Thursday, December 9, 2010

THE CHRONICLES OF NARNIA: THE VOYAGE OF THE DAWN TREADER (2010)

Pelayaran yang selamat

SUDAH lima tahun filem Narnia yang sulung, The Chronicles of Narnia: The Lion, the Witch and the Wardrobe memulakan tayangan di pawagam. Seperti mana siri Harry Potter, kanak-kanak di dalam filem ini iaitu adik-beradik Pevensie semakin meningkat dewasa, terutamanya Lucy.

Dengan tamatnya siri Harry Potter tahun depan, siri Narnia dilihat sebagai penyambung 'dos fantasi' untuk peminat filem, apatah lagi masih ada empat episod dalam perancangan.

The Chronicles of Narnia: The Voyage of the Dawn Treader merupakan filem ketiga dalam francais Narnia. Ia mengikuti pengembaraan King Caspian - selepas berakhirnya episod kedua, Prince Caspian (2008) - dalam mencari tujuh pedang yang hilang semasa pemerintahan King Miraz.

Dalam perjalanan, Caspian dipertemukan dengan Lucy, Edmund dan sepupu mereka, Eustace yang muncul secara tidak sengaja menerusi sebuah lukisan ajaib. Kali ini adik-beradik Pevensie yang lebih tua, Peter dan Susan sekadar bintang undangan dan tidak lagi menjadi 'pahlawan' utama.

Eustace yang pertama kali berkunjung ke dunia Narnia mengambil masa untuk mengadaptasikan diri dengan segala keanehan dan kesaktian. Bersama kapal Dawn Treader dan krewnya, termasuk haiwan-haiwan yang bercakap, mereka belayar melepasi Silver Sea untuk ke 'penghujung dunia'.

Kedatangan mereka bukan sekadar menentang naga, haiwan berbisa dan puting beliung, tetapi turut melawan ketakutan dan kelemahan yang ada dalam diri.

Saya tidak dapat membandingkan plot filem dengan kandungan buku kerana tidak pernah membacanya. Namun, melihat sebuah filem berdasarkan dua prekuel terdahulu, jalan ceritanya mudah difahami. Cuma penonton harus peka dengan setiap peristiwa dan karakter yang bertambah agar tidak keliru.

Seperti mana saya menyukai filem ketiga Harry Potter iaitu The Prisoner of Azkaban (2004), The Voyage of the Dawn Treader juga, secara peribadi, dianggap sebagai yang terbaik dari Narnia. Filemnya boleh dinikmati kanak-kanak dan dewasa tanpa membebankan kepala.

Apatah lagi dengan kembalinya si tikus comel, Reepicheep (suara oleh Simon Pegg) yang kali ini tidak sebulu dengan Eustace. Perhubungan benci-sayang di antara dua makhluk ini menjadi sumber komedi dan gelagat mereka mencuri masa tayangan.

Begitu juga dengan singa Aslan, ciptaan imej janaan komputer (CGI) terbaik yang pernah dihasilkan Narnia. Walaupun kehadirannya hanya beberapa babak, penonton dapat merasakan auranya. Suara yang disumbangkan Liam Neeson begitu cocok dengan karakter sebagai pelindung kepada adik-beradik Pevensie.

Namun demikian, peminat watak White Witch yang dilakonkan Tilda Swinton barangkali sedikit kecewa akibat kemunculannya yang sekejap. Imej ahli sihir itu tidak jelas kerana ditampilkan secara bayangan saja.

Filem ini mempunyai kemuncak yang baik, lebih kemas dari dua filem terawal. Suasana dan perasaannya bersesuaian sebagai satu penamat, meskipun bersifat agak gelap dan mistikal.

Visual yang cemerlang menjadikan 'penipuan' Narnia lebih bermakna dan dipercayai. Agak sukar untuk membezakan di antara set sebenar dengan set digital.

Narnia selamat di tangan Michael Apted (The World Is Not Enough, 1999) yang mengambil alih tugas daripada Andrew Adamson.

Seperti kebanyakan filem lain hari ini, The Voyage of the Dawn Treader juga ditayangkan dalam versi tiga dimensi.

Bagaimanapun, inisiatif itu tidaklah terlalu menonjol, malah anda masih boleh menyaksikan filem ini dengan jelas jika tidak menggunakan cermin mata 3D. Mungkin ini salah satu kekurangan episod ketiga Narnia.

No comments: