Thursday, November 28, 2013

THE LUNCHBOX (2013)

Mangkuk tingkat, kesunyian dan cinta

Antara dalam filem The Launchbox yang berkisar tentang mangkuk tingkat
Sukar rasanya untuk mencari sebuah filem, sekurang-kurangnya bagi saya, yang bercerita tentang kehidupan sehari-hari yang rutin, tetapi amat memberi kesan. Kehidupan itu digambarkan sebagai membosankan dan mendatar, namun mampu mengikat penonton untuk terus menyaksikannya sehingga penamat.
The Lunchbox bermula dengan Ila, seorang isteri dan juga ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan, menyediakan juadah makan tengah hari untuk suaminya. Makanan itu dihantar menerusi khidmat penghantar makanan atau lebih dikenali sebagai dabbawala di Mumbai.
(Trivia: Terdapat kira-kira 5,000 dabbawala di kota itu yang menghantar lebih 130,000 mangkuk tingkat kepada pekerja-pekerja di pejabat. Menurut kajian yang dilakukan Universiti Harvard, kebarangkalian untuk mereka tersilap hantar kepada pemilik yang lain adalah dengan nisbah satu dalam sejuta).
Bagaimanapun, mangkuk tingkat yang disediakan Ila untuk suaminya dihantar kepada seorang duda bernama Saajan Fernandes yang bakal bersara. Ila menyedari kesilapan berlaku apabila juadah yang disediakannya habis dimakan, sedangkan suaminya tidak memuji masakannya ketika pulang ke rumah.
Ila yang berasa curiga menyelitkan nota di dalam mangkuk tingkat tersebut. Bermula dengan sekadar memberitahu makanan itu bukan untuk Fernandes, mereka kemudian saling berbalas surat. Ila dan Fernandes membentuk satu ikatan kerana mereka adalah insan yang kesunyian.
Ila yang menerima layanan dingin mengesyaki suaminya mempunyai hubungan sulit. Manakala Fernandes adalah insan yang murung selepas kematian isteri. 'Kehadiran’ mangkuk tingkat Ila, bagaimanapun kini menjadikan waktu makan tengah hari adalah masa yang paling dinanti-nantikan oleh Fernandes.
Dalam teknologi yang serba canggih hari ini dengan kewujudan pelbagai media sosial mahupun applikasi whatsapp, The Lunchbox bersandarkan formula perhubungan klasik menerusi surat.
Sesuatu yang amat menarik apabila kita menyaksikan dua jiwa yang saling tidak mengenali ini berkongsi segala perasaan, harapan, impian malah kenangan-kenangan lama mereka, hanya di atas kertas. Sebuah perhubungan intim yang tidak konvensional kerana mereka tidak pernah bersemuka.
Filem ini melakukannya dengan begitu efektif sehingga kita tidak mengeluh pun apabila Ila dan Fernandes tidak cuba berbalas nombor telefon atau menggunakan medium komunikasi yang lain. Dan semua ini berlatarkan bandar Mumbai yang ditangkap cantik dalam suasananya yang semula jadi.
The Lunchbox merakamkan perjalanan dabbawala dari dapur rumah ke meja pejabat dengan lengkap. Penonton dapat melihat kesesakan bandar Mumbai menerusi jalan raya mahupun jalan kereta api, orang mengilat kasut, menjual lukisan di tepi jalan atau duduk tekun di meja kerja demi survival.
Fernandes digambarkan tinggal di sebuah rumah besar di Bandra, manakala Ila menetap di flat sempit di mana dia boleh menjerit memanggil jiran dan dapat mendengar suara masing-masing tanpa melihat wajah. Di sebalik kemewahan dan keriuhan itu semua, penonton dapat merasai kesepian Ila dan Fernandes.
Semua ini tidak akan berhasil tanpa kebijaksanaan lakon layar yang ditulis pengarahnya, Ritesh Batra. Dia meneroka tema kesunyian dalam bahasa sinema yang berbeza dengan filem-filem Bollywood lain. Penulisannya membuatkan penonton mengambil peduli dengan setiap karakter, malah setiap dialog.
Filem ini juga hampir tidak mempunyai muzik latar, sebaliknya memanipulasikan bunyi-bunyi asli untuk mencerminkan suasana atau perasaan.
Ritesh menjadikan The Lunchbox ibarat sebuah sajian yang membuatkan orang teringat-ingat walaupun sudah habis. Satu metafora perasaan yang puas, bukan kerana tidak menginginkannya lagi, tetapi kerana gembira dengan hasilnya.
Ritesh tidak memberikan sebarang kesimpulan terhadap perhubungan 'aneh' Ila dan Fernandes. Dia memberikan penghujung cerita yang terbuka untuk penonton mentafsirkan sendiri darjah atau tahap perasaan cinta yang dialami oleh dua karakter ini. Saya sebagai penonton, mempercayai cerita rekaannya.
Irrfan Khan sebagai Fernandes membuktikan dia adalah ‘Khan’ yang terbaik di Bollywood. Karakternya tidak memerlukan dia bercakap banyak, tetapi ‘kata-katanya’ terluah menerusi surat yang dihantar kepada Ila. Lenggok suara dan raut wajahnya cukup menggambarkan apa yang dirasai dan dipendam.
Persembahan Irrfan dibantu lakonan cemerlang Nawazuddin Siddiqui yang memegang watak Sheikh Aslam, pemuda yang bakal menggantikan tempatnya di pejabat apabila Fernandes bersara kelak.
Sheikh pada awalnya menjengkelkan, namun apabila cerita bergerak, penonton akan mula terpaut kepada pembinaan wataknya yang berlapis-lapis; penuh tulus dan naif tetapi cekal dalam mengharungi hidup sebatang kara. Dinamik perhubungan di antara Fernandes dan Sheikh menyeronokkan untuk ditonton.
Sementara itu, Nimrat Kaur sebagai Ila memberi penghayatan yang mengagumkan, apatah lagi ini merupakan watak utamanya yang pertama.
Dia memiliki sepasang mata yang sayu, seolah menjadi medium untuk menyampaikan perasaan yang dilalui. Dia juga tidak memerlukan air mata untuk menunjukkan kelemahannya, tetapi penonton sedar akan kerapuhan hidupnya.
The Lunchbox memberikan penonton pengalaman kehebatan perasaan manusia terhadap keinginan untuk bercinta dan dicintai.

(Trivia: Filem ini memenangi Anugerah Kritik Pilihan Penonton atau Grand Rail d’Or di Festival Filem Cannes 2013. Bagaimanapun, penerbitnya kecewa apabila ia tidak terpilih untuk mewakili India dalam Oscar akan datang. The Lunchbox tidak ditayangkan di pawagam Malaysia, tetapi secara eksklusif di Astro Best).

Thursday, November 14, 2013

DIANA (2013)

Filem yang 'menyedihkan'

Filem: Diana Pengarah: Oliver Hirschbiegel Pelakon: Naomi Watts, Naveen Andrews, Cas Anvar, Juliet Stevenson, Douglas Hodge
Dilema atau krisis yang perlu dihadapi pembikin naskhah biografi ialah apabila pengkritik akan menjadi lebih teliti, terperinci dan cerewet dalam segala hal.
Bukan saja dari sudut yang paling asas dan jelas seperti rangka kisah dan alunan penceritaan, malah sehingga sekecil-kecilnya aspek seperti bagaimana subjek yang diceritakan itu bercakap, berjalan, berpakaian atau stail rambutnya.
Filem Diana tidak terlepas dari perkara yang sama. Penulis lakon layar, Stephen Jeffreys dan pengarah Oliver Hirschbiegel terdedah kepada risiko yang besar kerana Puteri Diana adalah antara wanita yang paling terkenal di dunia.
Apabila kita menyebut perkataan ‘terkenal’, ia bermaksud semua orang kononnya ‘mengenali’ puteri itu secara peribadi dan mempunyai persepsi yang berbeza-beza mengenainya. Persepsi ini dicipta melalui apa yang mereka lihat, baca dan dengar melalui segala medium media.
Filem Diana tidak menceritakan keseluruhan hidupnya, sebaliknya hanya memberi fokus kepada kisah dua tahun sebelum kematiannya yang tragis pada 31 Ogos 1997.
Diinspirasikan dari buku Diana: Her Last Love tulisan Kate Snell (2001), naratifnya bertumpu kepada kisah selepas berpisah dengan Putera Charles serta hubungannya dengan Dr. Hasnat Khan dan Dodi Fayed.
Apa yang terjadi dengan filem ini ialah ia menerima kecaman, bukan saja dari pengkritik profesional, malah penonton biasa yang merasakan Diana tidak memberi keadilan kepada puteri kesayangan ramai itu. Filem ini seharusnya menjadi ‘lebih besar’, bukan saja dari segi skala, tetapi jiwa dan perasaannya.
Saya bersetuju dengan pandangan umum itu selepas menyaksikannya sendiri. Saya tidak mahu menuduh Diana dihasilkan dengan sambil lewa kerana saya pasti pihak produksi sudah melakukan yang terbaik, namun standard yang terhasil tidak lebih sekadar telefilem dari saluran televisyen Hallmark.
Watak Diana dibawakan calon Pelakon Wanita Terbaik Oscar sebanyak dua kali, Naomi Watts. Saya memuji jabatan tatarias dan solekan yang cuba menyalin hampir seratus-peratus gaya asli Puteri Diana. Bagi saya, ‘helah’ ini amat penting untuk mewujudkan realisme dan kepercayaan terhadap subjek yang diceritakan.
Namun, saya tidak boleh menyalahkan Watts apabila raut wajahnya yang tidak seiras dengan Diana (tanpa bantuan mekap dan pemakaian) membuatkan ada masa-masa tertentu saya tidak mempercayai dia adalah puteri diraja itu.
Sebagai contoh, babak Diana menyarung rambut palsu panjang berwarna hitam untuk melarikan diri dari paparazi. Ketika ini, Watts kelihatan lebih mirip Elizabeth Hurley berbanding Diana, tetapi saya enggan meletakkan itu sebagai masalah terbesar filem ini.
Saya berterima kasih sekurang-kurangnya pihak produksi memilih pelakon seperti Watts yang mempunyai kredibiliti dan trek rekod yang cemerlang. Namun, kerana karakter Diana itu sendiri yang larger than life, penonton dapat merasakan betapa Watts berikhtiar keras untuk menjadi puteri diraja tersebut.
Percubaan dan persembahan Watts yang tidak mengecewakan itu tidak dapat menyelamatkan keseluruhan filem ini. Karakternya ditulis dengan teruk. Bukan bermaksud dari segi moral atau etika, sebaliknya ketiadaan dinamik membuatkan penonton tidak mampu terikat atau berkongsi empati.
Diana dalam filem ini digambarkan dengan ringkas. Sedih kerana terbuang dari istana, dia terdesak menginginkan cinta dari kalangan lelaki biasa sehingga sanggup melakukan apa saja. Wataknya tidak benar-benar dikupas sehingga ke lapisan yang terakhir membuatkan penonton hanya melihat di permukaan.
Penulis skrip mahupun pengarah seakan tidak cuba mendalami sikap atau motivasi mengapa Diana bertindak sebegitu dalam satu-satu hal. Dalam erti kata lain, saya percaya karakter sebenar Puteri Diana lebih kompleks dari apa yang dipertontonkan. Ya, bukan kerja mudah tetapi di sinilah cabaran pembikinnya.
Latar watak Hasnat (lakonan Naveen Andrews) mempunyai faktor penceritaan yang kuat; tersepit di antara cinta, kerjaya, keluarga dan agama. Namun, lakon layar filem ini memberikan penonton persepsi bahawa dia ialah lelaki yang tidak berhenti mengeluh dan egoistik dalam gaya melodrama yang meresahkan.
Seperti Watts, lakonan Andrews berada pada tahap yang membanggakan, tetapi mereka hanya bagus apabila berasingan. Mereka seakan tiada keserasian apabila bersama. Selain penulisan yang membosankan dan pengarahan yang lemah, suntingan juga menjadikan filem ini mendatar serta pilihan muzik yang klise.

Thursday, November 7, 2013

HIGHLAND TOWER (2013)

'Amatur' yang tidak meyakinkan

ANTARA adegan dalam filem highland tower.
HIGHLAND Tower bukanlah naskhah pertama Pierre Andre dalam bentuk mockumentary iaitu dokumentari olok-olok. Sebelum ini, dia mengarahkan Seru (2011) bersama Woo Ming Jin. Kedua-dua filem itu berlegar dalam subgenre yang serupa iaitu ‘realiti’ seram dan mistik, tetapi pendekatannya berbeza.
Seru merupakan cantuman pita rakaman ‘sebenar’ seorang mangsa terakhir yang terselamat dari tragedi pembunuhan akibat rasukan di sebuah set penggambaran filem. Manakala Highland Tower adalah pita rakaman sekumpulan anak muda yang mencari entiti untuk tujuan dokumentasi.
Filem ini mirip kepada Penunggu Istana (2011) yang dipasarkan sebagai doku paranormal pertama Malaysia. Strategi filem itu ialah menggunakan pelakon amatur (yang tidak dikenali ketika itu, antaranya Sara Ali dan Amar Asyraff) sebagai sekumpulan pelajar kolej yang sedang menyiapkan tugasan.
Taktik itu sekurang-kurangnya memberikan perasaan realisme kononnya ia memang pernah berlaku dan bukan satu lakonan. Berbeza dengan Highland Tower, ia membariskan pelakon residen MIG yang pernah dilihat di dalam filem-filem lain, tetapi kali ini bertindak sebagai krew produksi.
Mika (Mikael Andre) dan Niezam (Niezam Zaidi) ialah pembikin dokumentari paranormal. Menginginkan cabaran, mereka bercadang untuk ke Highland Towers, penempatan di Taman Hillview, Ulu Kelang yang runtuh pada 1993.
Selepas satu dari tiga blok kondominium itu musnah, pihak berkuasa mengisytiharkan ia tidak selamat untuk didiami. Tragedi itu mengorbankan 48 nyawa dan sehingga kini kawasan itu terbiar bersemak-samun.
Merupakan projek terbesar Mika dan Niezam, mereka meminta sokongan MIG dari segi dana dan bantuan teknikal. Produksi mereka kini dianggotai tujuh individu termasuk seorang pemandu iaitu Eddy (Eddy Rauf), hos dokumentari, Shima (Shima Anuar) dan juruaudio, Adibah (Adibah Yunus).
Selepas beberapa jam di Highland Towers, mereka mula diganggu dengan bunyi aneh, peristiwa kehilangan anggota kumpulan serta kemuncaknya apabila Shima dan krew pembantu, Atikah (Atikah Suhaime) diserang histeria.
Bagi filem sebegini, penonton memang mengharap untuk ditakut-takutkan. Rumah atau bangunan terbiar dengan tangkapan kamera yang ‘sebenar’ secara automatiknya membuatkan penonton resah dan berdebar kerana mereka tidak pasti apa yang akan berlaku atau muncul di depan mata.
Saya tidak mempunyai masalah dengan gerak kamera yang terhuyung-hayang kerana formatnya memang begitu. Malah, jika dibandingkan dengan Seru yang goncangan kameranya lebih ekstrem, Highland Tower dirasakan lebih ‘tenang’ dan terkawal. Namun, ada beberapa hal yang membuatkan realisme itu hilang.
Terdapat beberapa babak di mana bunyian, misalnya tangisan bayi, tidak ‘raw’ seperti ia terhasil sendiri. Bunyi itu sama seperti yang diletakkan di dalam filem-filem fiksyen lain - jelas bergema dan ‘diadun’.
Saya tidak dapat ‘membeli’ lakonan-lakonan yang dipersembahkan. Ia kelihatan dipaksa dan dibuat-buat. Reaksi mereka - sama ada teruja, tenang mahupun ketakutan - seperti tidak asli, kecuali lakonan Eddy yang bersahaja dan ‘subtle’ yang menjadikan filem sebegini lebih mudah untuk dipercayai.
Ya, Mika mungkin pengarah projek yang amatur, tetapi saya tidak dapat merasakan mereka ke sana untuk sebuah projek pembikinan doku yang serius.
Mereka, terutamanya Mika kelihatan ‘clueless’ dan tidak tahu apa yang mahu dilakukan. Mereka seperti tiada perancangan yang teliti seperti rajah atau peta bangunan untuk diselidiki, sebaliknya hanya mundar-mandir turun naik dari satu tingkat ke tingkat lain, mengharapkan entiti akan muncul.
Mika seharusnya tahu apa yang hendak dirakamkan dan dicapai pada penghujung penggambaran. Seperti yang pernah saya tonton dalam dokumentari sebenar di kaca tv, mencari entiti memerlukan pelbagai alatan dan kepakaran, bukan sekadar mengikut naluri hati, deria rasa mahupun penglihatan.
Skrip Shima misalnya sebagai hos tidak meyakinkan. Tiada fakta atau perincian yang kukuh, sebaliknya hanya dialog seperti, “tempat ini memang menyeramkan" iaitu perkara yang penonton boleh lihat sendiri menerusi visual.
Bukankah sesuatu produksi itu, terutamanya apabila dibiayai syarikat besar seperti MIG, harus mempunyai rangka kerja agar perjalanan tidak sia-sia?
Sebagai pengarah dan penulis yang sinonim dengan naskhah seram, Pierre seharusnya peka dan mengerti dengan kepentingan pengetahuan seperti ini.
Penonton mahu diyakinkan bahawa apa yang mereka saksikan itu adalah perkara benar, walaupun secara sedar mereka tahu mereka ‘ditipu’. Selepas sekian banyak filem mockumentary dihasilkan, terutamanya dari luar negara, Pierre harus muncul dengan idea helah yang lebih baru dan bijak.