Berdoa untuk dimaafkan
|
|
SAYA tidak berkesempatan membaca buku Eat Pray Love sebelum menyaksikan filemnya. Begitu pun, saya tahu ia merupakan adaptasi daripada sebuah novel terlaris yang dianggap sebagai pencetus inspirasi.
Ditulis berdasarkan pengalaman sendiri, Elizabeth Gilbert disanjung sebagai srikandi alaf baru. Ironinya, saya tidak merasakan begitu sesudah menonton.
Karakter Elizabeth digambarkan sebagai seorang yang ego, keliru dan menjengkelkan. Malah, tidak keterlaluan jika saya melihat dia mempunyai masalah kecelaruan personaliti.
Justeru, apa yang hebatnya tentang wanita ini sehingga diperkatakan di serata dunia? Apakah pengajaran yang dibawakan sehingga bukunya masyhur dan dijadikan filem?
Untuk mendapatkan keadilan, saya mengambil inisiatif membaca novelnya setebal 441 halaman dalam masa dua hari, sebelum artikel ini ditulis. Saya pasti ada yang tertinggal dari buku untuk dimasukkan ke dalam filem.
Sudah menjadi lumrah apabila naskhah asal dikatakan jauh lebih baik daripada adaptasi. Namun, ia turut bergantung kepada kebijaksanaan penulis lakon layar untuk memindahkannya.
Contoh terbaik ialah Slumdog Millionaire (2008) yang diilhamkan daripada novel Q & A tulisan Vikas Swarup. Biarpun terjemahan tidak dilakukan mengikut setiap muka surat, namun inti pati cerita dan watak-wataknya diolah dengan berkesan.
Sangkaan saya terhadap kelemahan adaptasi Eat Pray Love sememangnya tepat. Sayang sekali apabila pembangunan watak utama gagal disempurnakan oleh penulis skrip, Ryan Murphy dan Jennifer Salt.
Ini mengingatkan saya kepada Running With Scissors (2006), satu lagi adaptasi dan arahan Murphy yang mengecewakan. Filem itu menerima kritikan kerana tidak sebagus buku dan nampaknya sejarah berulang kembali.
Dalam filem Eat Pray Love, saya tidak mengetahui sebab yang jelas mengapa Elizabeth tiba-tiba mahu meninggalkan suaminya, kemudian berpeleseran dengan lelaki muda sebelum pergi bercuti ke tiga buah negara.
Karakter Elizabeth kelihatan seperti seorang wanita yang bebas, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Setiap tindakan atau keputusan yang diambil seperti sangat mudah dan terburu-buru.
Walhal menerusi buku, saya diterangkan bagaimana Elizabeth sebenarnya tidak lagi berasa bahagia dan enggan mengandung seperti yang dimahukan suami. Dia juga sudah penat menjadi ketua kewangan dalam keluarga.
Di dalam beberapa bab juga, Elizabeth mengakui mengalami tekanan dan bergantung kepada ubat. Dia terpaksa bergelut dengan kedegilan suami yang enggan menceraikannya.
Kehilangan elemen-elemen kritikal ini memberikan saya persepsi yang berbeza terhadap Elizabeth di dalam buku dengan Elizabeth di layar perak.
Saya mampu bersimpati kepada Elizabeth apabila membaca bukunya, tetapi mencebik semasa menonton filem.
Pengembaraannya ke Itali lebih daripada sekadar menikmati makanan; ke India bukan setakat membaca mantera; dan ke Bali bukan semata-mata mencari cinta baru.
Perjalanan spiritual ini tidak dirasai melalui filem, kerana apa yang dipaparkan seolah-olah Elizabeth sedang berseronok saja. Sedangkan hakikatnya, Elizabeth berikhtiar keras untuk survive dan mencari masa depan.
Kegagalan versi filem mendalami setiap fasa itu, menjadikan Eat Pray Love sebagai satu karya yang hanya cantik pada permukaan.
Penonton diberikan sinematografi yang kemas, dengan bingkai-bingkai pemandangan yang indah ibarat sekeping poskad. Filem ini juga bernasib baik kerana disokong barisan pelakon ternama.
Walaupun lakonan Julia Roberts dikatakan stereotaip, namun tidak dapat dinafikan dia masih tersenarai antara aktres terhebat Hollywood. Perjalanan filem yang meleret banyak diselamatkan oleh aura Roberts, begitu juga dengan penampilan Javier Bardem dan Billy Crudup.
Adegan yang paling saya gemari ialah apabila Crudup menyeka air mata di dalam lif selepas bertarung di pejabat peguam untuk menyelamatkan perkahwinannya.
Sebagai kesimpulan, percubaan Murphy untuk membawa Eat Pray Love ke layar perak tidak kesampaian. Sebagai pencipta siri TV Glee (2009), mungkin dia harus fokus kepada menari dan menyanyi saja. Dia juga mesti berdoa agar dimaafkan peminat buku kerana telah merosakkan naskhah asal.
1 comment:
ohhhhh, rupanya ada blog!!!
Post a Comment