita. Mark Wahlberg sebagai John adalah pilihan yang tepat kerana dia mempunyai fizikal yang tegap dan gagah, tetapi berupaya mempamerkan ‘vulnerability’ yang kuat di dalam. Pesona Wahlberg sebagai pelakon komedi sudah lama terbukti, misalnya dalam The Other Guys (2010) biarpun dia bukan seorang pelawak. Gandingannya dengan Mila Kunis sebagai Lori juga mempunyai keserasian dan watak bapa psiko, Donny sememangnya sangat secocok dengan Giovanni Ribisi. Kelucuan filem ini berada dalam kadar yang konsisten, selari dengan arus penceritaan yang baik. MacFarlane tahu ‘timing’ yang tepat untuk mengeluarkan jenaka serta mencipta dialog-dialog yang ringkas dan tajam, tetapi mungkin sedikit menyinggung kerana kelancangannya. Itu memang ‘trademark’ MacFarlane yang sinonim dengan jenaka sarkastik dan lepas laku. Justeru, bergantung kepada keterbukaan anda, Ted pada saya antara naskhah komedi terbaik tahun ini.

No comments: