Thursday, December 2, 2010

THE SOCIAL NETWORK (2010)

Rangkaian nilai Oscar


HEBAT...Lakonan Jesse Eisenberg (kiri) dan Joseph Mazzello begitu memberangsangkan dalam filem The Social Network.


THE Social Network bukan filem mengenai Facebook. Ia mengenai penciptanya, Mark Zuckerberg dan beberapa individu yang berkaitan semasa pembinaan laman sosial itu, serta kesan yang timbul akibat evolusinya.

The Social Network bukan juga sebuah dokumentari bagaimana Facebook tercipta, tetapi drama mengenai persahabatan yang tergugat akibat wang dan pengkhianatan.

Saya sempat membaca wikipedia sebelum menyaksikan filem ini. Zuckerberg dikatakan tidak gembira dengan cara ia dibikin, kerana menurutnya hidupnya tidak sedramatik itu.

Tidak dinafikan dia berhak untuk berasa tidak puas hati, tetapi jika The Social Network sekadar memaparkan cerita seorang lelaki yang duduk berjam-jam mengadap komputer, siapa yang berminat menontonnya?

Dan siapa sangka Facebook yang diguna pakai meluas di serata dunia hari ini asalnya daripada perasaan marah dan dendam?

The Social Network bermula dengan adegan perdebatan di antara Zuckerberg bersama seorang gadis bernama Erica di sebuah bar yang bising.

Disebabkan Erica menganggap dia lelaki tidak berguna, Zuckerberg kemudiannya mencipta laman web yang memberi markah kepada setiap pelajar wanita di Harvard dengan tujuan memalukan mereka.

Meskipun Zuckerberg didapati bersalah kerana menggodam pangkalan data universiti, dia meraih populariti segera, lalu menerima tawaran bekerjasama dengan pasangan kembar Winklevoss. Mereka bercadang membangunkan sebuah laman web elit yang menjadi rangkaian untuk para pelajar Harvard bersosial.

Idea itu membawa Zuckerberg kepada langkah yang lebih besar sehinggalah lahirnya Facebook.

Seperti yang tertulis pada poster filem ini - "Anda tidak akan mendapat 500 juta kawan tanpa membuat beberapa musuh" - Zuckerberg disaman rakan baiknya sendiri, Eduardo Saverin dan kembar Winklevoss kerana melanggar perjanjian dan dituduh haloba.

Apa yang menjadikan The Social Network sebuah cereka yang baik ialah lakon layarnya. Aaron Sorkin bijak menyusun struktur filem dalam beberapa tingkat. Cerita disampaikan secara bersilang; di antara babak di meja perundingan di bilik peguam dengan adegan imbas kembali bagaimana segala konflik bermula.

Di tangan Sorkin, watak Zuckerberg menjadi individu yang dibenci kerana ketamakan dan keangkuhannya, tetapi pada masa yang sama seorang genius dan kita masih mampu untuk berasa simpati.

Dialog-dialog yang ditulis Sorkin juga mempunyai stail; yang mungkin tidak diucapkan di alam nyata, tetapi kedengaran hebat di layar perak.

Bagaimanapun, semua itu tidak akan menjadi cemerlang jika bukan kerana kehebatan pengarah David Fincher.

Dengan bantuan pengarah fotografi Jeff Cronenweth, yang pernah bekerjasama untuk Fight Club (1999), setiap shot mempamerkan nilai kraf yang tinggi dan teliti. Fincher tahu untuk membawa filem ini berjalan dalam kadar kelajuan yang sederhana, tetapi tidak membosankan dan mampu mendaftarkan kesan.

Tidak seperti filem-filemnya sebelum ini; antara lain Se7en (1995) dan The Curious Case of Benjamin Button (2008); Fincher membimbing barisan pelakon muda dan kurang ternama dalam The Social Network, tetapi menghasilkan kerja yang bertaraf lima bintang.

Jesse Eisenberg memberi persembahan yang mengagumkan. Menanggalkan sifat neurosis dan goofiness menerusi watak-wataknya sebelum ini, dia menjelmakan Zuckerberg sebagai seorang yang dingin, keras hati dan pendiam tetapi sangat berkeyakinan dan pintar. Dia mampu membuatkan penonton benci dan kasihan secara serentak.

Begitu juga dengan Andrew Garfield sebagai Saverin yang membawa lebih emosi, terutamanya ketika dia disingkirkan daripada syarikat.

Ekspresi wajah dan bahasa tubuhnya menunjukkan kerapuhan perasaan, sangat kontra dengan amarah yang ditunjukkan pasangan kembar Winklevoss lakonan Armie Hammer.

Ya, Hammer melakonkan dua watak sekali gus dengan berkesan sehingga saya menyangkakan dia ialah dua pelakon yang berbeza. Justin Timberlake memberikan lakonan yang sederhana sebagai pengasas Napster, Sean Parker, walaupun ada masanya agak kekok kerana pesona sebagai penyanyi masih kelihatan.

Biarpun filem ini dikecam sesetengah pihak sebagai tidak jujur dan berlebih-lebihan dalam menyampaikan kisah benar (apatah lagi insan yang diceritakan itu masih hidup), ia boleh diklasifikasikan sebagai naskhah rujukan yang mendefinisikan generasi hari ini.

Namun, apa yang lebih besar daripada itu ialah isinya sebagai sebuah kisah yang mengangkat nilai di antara moral, kemasyhuran dan kekayaan. Mungkin rangkaian faktor itu mampu membawa The Social Network ke pentas Oscar tahun depan.

No comments: