Thursday, November 29, 2012

THE PERKS OF BEING A WALLFLOWER (2012)

Pahit tetapi jujur
Oleh Syazwan Zakariah syazwan_zakariah@astro.com.my

JANGAN terpedaya dengan treler filem ini. Ia kelihatan sangat 'menyeronokkan' dan penuh dengan warna ceria. Sekali imbas, sedutan itu memberi gambaran The Perks of Being a Wallflower hanyalah satu lagi karya tipikal tentang transisi remaja ke fasa dewasa, mengenai alam persekolahan dan dunia selepasnya. Anda silap kerana filem ini lebih dari itu. The Perks of Being a Wallflower ditulis dan diarahkan Stephen Chbosky yang juga penulis novelnya. Dia bertuah kerana mendapat kepercayaan untuk mengalihkan naskhah ini dari kertas ke layar perak mengikut visi yang dimilikinya sejak awal lagi. Bukan semua pengkarya berpeluang melakukannya. Naskhah ini mengisahkan seorang pelajar bernama Charlie yang tidak dipedulikan kewujudannya. Pemalu, rendah diri, ulat buku dan membosankan, dia sebenarnya sedang melawan masa silamnya yang amat menakutkan. Rakan baiknya mati membunuh diri. Ibu saudaranya pula meninggal dunia pada hari ulang tahunnya yang ketujuh dan dia rasa berdosa atas kematian itu - hal ini terjawab pada penghujung cerita. Tragedi-tragedi itu menyebabkan dia mengasingkan diri, bukan saja dengan komuniti malah keluarganya sendiri. Charlie 'mengubat lukanya' dengan menulis jurnal, mendedikasikan tulisan-tulisannya ibarat sepucuk surat kepada seorang sahabat. Dia meluahkan segala yang terpendam seperti bercerita kepada seseorang yang tidak dikenali. Suatu hari, Charlie memberanikan diri untuk menyapa seorang pelajar senior, Patrick yang sekelas dengannya. Charlie berasa selesa kerana Patrick menerima kehadirannya dengan tangan terbuka walaupun perangai mereka berlainan. Patrick mempunyai adik tiri bernama Sam dan mereka bertiga menjadi akrab. Persahabatan itu membuka jalan untuk Charlie mengenal rakan-rakan lain. Dia mula mendengar lagu-lagu terkini kegilaan remaja, berparti serta menjadi penonton setia The Rocky Horror Picture Show. Matanya lebih 'terbuka' melihat dunia, dapat merasai kucupan pertama, juga merasa keliru jika sayang itu cinta. Kerana Chbosky memahami karakter-karakter ciptaannya secara psikologi mahupun fizikal, dia berupaya mengarahkan setiap pelakon untuk menjadi dan merasai seperti apa yang dia bayangkan. Chbosky menghasilkan interaksi yang sangat tulen, yang mampu menimbulkan empati kita kepada setiap karakter. Filem ini tidak hanya tertumpu kepada Charlie, meskipun dia plot penting. Penonton turut belajar tentang 'penderitaan' Patrick yang tersembunyi di sebalik sifat periangnya. Juga tekanan Sam untuk mendapat keputusan cemerlang, sekali gus membersihkan reputasinya yang dulu dianggap gadis murahan. The Perks of Being a Wallflower meneroka emosi remaja-remaja ini dalam kekeliruan untuk menjadi 'seseorang' - satu perasaan yang kita semua pernah rasai. Biarpun masing-masing datang dari latar yang gelap, tersiksa dan rapuh namun mereka masih berharap agar segalanya baik-baik belaka kelak. Ini tidak bermaksud filem ini mempunyai nuansa yang murung sepanjang masa. Chbosky tahu untuk mengimbangi di antara komedi dan babak-babak yang membuatkan penonton tersenyum; tetapi dalam sekelip mata mampu terhenyak dengan emosi apabila sejarah karakter utama terbongkar satu demi satu. Chbosky tidak memperlekehkan kematangan penonton untuk mengerti apa yang dirasai Charlie. Dia juga tidak memberikan satu penamat yang pasti, sebaliknya realiti di antara sayu dan gembira. Menggunakan lagu Heroes dari David Bowie sebagai penutup memberi signifikan yang jelas tentang transformasi Charlie. Memainkan peranan Charlie adalah satu kerja yang rumit tetapi ditangani cemerlang oleh Logan Lerman (Percy Jackson & The Olympians: The Lightning Thief, 2010). Kita tidak melihat Lerman sebaliknya percaya dia adalah Charlie. Setiap tutur kata dan tingkah lakunya telus malah sepuluh minit terakhir membuktikan persembahannya bertaraf anugerah. Emma Watson pastinya menjadi tumpuan kerana ini merupakan filem terbesarnya selepas francais Harry Potter (2001-2011) berakhir. Dia memiliki segala yang diperlukan untuk watak Sam - bijak, cantik, cergas dan 'playful' tetapi masih sensitif. Sesekali apabila Watson terbawa-bawa loghat British (watak Sam ialah gadis Amerika), kita akan teringatkan Hermione Granger. Namun perasaan itu segera hilang menyaksikan keserasian wataknya bersama Charlie dan Patrick lakonan Ezra Miller. Miller (We Need To Talk About Kevin, 2011) mencuri perhatian penonton dalam setiap babak yang membabitkannya. Dia adalah 'pak lawak' tetapi dia juga mampu membuatkan kita tersentuh pada babak tertentu. Biarpun gambaran wataknya sebagai homoseksual agak stereotaip tetapi dia tidak menjengkelkan. The Perks of Being a Wallflower mempunyai kumpulan pemain yang baik biarpun mereka sekadar pelakon pembantu dan tambahan. Misalnya, Paul Rudd sebagai cikgu bernama Mr. Anderson. Walaupun kemunculannya hanya dalam beberapa babak tetapi penting dalam penceritaan dan meninggalkan kesan. Selain lakon layar yang kemas dan persembahan lakonan yang mengagumkan, skor muzik Michael Brook (Into The Wild, 2007) menyumbang kepada kekuatan filem ini. Alunan muziknya sepadan dengan 'gema' babak yang ditampilkan. Pemilihan lagu-lagu runut bunyi juga yang dilakukan penyelia muzik Alexandra Patsavas (The Twilight Saga, 2008-2012) sangat bersesuaian dengan era latar 1990-an, menjadi simbol dan refleksi kepada selera remaja ketika itu. The Perks of Being a Wallflower adalah filem tentang tumbesaran remaja tetapi olahannya tidak tipikal seperti kebanyakan yang lain, misalnya francais American Pie (1999-2012). Filem ini sangat jujur sehingga kita akan mengangguk tanda mengakui kebenarannya, walaupun pahit.

Thursday, November 15, 2012

ISTANBUL AKU DATANG (2012)


Poskad istimewa dari Istanbul
Oleh Syazwan Zakariah
(syazwan_zakariah@astro.com.my)
Sedar atau tidak, genre komedi romantik di Malaysia seakan sedikit terpinggir berbanding genre lain. Sama ada pembikin menganggap jenis filem sebegini terlalu ringan, remeh dan kurang mencabar; atau mereka sebenarnya menyedari tidak mempunyai kepakaran untuk melakukannya.
Bukan tiada yang mencuba, tetapi selalunya tidak kesampaian. Hasilnya seperti separuh masak - hanya komedi tetapi tidak romantik, atau hanya romantik tetapi tidak komedi atau kedua-duanya tidak menjadi. Nampak mudah, tetapi genre ini harus ada kehalusan pembuatannya kerana kuat bermain dengan perasaan.
Menerusi Gol & Gincu (2005) dan Pisau Cukur (2009), pengarah Bernard Chauly dan penulis skrip Rafidah Abdullah membuktikan yang mereka memahami acuan dan struktur komedi romantik. Kedua-dua filem itu mendapat sambutan yang baik, mendorong mereka untuk menawarkan menu serupa sekali lagi.
Istanbul Aku Datang mengisahkan Dian yang sanggup terbang ke Istanbul untuk bertemu teman lelakinya, Azad yang menuntut di sana. Ingin mengambil kursus jangka masa pendek di universiti yang sama, dia harus memastikan Azad melamarnya dalam tempoh enam bulan.
Bagaimanapun, perancangan itu tidak selicin yang disangka. Dia terpaksa duduk berasingan apabila Azad tidak selesa mereka sebumbung dengan pelajar-pelajar Malaysia yang lain. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia ditipu ejen rumah sewa dan terpaksa tinggal dengan Harris, lelaki Melayu yang tidak dikenalinya.
Seperti dua naskhah Bernard dan Rafidah sebelum ini, watak utama wanita adalah ‘hero’ yang menjadi tunjang penting penceritaan. Dian merupakan simbol gadis moden yang berdikari, pintar dan berjiwa kental, tetapi tidak terlepas dari sisi semulajadi seorang perempuan yang rapuh dan mampu terpedaya.
Bernard dan Rafidah berupaya mengangkat semangat feminisme dengan cermat. Mereka tidak memperlekeh wanita, tetapi tidak juga menjulang secara berlebihan. Ciri-ciri ini bukan saja terbias pada Dian tetapi sudah diwujudkan pada Puteri (Gol & Gincu) serta Intan dan Bella (Pisau Cukur).
Ketiga-tiga karakter ini mempunyai persamaan yang jelas, di mana pada awal cerita mereka seakan ‘hilang’ tetapi mula mengenali diri sepanjang perjalanan. Benar, ia bukanlah sesuatu yang baru dalam naskhah komedi romantik, tetapi tidak semua pembikin mampu membina perwatakan yang ‘solid’ dan dipercayai. 
Kelebihan Bernard dan Rafidah ialah mencuri stail ‘chick flick’ Hollywood dan mengadaptasikannya dalam persekitaran Melayu hari ini. Perbuatan itu tidak ‘berdosa’ asal saja ia dilakukan dengan betul, baik dan bercita rasa tinggi.
Mereka tahu untuk menyusun babak demi babak, serta peristiwa demi peristiwa untuk ‘memaku’ penonton. Dialog-dialog yang ditulis kedengaran organik dan relevan, terutamanya kepada golongan muda yang menjadi sasaran utama demografi. Bernard dan Rafidah berjaya mencipta sebuah dunia yang kita semua tahu ia sekadar khayalan tetapi masih berpaksikan realiti.
Kraf dalam menangani genre komedi romantik boleh menjadi ‘tricky’, lebih-lebih lagi untuk mereka berdua yang sudah kerap melakukannya. Di sinilah terletaknya kebijaksanaan Bernard dan Rafidah apabila menjadikan latar dan suasana sebagai salah satu watak penting, dalam konteks ini Istanbul itu sendiri.
Filem Kad Cinta (1995) arahan Julie Dahlan pernah menjalani penggambaran di kota yang sama, tetapi apa yang terhasil sekadar rakaman tempat-tempat cantik tanpa signifikan. Watak-wataknya tidak berkaitan dengan situasi, menjadikan babak itu tiada bezanya jika dirakamkan di Kuala Lumpur atau di tempat lain.
Berlainan dengan Istanbul Aku Datang, kota itu dan orang-orangnya ‘dilibatkan’ dalam penceritaan, supaya pemilihan lokasi di luar negara tidak sia-sia dan lebih memberi makna. Filem ini ibarat kiriman poskad cantik yang menuliskan cerita-cerita menarik dan istimewa agar boleh dibaca berulang-ulang kali tanpa jemu.
Ini terbukti apabila kali kedua saya menontonnya di pawagam, saya masih terusik dan terhibur. Antara babak yang paling mengesankan ialah ketika Harris membantu mencuci rambut Dian. Emosi pada adegan ini begitu kuat, bercampur baur di antara sayu dan senyuman, ditambah dengan lagu latar yang tepat.
Watak Harris dibina dengan sempurna, di mana asalnya disangkakan sekadar peranan pembantu tetapi menjadi ‘prominent’ menuju ke penghujung cerita. Menyerahkannya kepada Beto Kusyairi adalah keputusan yang tepat kerana dia mengerti apa yang perlu dilakukan menerusi bahasa tubuh dan nada suara.
Pada awal kemunculan, penonton hampir percaya Harris ialah lelaki gay apabila dia kelihatan sedikit lembut dari gaya berjalan dan bercakap, lebih-lebih lagi dalam babak perang mulut. Begitupun, Beto mengubah persepsi itu dalam sekelip mata apabila Harris kemudiannya menjadi pelindung kepada Dian.
Tidak keterlaluan jika dikatakan filem ini menonjolkan lakonan terbaik Lisa Surihani. Watak Dian bukan saja diresapi melalui pengayaan busana yang lebih muda, segar dan manis, tetapi penjiwaannya diselami dengan baik. Lisa yang selama ini banyak diserahkan watak matang kelihatan ‘playful’ dan ‘quirky’.
Dia juga mampu menukar suis perasaan dengan sekali petik, misalnya ketika babak dia terpaksa berkemas beg untuk keluar rumah. Walaupun babak itu tidak menunjukkan wajah Dian dan hanya sisi tubuh yang bergetar, namun sudah cukup untuk membuatkan penonton berkongsi hiba.
Barangkali kerana kurang pengalaman berbanding Lisa dan Beto, Tomok ada masanya kelihatan kaku. Begitupun, lakonan Tomok tidaklah teruk kerana keserasiannya dengan pelakon lain, terutamanya Lisa masih boleh ‘dibeli’.
Sedikit kelemahan dari aspek kerja kamera, Istanbul Aku Datang terhasil sebagai sebuah filem cinta tempatan yang menyeronokkan; dibumbu dengan panorama dan landskap indah serta skor muzik yang nyaman.

Thursday, November 8, 2012

ZAITON : CERITAKU (2012)

Zaiton seperti yang diceritakan
Oleh Syazwan Zakariah (syazwan_zakariah@astro.com.my)
Membikin filem berdasarkan kisah sebenar, baik peristiwa mahupun individu, adalah sesuatu yang sangat kompleks. Kerumitan itu bukan saja terbeban pada pasukan rekaan produksi yang merangkumi set, kostum dan sebagainya, malah paling penting kepintaran penulis dalam menyusun cerita dan karakternya. Dalam konteks filem autobiografi, penulis mesti sedar apa yang ingin dicapai. Dia harus teliti dengan setiap perincian individu yang diceritakan, bukan saja dari aspek fizikal, malah mendalami perbuatan dan jiwanya. Dalam durasi kurang lebih dua jam, apa yang ingin dirumuskan dalam naskhah itu amat mustahak. Justeru, selepas menonton Zaiton Ceritaku, saya tidak pasti apa ‘misinya’. Zaiton Sameon yang sebenar muncul pada penghujung cerita, memberitahu bahawa “jangan lupa diri ketika berjaya dan sentiasa ingat mereka yang di bawah”. Tidak ada cacat celanya nilai moral itu, tetapi saya tidak faham dengan apa yang dimaksudkan ‘ketika berjaya’ dan ‘jangan lupa diri’. Ini kerana Zaiton Ceritaku hanya memberi fokus kepada keperitan hidupnya selepas kemalangan - bagaimana dia harus survive dalam keadaan hilang ingatan, harta, keluarga dan segala-galanya. Zaman ‘ketika berjaya’ sehingga dia ‘lupa diri’ tidak jelas, tidak dikembangkan dan tidak diterokai. Terdapat babak pembukaan yang menunjukkan Zaiton selesai membuat persembahan, kemudian disorak dan dipuji di belakang pentas. Babak seterusnya, dia ditimpa kecelakaan jalan raya. Bayangkan jika saya tidak mengenali langsung siapa Zaiton Sameon. Adakah dengan hanya satu adegan awal tadi sudah cukup untuk membuatkan saya percaya dia penyanyi yang sangat gah, masyhur dan ‘berjaya’ satu ketika dulu? Sepanjang filem berputar, penulis skrip Ainon Arif dan pengarah Esma Daniel lebih selesa untuk mempamerkan ‘ketidakwarasan’ Zaiton dan orang-orang sekeliling yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya. Lalu, saya merasakan, bukankah lebih relevan jika Zaiton pada penghujung cerita sepatutnya memberitahu, “jangan pinggirkan insan seperti saya”? Saya pasti banyak kekangan yang perlu dihadapi sepanjang pembikinan autobiografi. Sama ada kisah itu dari orang yang masih hidup ataupun sudah mati, tentu banyak perkara sensitif yang harus dijaga dan diambil kira. Begitu pun, ia berbalik semula kepada kreativiti penulis untuk memanipulasikannya. Saya kurang jelas mengapa era kegemilangan Zaiton tidak ditunjukkan. Kewujudan watak seperti komposer, penari pengiring, pemuzik, peminat atau wartawan barangkali dapat membantu; sekurang-kurangnya memberi idea kepada penonton siapa Zaiton ketika di kemuncak. Ainon seperti malas untuk memikirkan soal ini dan menganggap penonton sudah terus kenal. Saya juga kurang jelas mengapa nama sebilangan watak, misalnya adik-beradik Zaiton ditukar. Bukankah ini berdasarkan kisah benar? Alasan untuk menutup aib keluarga seakan tidak munasabah. Atau adakah filem ini separa fiksyen? Saya berkata demikian kerana seingat saya, selepas kemalangan, Zaiton tidak pernah menjadi duta produk kecantikan, apatah lagi kesihatan. Namun, di dalam filem ini, dia ditawarkan menjadi jurucakap produk Kilauan Platinum. Saya mungkin silap tetapi saya merasakan ‘realiti’ itu sangat janggal. Kesulitan dan kesengsaraan Zaiton hanya ditunjukkan menerusi siri babak dia ‘ketagih’ menyanyi, tidak kira di kenduri kahwin, gerai durian mahupun di tepi jalan. Babak-babak ini seharusnya mengundang simpati, tetapi kebanyakannya menjadi bahan ketawa. Salah penonton atau penulis yang silap mengolahnya? Zaiton Ceritaku mempunyai banyak ruang untuk penonton merasai penderitaan penghibur ini. Kisah Zaiton kehilangan anaknya - bagaimana dia berasa trauma dan terigau-igau - barangkali lebih menyayat hati, berbanding penonton menyaksikan dia ke hulu ke hilir menyanyi seperti tidak tentu arah. Sebenarnya Zaiton Ceritaku adalah cerita Zaiton yang sekarang. Generasi hari ini sepatutnya diberi peluang untuk mengenali siapa Zaiton yang dulu. Dari aspek pengarahan, Esma banyak membuang masa dengan syot-syot yang tidak membantu penceritaan, seolah mahu mengisi durasi dengan bingkai-bingkai cantik tetapi tidak bermakna. Misalnya, babak ketika Zaiton terlentang di tengah-tengah jalan dan tidak dipedulikan. Saya tidak pasti signifikannya. Lebih mengelirukan apabila ‘establishment’ diberi kepada seorang wanita muda yang tidak penting pun untuk babak itu. Begitu juga babak penamat di mana Zaiton berbual dengan seorang gadis yang asalnya watak tempelan. Rasanya lebih kemas jika filem ini dibuka dengan perbualan mereka dan ditutup juga dengan perbualan itu, agar lakon layarnya lebih ‘structured’. Bukan sekadar suka-suka mewujudkan sesuatu babak. Momen yang benar-benar menyentuh hanyalah apabila visual asal dipaparkan, misalnya ketika Zaiton menang Anugerah Juara Lagu, gambar-gambar bersama keluarga, ketika kemalangan serta rakaman dia menziarah pusara arwah anak. Selain busana dan tatarias yang harus diberikan penekanan (aura Zaiton dalam filem ini tidak cukup flamboyant dan sepadan dengan Zaiton sebenar), rasanya Ainon juga harus berhati-hati dengan penggunaan kosa kata. Rasanya terma ‘diva’ hanya mula diguna pakai pada era milenium, tidak pada era Zaiton. Saya tidak mahu menyalahkan Nadia Aqilah yang nampak berusaha keras menghidupkan karakter ini. Bakatnya boleh dipuji, lebih-lebih lagi ini filem pertamanya. Perbezaan dari sosok fizikal juga bukan masalah Nadia sebaik saja penerbit dan pengarah memutuskan peranan ini miliknya. Saya hargai hasrat murni penerbit yang ingin menaikkan semula nama Zaiton dan memberikan penghargaan. Namun, lebih seronok jika rasa hormat itu dapat diterjemahkan dengan cermat, tanpa membuatkan Zaiton sendiri tersinggung atau mempersoalkan kewajaran ketika dia menyaksikannya.

Thursday, November 1, 2012

SKYFALL (2012)

Seperti di awangan 
Oleh Syazwan Zakariah (syazwan_zakariah@astro.com.my)
Skyfall menandakan kali ketujuh Judi Dench memainkan watak ketua perisik, M dalam francais paling popular, James Bond. Kehadirannya kali ini dirasakan lebih menyerlah dan mendapat lebih masa tayangan, menjadikan dia ratu segala ratu untuk kesemua gadis Bond sejak siri filem ini diwujudkan 50 tahun lalu. M dalam Skyfall adalah ketua yang dingin, keras hati dan tetap pendirian. Dia seorang pemimpin yang mendesak, meminta lebih dan lebih; serta kurang peduli tentang keselamatan ejennya. Semua ini kerana dia tidak mahu memperjudikan risiko yang lebih besar iaitu keselamatan keseluruhan rakyat England. Ada sebab mengapa saya memulakan ulasan ini dengan menonjolkan M terlebih dulu. Tanpa mahu mengurangkan rasa teruja anda untuk pergi menonton, biarlah saya hanya mengatakan Skyfall adalah satu dedikasi untuk watak ikonik itu dan kemunculannya dalam filem ini akan dikenang buat selama-lamanya. M juga sebab utama mengapa penjahat di dalam filem ini wujud. Silva (lakonan Javier Bardem) ialah bekas ejen MI6 yang pernah berada di bawah kepimpinan M. Ingin membalas dendam selepas dilucutkan jawatan, sistem keselamatan badan perisikan sulit itu digodam dengan tujuan memusnahkan. Penulis skrip John Logan, Neil Purvis dan Robert Wade mencipta simetri yang sangat menarik apabila wira dan penjahat di dalam Skyfall, kedua-duanya ‘ciptaan’ M. Wanita itu harus mempertahankan maruahnya, bukan saja di depan kabinet menteri tetapi terlibat sama dalam pertarungan dan tembak-menembak. ‘Kematian’ Bond pada babak awal seperti satu rujukan kepada kegagalan filem terdahulu, Quantum of Solace (2008) dalam menawan hati pengkritik dan penonton. Skyfall adalah peluang untuk francais ini menebus kembali kredibiliti dan kemegahan namanya, sesuai dengan hari jadi yang ke-50 tahun ini. Di tangan pengarah Sam Mendes (American Beauty, 1999), Skyfall adalah gambaran Bond sebagai hero yang anda dambakan pada abad ke-21. Menyeronokkan tetapi tidak memperlekeh, kompleks tetapi masih pandai berjenaka, tangkas dan pantas namun tetap mempunyai sisi lemah dan pasrah. Selain Bond sendiri sebagai sumber kekuatan, Mendes mengambil serius akan legasi 007. Filem ini tidak terlepas dari gajet-gajet canggih ciptaan Q-Branch, misalnya radio kecil dan pistol yang hanya boleh mengesan cap jari Bond; serta kereta klasik Aston Martin yang ironinya menjadi kenderaan ‘samaran’. Gadis Bond seperti Eve (lakonan Naomie Harris) dan Severine (Berenice Marlohe) mempunyai fungsi masing-masing bukan sekadar tempelan atau wanita poster. Penonton juga diperkenalkan dengan watak Q (Ben Whishaw) yang memberikan hiburan menerusi penampilannya sebagai genius komputer. Dengan filem ini, Bond memasuki era jenayah siber yang menakutkan, cerminan kepada kes WikiLeaks dan isu keselamatan awam - bagaimana setiap maklumat sulit tidak lagi menjadi sulit. Kelebihan plot dan kepintaran penulis skripnya mengolah menjadikan francais pesaing, Jason Bourne kelihatan ketinggalan zaman. Silva di tangan Bardem mengingatkan saya kepada gabungan watak Joker (The Dark Knight, 2008) dan Hannibal Lecter (The Silence of the Lambs, 1991). Penonton berasa gerun, tetapi dalam masa yang sama terpikat dengan ciri-ciri karakternya yang bersahaja, tidak seperti kebanyakan samseng dalam filem kita. Kali ketiga sebagai Bond, Daniel Craig sudah meresapi semangat ejen perisik itu seperti span. Emosinya didalami lebih jauh, membentangkan psiko-analisis terhadap kehidupannya (selepas dia hampir mati ditembak), serta trauma zaman kanak-kanak (kembalinya Bond ke Skyfall, rumah tempat dia dibesarkan). Sementara Dench, sebagai aktres senior dan pemenang Oscar yang amat disegani, peranan M digalas dengan pendekatan ‘less is more’. Menampilkan riak yang tegas dan bengis, kerapuhannya dipamerkan pada babak-babak tertentu, antaranya apabila dia membaca sajak Tennyson kegemaran arwah suami. Seperti Christopher Nolan (Inception, 2010; The Dark Knight Rises, 2012), Mendes juga pengarah yang diketahui mempunyai palet visual yang sangat baik. Dia tahu untuk mengadunkan sifat-sifat lazim Bond dalam pengarahan yang segar, menjadikan naskhah asal tulisan Ian Fleming ini terus relevan. Bekerjasama dengan jurukamera calon Oscar sembilan kali, Roger Deakins (No Country For Old Men, 2007), Skyfall adalah fiesta mata bermula dari babak kejar-mengejar di Istanbul, kemudian ke set penuh ekstravaganza dan bergemerlapan di Shanghai dan Macau, sebelum kembali ke cuaca mendung di London. Mendes bukan saja memberikan babak-babak yang melonjakkan adrenalin, tetapi ‘twist’ yang memikat dan elemen humor secukup rasa. Efek CGI seperti tidak wujud kerana penonton berasakan setiap letupan atau kehancuran berlaku adalah dari objek sebenar (kereta, keretapi atau bangunan dan sebagainya). Walaupun sukar meramal kemungkinan Skyfall ‘lulus’ untuk Oscar (setakat ini hanya Goldfinger (1964) dan Thunderball (1965) menang anugerah teknikal), filem Bond ke-23 ini dilihat sebagai antara yang paling baik kerana dikerjakan oleh barisan pemenang Oscar dan mereka yang pernah tercalon. Skyfall memenuhi kriteria sebagai filem aksi hebat yang tidak mengenepikan jalan cerita, skor muzik cemerlang (terima kasih Thomas Newman, calon Oscar sebanyak sepuluh kali termasuk Wall-E (2008)) serta persembahan lakonan yang amat memberangsangkan. Bersedialah untuk menikmati pengalaman ‘di awangan’ selama dua jam 23 minit.