Ikhlas tapi jauh
|
|
MELIHAT daripada trailer, Going The Distance seakan berada di dalam kelas yang serupa seperti filem-filem komedi romantik lain, misalnya Valentine’s Day, When In Rome atau The Back-Up Plan yang diterbitkan tahun ini.
Namun demikian, trailer lazimnya hanya memberi gambaran sepintas lalu dan penilaian tidak wajar dilakukan.
Sedutan itu memberi persepsi yang stereotaip kepada Going The Distance, walhal sebenarnya ia bukanlah sebuah naskhah chick-flick yang total, yang hanya sesuai untuk ditonton wanita.
Beberapa jam selepas ditinggalkan kekasih, Garrett berkenalan dengan Erin secara tidak sengaja di sebuah bar. Keserasian mengikat mereka, daripada sekadar kenalan kepada calon teman wanita.
Masalah mula timbul apabila Erin harus pulang ke tempat asalnya di San Francisco. Dia berada di New York hanya untuk sementara waktu kerana menjalani latihan musim panas di sebuah syarikat akhbar.
Plot filem ini mudah difahami. Tentang dua insan yang berdepan dengan pelbagai isu percintaan jarak jauh.
Garrett dan Erin harus melalui zon masa yang berlainan, rasa rindu dan cemburu yang menyesakkan, tambang kapal terbang yang mahal serta tekanan untuk bertukar kerja dan tempat tinggal.
Going The Distance bukan naskhah chick-flick yang total kerana perspektif Garrett turut diambil kira. Saya percaya kaum lelaki yang menonton filem ini mampu mengaitkan setiap peristiwa dengan pengalaman dan perasaan mereka.
Filem ini barangkali tidak sebaik 500 Days of Summer (2009), sebuah komedi romantik yang berbaur indie dan segar. Bagaimanapun, Nanette Burstein selaku pengarah berjaya mengolahnya dengan realistik, tidak terkongkong dengan idea percintaan dongeng Hollywood.
Menontonnya sama seperti menyaksikan sebuah siri realiti, iaitu mengenai orang-orang sebenar dengan masalah-masalah sebenar.
Tidak menghairankan kerana Burstein asalnya ialah pembikin dokumentari bertaraf calon Oscar. Ini merupakan cubaan pertamanya mengarahkan filem cereka.
Kerana Going The Distance membincangkan perhubungan remaja, Geoff La Tulippe cuba menghasilkan sebuah skrip yang jujur, lantang dan tidak konservatif. Sayangnya, sesetengah penonton mungkin akan tersinggung atau kurang selesa dengan jenakanya yang membabitkan perihal seks.
Beberapa perlakuan dan dialog menimbulkan provokasi, lebih-lebih lagi untuk penonton Asia. Ada masanya saya terasa filem ini menjurus ke arah komedi stail Judd Apatow yang celupar, seperti The 40 Year Old Virgin (2005) dan Knocked Up (2007).
Keikhlasan penulis skrip untuk memaparkan fitrah sebenar pasangan bercinta jarak jauh, sedikit terganggu dengan keberanian itu. Sekali dua lawak lucah boleh diterima, tetapi tidak hampir sepanjang filem.
Ada masa-masanya juga gelombang filem ini terasa mendatar pada pertengahan, sedangkan ketika itu konflik perhubungan Garrett dan Erin sedang memuncak. Mungkin Burstein sengaja mengelak daripada menjadi terlalu sentimental atau melodrama.
Secara peribadi, saya merasakan penyudah Going The Distance terlalu ringkas dan mendadak, tidak serumit masalah-masalah yang digambarkan sejak awal.
Sebagai pasangan yang pernah bercinta dalam kehidupan sebenar, Drew Barrymore dan Justin Long tidak perlu berusaha keras untuk mencipta keintiman. Sejarah perhubungan mereka yang panas dingin di luar set penggambaran, menjadi taruhan untuk mengajak peminat ke pawagam.
Malah, Barrymore dan Long bertuah kerana disokong pelakon pembantu yang mempunyai kredibiliti untuk membuatkan penonton ketawa, terutama sekali Christina Applegate sebagai kakak Erin yang bersifat mengongkong; serta Jason Sudeikis dan Charlie Day sebagai teman karib Garrett yang gila-gila.
Dengan mengenepikan dialog-dialog 18SX, filem ini tidak membuatkan saya mencebik. Justeru, Going The Distance tidak berada di dalam kelas yang sama seperti Valentine’s Day, When In Rome atau The Back-Up Plan.
No comments:
Post a Comment