Thursday, July 15, 2010

Inception (2010)

Mimpi yang dahsyat


Filem Inception tidak memberi ruang kepada penonton untuk beralih pandangan sebaliknya, mereka akan diburu rasa ingin tahu yang meluap-luap terhadap adegan seterusnya.


INCEPTION bukan Avatar (2009). Saya tidak pasti jika ia satu perbandingan yang sesuai dan tepat, tetapi saya ada sebab sendiri.

Avatar dikatakan merevolusi teknologi kesan khas dan 3D dalam pembikinan filem sedunia.

Sesiapa pun tidak boleh menafikan kenyataan itu dan saya juga tidak melihatnya lebih daripada lingkaran tersebut. Bagi saya, 'wow' untuk Avatar hanya pada keseronokan mata.

Berlainan dengan Inception. Saya merasai kesan yang mendalam.

Sehingga artikel ini ditulis (selepas lebih 12 jam menontonnya), saya masih teringat-ingat dan tertanya betapa bijaknya Christopher Nolan mengilhamkan sebuah karya yang sangat tulen.

Malah, untuk benar-benar memahami, saya dan seorang rakan melukis carta setiap lapisan kejadian.

Perjalanan Inception sangat kompleks, namun mengujakan. Nasihat saya sebelum menonton, matikan terus telefon bimbit dan beri perhatian sepenuhnya.

Leonardo DiCaprio ialah Dom Cobb, seorang pencuri minda yang berupaya mengekstrak maklumat daripada fikiran orang lain semasa mereka sedang tidur.

Kerana kemahiran itu, dia kemudian ditawarkan untuk mencuba sesuatu di luar kebiasaan bidangnya.

Tugasan itu diserahkan oleh seorang usahawan yang mahu menjatuhkan saingannya. Dia mencabar Cobb untuk menanam satu idea jahat dalam fikiran mangsa supaya syarikat lawannya itu musnah.

Cobb mengambil risiko kerana diburu rasa rindu serta memorinya terhadap isteri dan anak-anak.

Janji usahawan itu, jika mereka berjaya, dia dapat bertemu semula dengan keluarganya. Dengan kepakaran beberapa pembantu, Cobb mula mengembara dalam tidur dengan mimpi yang direka.

Inception tidak memberi ruang kepada penonton untuk beralih pandangan. Mereka akan diburu rasa ingin tahu yang meluap-luap - apa, mengapa, di mana, siapa dan bagaimana.

Setiap adegan berlaku dalam lapisan momentum yang pantas. Saya ingin menekankan perkataan 'lapisan' di sini kerana apa yang dialami Cobb dan rakan-rakannya ialah bermimpi dalam mimpi.

Salah satu kaedah untuk mengelakkan anda daripada terkeliru ialah memastikan garis masa yang betul serta lokasinya.

Cobb ialah seorang lelaki yang amat percaya kepada mimpi. Dia menjadikan mimpi sebagai landasan hidup, secara profesional mahupun peribadi.

Walaupun filem ini dilabel sebagai sebuah sains fiksyen thriller, saya masih dapat merasainya sebagai naskhah cinta.

Isteri Cobb iaitu Mal, lakonan Marion Cotillard adalah satu watak yang mempunyai pelbagai dimensi.

Keinginan Mal untuk terus hidup dalam khayalan membuatkan dia terperangkap. Seterusnya menjadikan karakter Mal sebagai yang paling dramatik dan menyayat hati.

Selepas keberkesanan The Aviator (2004), saya sentiasa menantikan filem-filem lakonan DiCaprio.

Dia bukan lagi Jack Dawson dalam Titanic (1997) yang setakat tampan, sebaliknya mainan yang diberikan aktor ini secukup rasa dengan kehendak watak. Tiada rungutan untuk persembahan DiCaprio.

Seperti mana untungnya Cobb mendapat anggota kumpulan 'pencipta mimpi' yang hebat, Nolan juga begitu.

Mimpinya direalisasikan barisan pelakon gred A, sinematografi yang memberangsangkan, skor muzik Hans Zimmer yang mendebarkan, serta rekaan set dan kesan khas yang realistik.

Adegan yang paling saya suka ialah ketika Arthur, lakonan Joseph Gordon-Levitt bertarung sambil terawang-awang.

Sebagai pengarah dan penulis lakon layar, Nolan pintar menganyam setiap peristiwa, mengajak penonton berkongsi permainan minda yang diciptakan.

Dia berjaya mengeksploitasi idea tentang kemampuan otak manusia berfikir, sama ada di luar mahupun di dalam sedar, secara metafizik.

Nolan mampu mengaburkan definisi mimpi dan impian, sehingga apa yang dipaparkan terasa seperti satu kenyataan dan penonton sukar membezakan.

Saya tidak teragak-agak untuk menamakan ini sebagai mahakarya Nolan. Dalam lambakan filem musim panas serta sekuel dan prekuel, dia muncul memberi sesuatu yang sangat segar.

Kerana Inception, Nolan bakal dikenang untuk jangka masa yang panjang selepas mengarahkan, antaranya Memento (2000), The Prestige (2006) dan The Dark Knight (2008).

Inception bukan Avatar. Saya pasti ia tidak akan memungut kutipan yang tinggi seperti mana filem James Cameron itu.

Namun, saya berpuas hati kerana merasai pengalaman yang lebih dahsyat menerusinya.

1 comment:

Farahanani Amhazali said...

saya lebih gemarkan babak van yg terjatuh dlm sungai..

itu adalah beberapa saat yg sangat panjang sekali..