Thursday, October 14, 2010

The Other Guys (2010)

Filem lelaki yang menjengkelkan


SIFAT kontras watak yang dilakonkan Mark Wahlberg dan Will Ferrell mencetuskan keserasian dalam filem ini.


SAYA bukan peminat setia Will Ferrell, tetapi tidaklah menyampah terus. Ada beberapa filemnya yang mampu membuatkan saya ketawa, antaranya Superstar (1999) dan Blades of Glory (2007).

Saya juga teruja untuk menyaksikan filem animasi Megamind (2010) yang mana dia menyumbangkan suara untuk karakter utama.

Terkenal dengan gaya komedi slapstik (atau dalam bahasa kasarnya lawak bodoh), The Other Guys sekali lagi menyatukan Ferrell dengan pengarah Adam McKay.

Kerjasama mereka bermula sejak Saturday Night Live (1995-2007); malah di bawah pengarahan McKay, Ferrell berpeluang menghidupkan fantasi kanak-kanaknya seperti menjadi wartawan (Anchorman: The Legend of Ron Burgundy, 2004) dan pemandu kereta lumba (Talladega Nights: The Ballad of Ricky Bobby, 2006).

Fantasi terbaru mereka ialah main-main polis. Di dalam The Other Guys, Ferrell digandingkan dengan Mark Wahlberg, satu contoh ideal seorang detektif - serius dan sasa.

Ferrell ialah Allen Gamble, polis yang hanya mahu membuat kertas-kertas kerja di pejabat tanpa menyelesaikan kes di lapangan; manakala Wahlberg sebagai Terry Hoitz yang semangatnya berkobar-kobar tetapi kurang cerdik.

Di tempat mereka bekerja, P.K Highsmith dan Christopher Danson (kemunculan istimewa Samuel L. Jackson dan Dwayne 'The Rock' Johnson) ialah pasangan detektif yang amat disegani. Mereka cekap, berani dan sering menyelesaikan kes berprofil tinggi sehinggalah satu hari terkorban dalam kemalangan.

Kematian Highsmith dan Danson mendorong detektif lain untuk mengikut jejak langkah mereka, termasuk Hoitz. Namun kerana Hoitz dipandang rendah rakan sekerja, dia tiada pilihan selain 'memaksa' Gamble ikut serta dalam setiap kes yang ingin diselesaikannya.

Sifat kontras Hoitz dan Gamble mencetuskan keserasian, walaupun mereka saling membenci di antara satu sama lain.

The Other Guys tidak ubah ibarat parodi kepada filem aksi klasik lakonan Mel Gibson dan Danny Glover, Lethal Weapon (1987); kecuali Ferrell dan Wahlberg lebih menjengkelkan.

Saya bukan peminat setia Ferrell. Justeru, beberapa jenaka fizikalnya yang over-the-top serta dialog yang agak kotor di dalam filem ini, tidak berjaya membuatkan saya ketawa.

Kalau ada pun, saya hanya tersenyum sinis dalam kehairanan. Tetapi sila maklum, itu bukan salah Ferrell mahupun pengarah. Ini soal citarasa.

Wahlberg melengkapi kedangkalan Ferrell, cuma lawaknya lebih subtle dengan reaksi wajah yang tegak, bersesuaian dengan karakter Hoitz itu sendiri.

Bayangkan Staff Sgt. Dignam daripada filem The Departed (2006), tetapi bodoh-bodoh alang. Itulah yang penonton dapat daripada Wahlberg di dalam The Other Guys.

Kehadiran Steve Coogan sebagai penyangak David Ershon menambah variasi filem ini dengan aroma komedi Britain-nya, begitu juga dengan kelibat Michael Keaton yang mengubati rindu peminat untuk melihat dia beraksi semula di layar perak.

Jangan terlepas dengan cameo beberapa bintang terkenal lain seperti Brooke Shields, Rosie Perez dan pemain besbol Derek Jeter.

Sementara itu, kemunculan Eva Mendes pula tidak lebih sekadar memenuhi ruang khayalan Ferrell dan McKay, di mana wanita sehangat itu boleh jatuh cinta kepada lelaki sehodoh Gamble. 'Filem lelaki' seperti ini memerlukan seorang aktres seksi sebagai eye-candy.

Walaupun plot filem ini cuba berlaku bijak dengan memasukkan elemen-elemen bisnes dan kewangan, namun ia tidak meyakinkan.

Siasatan Gamble dan Hoitz terhadap misteri penyelewengan yang dilakukan Ershon, kelihatan bercelaru dan mengelirukan.

Apa yang jelas hanyalah babak demi babak komedi yang terlebih-lebih. Barangkali sebagai penyedap hati, adegan-adegan aksi, kejar-mengejar dan letupan yang dikoreograf untuk filem ini agak membanggakan.

Sekurang-kurangnya, The Other Guys tidak mungkir janji dengan labelnya sebagai sebuah lagi filem aksi komedi.

No comments: