Thursday, October 7, 2010

Charlie St. Cloud (2010)

Lebih gimik daripada tragik


HUBUNGAN abang dan adik yang dilakonkan oleh Zac Efron (kiri) dan Charlie Tahan cukup berkesan dalam filem Charlie St. Cloud.


MELETAKKAN Zac Efron sebagai bintang utama sebuah melodrama seperti Charlie St. Cloud, sasaran demografi filem ini sudah pun ditetapkan - khusus untuk remaja dan penggila aktor tersebut. Justeru, labelnya jelas sebagai sebuah filem yang ringan.

Bagaimanapun, apa yang menarik ialah sedutan filem ini memberi indikasi bahawa ia cuba menukar imej Efron; daripada seorang lelaki tampan yang sekadar tahu menari dan menyanyi (rujuk siri High School Musical, 2006-2008 dan Hairspray, 2007) kepada seorang aktor berkarakter.

Saya tidak menafikan berminat untuk menonton Charlie St. Cloud kerana trailernya. Dibantu muzik latar yang sesuai (terutamanya lagu Run dari Snow Patrol) dengan suntingan yang kemas, saya mengharapkan filem ini terhasil sebagai sebuah naskhah air mata yang baik, sekurang-kurangnya satu guilty pleasure.

Charlie St. Cloud mengisahkan seorang jejaka bernama Charlie yang begitu akrab dengan adiknya, Sam. Malangnya, satu kemalangan jalan raya mengubah hidupnya apabila Sam terbunuh. Charlie dihantui rasa bersalah kerana mereka tidak sepatutnya keluar rumah pada malam itu.

Kehilangan itu menjadikan Charlie seorang yang pemuda yang suka mengasingkan diri. Bekerja di tanah perkuburan tempat Sam disemadikan, penonton kemudiannya diberitahu yang Charlie mampu berkomunikasi dengan roh - sama ada roh adiknya mahupun kawannya.

Saban petang dia akan berlatih besbol dengan roh Sam di dalam hutan, sehinggalah fokusnya itu terganggu dengan kehadiran seorang gadis pelayar bernama Tess. Keakraban mereka menyebabkan roh Sam rasa tersisih, tanpa menyedari Tess juga sebenarnya adalah roh yang ingin meminta pertolongan.

Subjek roh berkomunikasi dengan manusia pernah ditampilkan dengan menarik dalam The Sixth Sense (1999) dan The Lovely Bones (2009). Jurang di antara realiti dan fantasi dibahagikan secara jelas tanpa mengelirukan penonton.

Namun demikian, saya menghadapi sedikit masalah semasa menonton Charlie St. Cloud. Saya kurang pasti jika Charlie benar-benar mampu melihat roh Sam dan Tess atau itu hanya imaginasinya? Adakah Charlie sekadar berhalusinasi?

Adakah dia memperolehi deria keenam itu akibat kemalangan jalan raya? Dan sejauh mana deria itu berfungsi kerana dia digambarkan boleh berkomunikasi dengan roh tertentu saja?

Cubaan pengarah untuk mengembangkan plot dan karakter dirasakan terlalu mengambil masa, menyebabkan perjalanan filem mendatar dan boleh dijangka.

Tidak salah untuk menyajikan sebuah lagi karya yang formulaic, tetapi olahan Burr Steers (Igby Goes Down - 2002 dan 17 Again - 2009) tidak cukup mencengkam. Sayang sekali apabila sisi gelap dan tertekan Charlie tidak dimanipulasi sepenuhnya. Lalu, apa yang muncul sebagai produk akhir ialah sebuah drama standard, tidak lebih dari apa yang selalu kita tonton di saluran Hallmark.

Tiada banyak yang boleh diperkatakan mengenai aspek lakonan, walaupun diuar-uarkan Efron cuba tampil sebagai pelakon yang lebih serius. Kemunculan nama-nama besar seperti Kim Basinger dan Ray Liotta juga tidak banyak membantu. Mereka sekadar memenuhi masa tayangan dengan lakonan yang biasa.

Kalau ada pun yang menonjol, mungkin kredit boleh diberikan kepada Charlie Tahan sebagai Sam yang menjentik emosi penonton menerusi sifatnya yang rapuh.

Untuk berlaku adil, sepuluh minit pertama filem ini berjaya 'mendakap' saya dalam kehangatan perhubungan adik dan abang. Sinematografinya juga berada pada tahap memberangsangkan, kalau pun tidak cemerlang atau menampilkan sebarang kelainan yang nyata.

Sedutan filem Charlie St. Cloud nampaknya lebih berjaya memikat saya daripada cereka penuh. Strategi pemasaran untuk menaikkan 'darjat' Efron sebagai pelakon filem tragik nampaknya tidak lebih dari setakat gimik.

No comments: