Tidak perlu diingati
DENGAN barisan pelakon popular dan sifatnya sebagai filem blockbuster, Total Recall (1990) arahan Paul Verhoeven mempunyai pakej lengkap untuk dibikin semula. Walaupun tidak bertaraf Oscar, ia tergolong dalam kategori 'cult movies' iaitu filem yang berpengaruh dan mempunyai pengikut tersendiri.
Nampaknya trend menghasilkan semula filem-filem lama semakin lazim di Hollywood. Pelbagai alasan boleh dibentangkan, sama ada demi keuntungan segera (kerana menggunakan idea yang sudah terbukti berkesan tetapi disasarkan kepada kelompok generasi baru) atau mereka sudah kekeringan idea.
Sebagai informasi tambahan, sebelum Total Recall, siri filem Conan (1982, 1984) yang juga dilakonkan Arnold Schwarzenegger terlebih dulu dibikin semula tahun lalu. Total Recall yang terbaru masih berdasarkan cerpen tulisan Philip K. Dick, penulis sama untuk Blade Runner (1982) dan Minority Report (2002).
Versi terbaru arahan Len Wiseman (Underworld, 2003) tidak berlatarkan planet Marikh, sebaliknya memilih Britain dan Australia yang dipanggil The Colony. Kedua negara ini dihubungkan dengan medium pengangkutan yang sangat sofistikated sehingga melalui teras bumi dan mekanisme pembalikan graviti.
Pada era masa depan, peperangan dan penindasan menyebabkan masyarakat tertekan sehingga wujudnya Rekall. Syarikat itu menawarkan perkhidmatan menjual 'mimpi' untuk pelanggan merealisasikan fantasi. Mereka hanya perlu duduk di sebuah kerusi dengan wayar-wayar berselirat di kepala dan tangan.
Douglas Quaid, seorang pekerja kilang yang menjalani kehidupan rutin yang membosankan memutuskan untuk ke sana. Ketika melakukan pengesahan latar belakang, Rekall mendapati Quaid sebenarnya seorang ejen rahsia yang ditukar ingatan dan identitinya.
Lalu bermulalah pelarian Quaid untuk mencari siapa dirinya yang sebenar. Lori, yang selama ini isterinya, kini menjadi musuh kerana dia juga seorang ejen rahsia yang harus memantau pergerakan Quaid. Pencarian lelaki itu dibantu Melina, kekasih lamanya yang mengetahui mengapa identitinya diubah.
Schwarzenegger bukanlah pelakon yang hebat, malah boleh disifatkan sebagai 'kayu'. Namun, dia bertahan lama kerana mempunyai pesona sebagai bintang dan aura itu yang lebih sukar ditandingi berbanding persembahan lakonan.
Justeru, meletakkan pelakon sebaik Colin Ferrell pun masih sukar memberi justifikasi. Minda penonton generasi 1990-an sudah ditanam dengan memori bahawa Quaid sememangnya Schwarzenegger dan bukan orang lain. Ferrell di sini sekadar seorang lagi wira biasa dalam filem, tidak lebih dari itu.
Efek dan imej janaan komputer (CGI) menjadi sandaran untuk melengkapi lakonannya. Memang hanya jabatan kesan khas pun yang dinaik taraf dan menjadikan versi baru lebih canggih selaras kemajuan teknologi.
Seperti senario masa depan yang dibayangkan dalam kebanyakan filem, Total Recall turut menampilkan kereta terbang, bangunan pencakar langit yang berstruktur ultra-moden serta pelbagai gajet, termasuk telefon tapak tangan. Imej polisnya pula mengingatkan penonton kepada klon-klon tentera dari francais Star Wars.
Walaupun penonton mampu teruja dengan beberapa babak tetapi kerana sifat filem asalnya begitu klasik, kita akan tetap mencari-cari persamaan yang boleh dikaitkan. Misalnya babak Quaid duduk di mesin proses 'pemindahan mimpi'.
Cuma topeng Quaid yang berlapis-lapis itu ditiadakan, begitu juga gadis jalanan yang mempunyai tiga payudara kali ini disopankan apabila dia memakai bra.
Apa yang dirasakan hilang dalam versi baru ini ialah humor yang dicipta secara tidak sengaja oleh Schwarzenegger, baik menerusi dialog mahupun perbuatan. Total Recall yang lama, walaupun pantas dan ganas, mempunyai semangat santai. Kontranya, watak Ferrell dicipta dalam acuan wira seperti Jason Bourne.
Wiseman, yang juga suami kepada salah seorang pelakon iaitu Kate Beckinsale, mempunyai sentuhan yang baik dalam menghasilkan adegan-adegan aksi seperti arahannya terdahulu, Die Hard 4 (2007). Setiap gerakan dikoreografi rapi dan suntingan yang kemas juga menyumbang kepada kelancaran cerita.
Dan kerana Wiseman juga, Beckinsale mendapat durasi kemunculan yang lebih banyak berbanding Jessica Biel. Menariknya, watak Lori yang dibawakan Beckinsale adalah gabungan dua karakter dari filem asal iaitu watak Lori lakonan Sharon Stone dan pemburu upahan, Richter lakonan Michael Ironside.
Biel sebagai Melina pula sekadar memenuhi syarat. Sekurang-kurangnya, dia boleh meletakkan dalam 'resume' bahawa dia pernah berlakon filem bikin semula dalam genre aksi fantasi.
Secara keseluruhan, Total Recall yang baru hanya boleh dinikmati jika anda tidak membandingkannya dengan yang lama, iaitu satu perkara mustahil untuk dielakkan. Versi baru ini sama sekali tidak perlu diingati dan boleh diabaikan.
No comments:
Post a Comment