Mari balik ke panggung
|
|
SAYA tidak sangka akan ketawa terbahak-bahak semasa menyaksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Seperti kebanyakan orang, saya juga selalu skeptikal terhadap sekuel, apatah lagi Zombi Kampung Pisang tidak termasuk dalam senarai filem kegemaran.
Bagaimanapun, saya tidak melihat Hantu Kak Limah Balik Rumah sebagai sebuah filem sambungan. Ia hanya menggunakan watak dengan latar yang sama, tetapi masih mampu berdiri sendiri. Penonton tidak perlu mengingati peristiwa daripada Zombi Kampung Pisang atau menontonnya terlebih dulu.
Selepas dua tahun meninggalkan Kampung Pisang, Husin kembali untuk menebus kesilapan lalu. Motorsikal besar menjadi simbol dia sudah stabil dari segi kewangan dan mahu meminang Cik Nin, kekasih yang ditinggalkan.
Kepulangan Husin menimbulkan ketegangan. Pertama, kerana Pak Jabit masih menyimpan dendam terhadapnya yang mempermain-mainkan perasaan Cik Nin. Kedua, kerana dia menghebahkan kepada orang kampung bahawa jiran sebelah rumahnya, Kak Limah sudah menjadi hantu.
Penampilan Kak Limah yang tidak serupa orang - rambut mengerbang, muka pucat lesi dan suka bersendiri di tempat gelap - memang mampu membuatkan sesiapa saja lari. Dalam menyelesaikan kegemparan itu, Husin juga bertemu jawapan yang dicari tentang jodohnya dengan Cik Nin.
Filem ini meneruskan stail humor Mamat Khalid yang secara dasarnya merapu, tetapi berjaya mengundang gelak. Lawaknya kelihatan mudah, kena pada sasaran, dalam masa sama berlapiskan sindiran dan parodi.
Mamat mempunyai kemampuan untuk memberikan jenaka dalam dua nada sekaligus iaitu ringan dan gelap. Penonton mempunyai pilihan sama ada mahu relaks dan terima lawaknya itu bulat-bulat, atau cuba membaca mesej terselindung yang ingin disampaikan.
Misalnya, kehadiran pawang Indonesia dan Siam yang dipanggil untuk menghalau hantu Kak Limah. Sedang penonton ketawa digeletek dengan adegan-adegan lucu, Mamat sebenarnya mahu memberitahu tentang sikap kita yang lebih mempercayai 'kehebatan' orang luar, sedangkan ia belum tentu berhasil.
Babak Husin menyanyi kepada Cik Nin ala MTV juga dibikin tanpa rasa menjengkelkan. Ia ibarat satu penghargaan kepada filem-filem Melayu era 1970an yang suka menyanyi di tengah-tengah cerita.
Mamat mampu menghasilkan komedi sedemikian tanpa membuatkan penonton meluat atau terasa diperbodoh-bodohkan. Dia mungkin mahu kita 'belajar' untuk mentertawakan diri sendiri dan itu tidak salah.
Kalaulah di Malaysia ada anugerah Persembahan Berkumpulan Terbaik (Best Ensemble Cast) seperti di Screen Actors Guild, saya percaya barisan pelakon Hantu Kak Limah Balik Rumah layak memenanginya.
Lakonan kaku untuk watak Wan Kaswi pun boleh dimaafkan kerana dia didampingi persembahan selamba daripada bintang lain.
Shy8 sebagai Usop, bekas penari kebudayaan yang sekadar tempelan dalam Zombi Kampung Pisang sangat menyerlah kali ini. Dia berjaya mencuri tumpuan yang sama, yang diberikan penonton kepada pemain yang lebih popular seperti Awie, Johan Raja Lawak dan Zami Ismail.
Begitu juga dengan Man Kadir sebagai Pak Jabit yang lakonannya sangat asli dan Delimawati sebagai Kak Limah yang tidak perlukan dialog, tetapi masih kelakar seram. Mamat membuka ruang kepada pelakon-pelakon underdog menonjolkan bakat mereka yang selama ini dipinggirkan.
Setiap watak dan kesinambungan babak bergerak dengan baik. Malah, penamat filem ini juga menimbulkan intrig yang berkesan, sesuai dengan hajat Mamat yang mahu membikin sebuah lagi sekuel. Watak Ayu yang hanya muncul sekali-sekala itu sebenarnya sangat penting untuk filem akan datang.
Saya tidak sangka akan ketawa terbahak-bahak semasa menyaksikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Seperti kebanyakan orang, saya juga mahu menontonnya sekali lagi dan filem ini termasuk dalam senarai filem kegemaran.
No comments:
Post a Comment