Thursday, June 20, 2013

MAN OF STEEL (2013)

Superman, Man of Steel

UNTUK bertahun lamanya, Superman boleh disifatkan sebagai karakter dua dimensi. Dia bukan seperti Batman yang mempunyai lebih banyak transisi dan naluri kerana Batman asalnya seorang manusia biasa.
Superman, sebaliknya, memang dilahirkan sebagai adiwira dari alam yang berbeza. Ada masanya penonton atau pembaca komik sukar untuk mempunyai empati atau simpati terhadapnya kerana sedia maklum sifat luar biasanya.
Begitupun, terima kasih kepada Christopher Nolan, pengarah trilogi Batman (2005-2012) yang bertindak selaku penulis bersama untuk lakon layar filem terbaru Superman, Man of Steel.
Nolan mempunyai keupayaan dalam bercerita secara teliti dengan mendalami setiap perwatakan. Seperti apa yang dilakukan kepada francais Batman, dia bijak mengadaptasi kisah komik menjadi naskhah yang mampu dipandang serius.
Untuk Man of Steel, dia bekerjasama dengan rakan penulis The Dark Knight Rises (2012), David S. Goyer untuk memberi imaginasi baru terhadap Superman, karya DC Comics yang berusia hampir 75 tahun sejak penerbitan edisi pertama.
Jalinan cerita yang ditulis Nolan dan Goyer memberi kefahaman tentang asal-usul seorang bayi yang bernama Kal-El yang dihantar ke bumi oleh ibu bapanya ketika Krypton hampir musnah.
Man of Steel ialah 'character-driven story' tentang bayi itu yang kemudiannya membesar dengan nama Clark Kent. Dipelihara sepasang suami isteri yang menemuinya terdampar di sebuah ladang, penonton melihat sendiri bagaimana Clark 'bertarung' untuk memahami mengapa dia berbeza dari kanak-kanak lain.
Clark berasa tersisih dan takut dengan kelebihan (atau baginya sumpahan) yang ada padanya. Ibu bapa angkatnya menasihatkan agar dia membataskan penggunaan kuasa yang dikurniakan - jangan menjadi terlalu pantas atau terlalu kuat - kerana bimbang akan menyakiti orang lain dan dirinya sendiri.
Pertemuan Clark dengan roh bapa kandungnya, Jor-El meyakinkan dia adalah simbol keamanan dunia sejagat. Transformasi ini - dari seorang yang tidak menerima hakikat siapa dirinya, kepada seorang hero - adalah satu tontonan yang mengasyikkan, walaupun pernah diceritakan berulang kali.
Selain arus penceritaan yang baik, Man of Steel ditangani pengarah yang pandai membaca visi Nolan dan Goyer. Zack Snyder (Watchmen, 2009; Sucker Punch, 2011) membawa bersama kepakarannya dalam aspek teknikal serta imejan yang mengagumkan. Man of Steel adalah perkahwinan cerita dan visual yang tepat.
Filem ini berjalan lancar, tidak terlalu laju atau perlahan. Dibuka dengan babak pertempuran di Krypton dalam mood genre fiksyen sains, ia kemudian beralih kepada suasana drama dan emosi. Bagaimana Clark semasa kanak-kanak dan dewasa 'mencari dirinya' diceritakan secara non-linear.
Sejam selepas itu, tempo Man of Steel bertukar menjadi filem aksi blockbuster musim panas, apatah lagi dengan kehadiran watak antagonis utamanya, General Zod. Babak-babak lawan dihasilkan dengan kemas, menunjukkan kehalusan kerja tangan dan pemikiran Snyder dalam jabatan audio dan visual.
Synder menjadikan filem ini 'solid' - padu dengan aksi, kesan khas yang baik dan tema kemanusiaan yang yang menonjol, walaupun ini hanyalah dongeng. Pada satu-satu masa saya menyangkakan filem ini akan menjadi bosan, tetapi tidak kerana ia terus-terusan memaku penonton sehingga cerita selesai.
Man of Steel ialah interpretasi moden tentang Superman yang lebih sensitif dan mampu wujud di dunia nyata. Ia tidak sama seperti Superman lakonan Christopher Reeve dari era ibu bapa kita yang lebih mudah, ringan, memiliki unsur humor yang kuat, serta watak baik dan jahatnya mempunyai jurang besar.
Saya menyukai karakter General Zod (lakonan Michael Shannon) yang setara kuat perwatakannya dengan Clark/Superman. Meskipun jahat, Zod mempunyai niat murni untuk bangsanya. Dia mahu menjadikan bumi sebagai koloni baru selepas Krypton musnah dan umat manusia baginya adalah penghalang.
Penonton juga dapat menyaksikan watak Lois Lane sebagai wanita yang lebih kuat, matang dan berdikari - bukan mengada-ada, kepala angin dan lemah seperti mana sebelum ini. Amy Adams menggalas peranan ini sebaiknya. Perhubungan di antara Lois dan Clark/Superman juga dibentuk dengan unik.
Kerana Man of Steel kisah permulaan Superman, tidak banyak babak cinta atau romantis di antara mereka. Begitupun, mereka saling tertarik kerana Lois mengetahui identiti sebenar Clark dan Clark pasti Lois adalah wanita yang boleh dipercayai untuk merahsiakannya. Itu adalah faktor tarikan yang sempurna.
Sasa dan tampan, Henry Cavill memenuhi kriteria Clark/Superman secara fizikal berbanding Brandon Routh dari Superman Returns (2006). Menariknya, magnet Cavill bukan sekadar paras rupa, tetapi dalam kegagahan itu, dia membawa kelembutan dan kemurnian seorang adiwira yang mahu menjadi insan biasa.
Hans Zimmer memberikan skor muzik yang cantik dan berani memberi perubahan kerana tidak cuba untuk meniru 'trademark' John Williams. Saya juga sukakan penamatnya yang memberikan penonton harapan untuk filem sekuel.

Thursday, June 13, 2013

PEE MAK (2013)

Pee Mak

Pee Mak
MENGHASILKAN sebuah filem komedi romantik adaptasi kisah seram klasik, pengarah berpengalaman Banjong Pisanthanakun meraih keuntungan besar. Filem terbarunya, Pee Mak mencatat sejarah sebagai filem Thailand dengan kutipan tertinggi sebanyak RM99 juta (USD33juta) sejak ditayangkan Mac lalu.
Berdasarkan trek rekod yang dipegang Banjong, pencapaian itu bukan sesuatu yang memeranjatkan. Banjong mencipta nama dan reputasi menerusi Shutter (2004) dan Alone (2007), juga terlibat sebagai salah seorang pengarah untuk filem seram ensemble seperti 4bia (2008) dan Phobia 2 (2009).
Pee Mak mengambil asas hikayat popular tempatan, Mae Nak Phra Kanong (Lady Nak of Phra Kanong) sebagai inti pati cerita. Bagi penonton Malaysia, tentu masih ingat filem Nang Nak (1999) arahan Nonzee Nimibutr yang didasarkan dari hikayat yang sama, tetapi olahannya itu lebih gelap, serius dan dramatik.
Berlatarkan era revolusi Rattanakosin kira-kira 100 tahun lalu, seorang lelaki bernama Mak dihantar berperang dan terpaksa meninggalkan isterinya, Nak yang sarat mengandung. Nak kemudian mati semasa melahirkan.
Selepas perang tamat, Mak pulang untuk menemui isteri dan anaknya, tetapi disambut dingin orang kampung yang mengatakan dia tinggal bersama hantu.
Masih kekal dengan versi asal itu, bagaimanapun Banjong memperkenalkan empat karakter pembantu iaitu rakan-rakan Mak dari medan perang. Mereka ialah Ter, Aey, Shin dan Puak yang mengikut Mak kembali ke kampung halamannya dan dibenarkan tinggal di rumah pusaka, berjiran dengan Mak.
Shin ialah individu pertama yang mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, diikuti dengan Ter yang menemui rangka mayat Nak dengan cincin tersarung di jari semasa membuang air besar di dalam hutan.
Banjong dan dua penulis skrip sejak awal lagi ingin memberitahu penonton ini bukanlah filem seram, sebaliknya karya komedi parodi. Lihat saja babak pembukaan di khemah perang yang diisi dengan dialog penuh humor, terutamanya ucapan ala Shakespeare dan askar-askar berambut penyanyi pop.
Separuh masa pertama filem ini membuatkan penonton berseronok dengan gelagat Shin dan Ter yang ingin meyakinkan Aye dan Puak bahawa Nak adalah hantu, sebelum mereka berempat ingin memberitahu Mak perkara yang sebenar.
Beberapa babak seperti mereka bermain bahasa isyarat serta huru-hara di dalam 'rumah hantu' di taman permainan, menjadi adegan komedi berterusan terbaik yang saya tonton sepanjang tahun ini.
Walaupun keempat-empat watak ini berlari, menjerit dan berkelakuan lintang-pukang tanpa henti, penonton tidak menyampah sebaliknya terhibur dan mahukan lagi. Persembahan itulah yang membawa naratif filem ini ke depan, dengan secara tiba-tiba pengarah dan penulis skrip membuat sedikit 'twist'.
Separuh masa terakhir filem ini bermain dengan ramalan dan jangkaan penonton - benarkah memang Nak ialah hantu, atau sebenarnya Mak dan rakan-rakannya juga sudah mati?
Walaupun terdapat satu babak hanya di dalam sampan dengan tempoh lebih 15 minit, penonton tidak mengeluh, sebaliknya ketawa berdekah-dekah. Pada saat ini, minda penonton dipermainkan dengan teka-teki siapa sebenarnya hantu.
Barangkali ada tokoh sejarah di Thailand yang kurang senang dengan olahan Banjong ini, tetapi pada babak penghujungnya ketika di dalam kuil, pengarah ini kembali kepada akar asal cerita. Hikayat Mae Nak berkisar tentang kesetiaan serta cinta sejati, dan Banjong tidak gagal dalam menyampaikan mesej itu.
Penonton mungkin akan mengalirkan air mata (kerana saya juga sebak) semasa Nak dan Mak saling berterus-terang tentang keadaan sebenar. Dialognya melankolik, tetapi ia tidak meleret lama kerana penamatnya membuatkan penonton kembali tersenyum lebar.
Pee Mak adalah bukti bahawa filem komedi slapstik juga boleh menjadi karya kelas pertama jika pengarah dan penerbit bijak menghasilkannya. Dari aspek kualiti bunyi, sinematografi dan rekaan produksi, kita dapat menilai, pembikinnya mahu filem kelakar seperti ini diambil serius oleh penonton.
Filem ini juga mempunyai barisan pelakon yang baik, terutamanya empat sekawan yang mempunyai naluri dan 'comic timing' yang tepat, yang saling melengkapi tanpa membayangi satu sama lain.
Mario Maurer sebagai Mak berjaya tampil dengan sifat bodoh alangnya tetapi masih comel, begitu juga dengan Davika Hoorne sebagai Nak, watak antagonis yang mampu mengimbangi garis sempadan di antara cantik dan menyeramkan.
Saya rasa jika saya membaca skrip filem ini, saya mungkin tidak akan ketawa dan menganggapnya bodoh. Bayangkan para pelakonnya berpakaian abad ke-19 dengan gigi hitam tidak bergosok, tetapi membuat jenaka tentang ahli silap mata David Blaine, kelas lakonan Ang Lee dan sekolah memasak Le Cordon Bleu.