Thursday, September 16, 2010

4 Madu (2010)

Madu yang kurang manis


FILEM 4 Madu memberikan persepsi bahawa ikatan perkahwinan boleh dipersenda dan menjadi bahan mainan.


PROFESOR Madya A. Razak Mohaideen dan Saiful Apek gabungan dua nama yang sudah selalu, tetapi cukup serasi dan menguntungkan.

Kerjasama mereka, daripada filem Jutawan Fakir (2003) sehinggalah Sifu dan Tongga (2009) mencatatkan trek rekod yang baik dari segi kutipan box-office.

Setuju atau tidak, kenyataannya Razak ialah seorang pembikin filem yang tahu membaca selera penonton.

Justeru, untuk filem terbarunya, 4 Madu, selain Saiful Apek, dia membariskan pelakon yang punya nama dan wajah untuk menarik orang ke pawagam, antara lain Fasha Sandha dan Rozita Che Wan.

Formula itu dikatakan masih relevan, walaupun risiko untuk gagal tetap ada.

Filem 4 Madu bermula apabila Azlan menerima sepucuk surat daripada pejabat peguam.

Di sana, dia dipertemukan dengan saudara kembarnya, Azrul yang terpisah sejak kecil.

Mereka sebenarnya diwasiatkan aset bernilai RM50 juta daripada bapa mereka yang selama ini tidak diketahui identitinya.

Sebelum harta itu diserahkan, Azlan dan Azrul harus melalui beberapa fasa ujian yang memaksa mereka untuk berkahwin empat.

Setiap satu calon memiliki kriteria tertentu, seperti wanita buta dan bisu serta anak yatim piatu. Tugasan-tugasan itu harus dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Plot filem ini mengingatkan saya dengan kepada filem Mr. Os (1987) yang berkisar sama mengenai ujian dan wasiat.

Tetapi kalau hendak diambil kira, idea asal filem itu pun bukanlah begitu asli kerana khabarnya dicedok daripada filem Hong Kong.

Justeru, persamaan atau ilham yang diulang pakai bukanlah sebab untuk menolak percubaan 4 Madu.

Apatah lagi, isu berkahwin banyak juga pernah diutarakan; contohnya dalam filem arahan Tan Sri P. Ramlee, Madu Tiga (1964) dan filem seberang, Berbagi Suami (2006).

Sayangnya, olahan 4 Madu dirasakan tidak sepintar dan sekemas dua filem tersebut.

Filem ini memberikan persepsi bahawa ikatan perkahwinan boleh dipersendakan dan menjadi bahan mainan.

Realiti mengenai ketamakan dan kehodohan prinsip bernikah hanya kerana wang, gagal disampaikan secara jelas. Apa yang lebih menonjol ialah poligami sebagai bahan jenaka kosong.

Seperti mana filem-filem komedi Razak yang lain, 4 Madu masih membawakan pendekatan yang serupa.

Skripnya ringan dengan humor yang adakalanya menjadi separuh masak. Babak demi babak ditonton tanpa meninggalkan kesan kerana tiada perubahan yang cuba dilakukan.

Lakonan Saiful Apek masih tidak banyak beza, meskipun melakonkan dua karakter dengan personaliti yang berlainan.

Watak Azlan ialah pekerja chalet yang kurang pendidikan, sementara Azrul ialah seorang ahli perniagaan yang berjaya.

Sepatutnya penonton dapat mengasingkan dua watak ini melalui mentaliti, dialog dan perlakuan mereka. Namun, perbezaan sifat Azlan dan Azrul tidak ketara.

Dalam pada itu, beberapa pelakon pembantu seperti Rosnah Mat Aris yang menjadi wanita sengau, Sazzy Falak sebagai wanita Inggeris celup dan Bienda sebagai wanita pura-pura buta, mampu menimbulkan kelucuan spontan.

Tanpa mengurangkan rasa hormat kepada kekurangan sifat semulajadi manusia, tiga peranan ini menyerlah.

Bagaimanapun, bersedialah untuk menyaksikan lakonan kayu dan menjengkelkan daripada sesetengah watak. Tidak semua 'madu' yang ditampilkan dalam filem ini manis.

Saya mahu mengulangi perenggan awal tadi. Prof Madya A. Razak Mohaideen dan Saiful Apek - gabungan dua nama yang sudah selalu, tetapi cukup serasi dan menguntungkan. Kata kunci di sini ialah menguntungkan.

Dalam musim perayaan seperti Aidilfitri, 4 Madu mempunyai potensi untuk mengulangi kejayaan box-office dua insan seni itu, atau sekurang-kurangnya balik modal.

Saya pasti memang itu pun yang menjadi sasaran utama pengarah dan penerbitnya.

No comments: