Pahit tetapi jujur
Oleh Syazwan Zakariah
syazwan_zakariah@astro.com.my
JANGAN terpedaya dengan treler filem ini. Ia kelihatan sangat 'menyeronokkan' dan penuh dengan warna ceria. Sekali imbas, sedutan itu memberi gambaran The Perks of Being a Wallflower hanyalah satu lagi karya tipikal tentang transisi remaja ke fasa dewasa, mengenai alam persekolahan dan dunia selepasnya.
Anda silap kerana filem ini lebih dari itu.
The Perks of Being a Wallflower ditulis dan diarahkan Stephen Chbosky yang juga penulis novelnya. Dia bertuah kerana mendapat kepercayaan untuk mengalihkan naskhah ini dari kertas ke layar perak mengikut visi yang dimilikinya sejak awal lagi. Bukan semua pengkarya berpeluang melakukannya.
Naskhah ini mengisahkan seorang pelajar bernama Charlie yang tidak dipedulikan kewujudannya. Pemalu, rendah diri, ulat buku dan membosankan, dia sebenarnya sedang melawan masa silamnya yang amat menakutkan.
Rakan baiknya mati membunuh diri. Ibu saudaranya pula meninggal dunia pada hari ulang tahunnya yang ketujuh dan dia rasa berdosa atas kematian itu - hal ini terjawab pada penghujung cerita. Tragedi-tragedi itu menyebabkan dia mengasingkan diri, bukan saja dengan komuniti malah keluarganya sendiri.
Charlie 'mengubat lukanya' dengan menulis jurnal, mendedikasikan tulisan-tulisannya ibarat sepucuk surat kepada seorang sahabat. Dia meluahkan segala yang terpendam seperti bercerita kepada seseorang yang tidak dikenali.
Suatu hari, Charlie memberanikan diri untuk menyapa seorang pelajar senior, Patrick yang sekelas dengannya. Charlie berasa selesa kerana Patrick menerima kehadirannya dengan tangan terbuka walaupun perangai mereka berlainan. Patrick mempunyai adik tiri bernama Sam dan mereka bertiga menjadi akrab.
Persahabatan itu membuka jalan untuk Charlie mengenal rakan-rakan lain. Dia mula mendengar lagu-lagu terkini kegilaan remaja, berparti serta menjadi penonton setia The Rocky Horror Picture Show. Matanya lebih 'terbuka' melihat dunia, dapat merasai kucupan pertama, juga merasa keliru jika sayang itu cinta.
Kerana Chbosky memahami karakter-karakter ciptaannya secara psikologi mahupun fizikal, dia berupaya mengarahkan setiap pelakon untuk menjadi dan merasai seperti apa yang dia bayangkan. Chbosky menghasilkan interaksi yang sangat tulen, yang mampu menimbulkan empati kita kepada setiap karakter.
Filem ini tidak hanya tertumpu kepada Charlie, meskipun dia plot penting. Penonton turut belajar tentang 'penderitaan' Patrick yang tersembunyi di sebalik sifat periangnya. Juga tekanan Sam untuk mendapat keputusan cemerlang, sekali gus membersihkan reputasinya yang dulu dianggap gadis murahan.
The Perks of Being a Wallflower meneroka emosi remaja-remaja ini dalam kekeliruan untuk menjadi 'seseorang' - satu perasaan yang kita semua pernah rasai. Biarpun masing-masing datang dari latar yang gelap, tersiksa dan rapuh namun mereka masih berharap agar segalanya baik-baik belaka kelak.
Ini tidak bermaksud filem ini mempunyai nuansa yang murung sepanjang masa. Chbosky tahu untuk mengimbangi di antara komedi dan babak-babak yang membuatkan penonton tersenyum; tetapi dalam sekelip mata mampu terhenyak dengan emosi apabila sejarah karakter utama terbongkar satu demi satu.
Chbosky tidak memperlekehkan kematangan penonton untuk mengerti apa yang dirasai Charlie. Dia juga tidak memberikan satu penamat yang pasti, sebaliknya realiti di antara sayu dan gembira. Menggunakan lagu Heroes dari David Bowie sebagai penutup memberi signifikan yang jelas tentang transformasi Charlie.
Memainkan peranan Charlie adalah satu kerja yang rumit tetapi ditangani cemerlang oleh Logan Lerman (Percy Jackson & The Olympians: The Lightning Thief, 2010). Kita tidak melihat Lerman sebaliknya percaya dia adalah Charlie.
Setiap tutur kata dan tingkah lakunya telus malah sepuluh minit terakhir membuktikan persembahannya bertaraf anugerah.
Emma Watson pastinya menjadi tumpuan kerana ini merupakan filem terbesarnya selepas francais Harry Potter (2001-2011) berakhir. Dia memiliki segala yang diperlukan untuk watak Sam - bijak, cantik, cergas dan 'playful' tetapi masih sensitif.
Sesekali apabila Watson terbawa-bawa loghat British (watak Sam ialah gadis Amerika), kita akan teringatkan Hermione Granger. Namun perasaan itu segera hilang menyaksikan keserasian wataknya bersama Charlie dan Patrick lakonan Ezra Miller.
Miller (We Need To Talk About Kevin, 2011) mencuri perhatian penonton dalam setiap babak yang membabitkannya. Dia adalah 'pak lawak' tetapi dia juga mampu membuatkan kita tersentuh pada babak tertentu. Biarpun gambaran wataknya sebagai homoseksual agak stereotaip tetapi dia tidak menjengkelkan.
The Perks of Being a Wallflower mempunyai kumpulan pemain yang baik biarpun mereka sekadar pelakon pembantu dan tambahan. Misalnya, Paul Rudd sebagai cikgu bernama Mr. Anderson. Walaupun kemunculannya hanya dalam beberapa babak tetapi penting dalam penceritaan dan meninggalkan kesan.
Selain lakon layar yang kemas dan persembahan lakonan yang mengagumkan, skor muzik Michael Brook (Into The Wild, 2007) menyumbang kepada kekuatan filem ini. Alunan muziknya sepadan dengan 'gema' babak yang ditampilkan.
Pemilihan lagu-lagu runut bunyi juga yang dilakukan penyelia muzik Alexandra Patsavas (The Twilight Saga, 2008-2012) sangat bersesuaian dengan era latar 1990-an, menjadi simbol dan refleksi kepada selera remaja ketika itu.
The Perks of Being a Wallflower adalah filem tentang tumbesaran remaja tetapi olahannya tidak tipikal seperti kebanyakan yang lain, misalnya francais American Pie (1999-2012). Filem ini sangat jujur sehingga kita akan mengangguk tanda mengakui kebenarannya, walaupun pahit.
1 comment:
Can't wait to watch this movie...
Post a Comment