Kemilau di sebalik klise
|
|
TIADA apa yang baru mengenai jalan ceritanya. Seorang gadis bernama Ali meninggalkan bandar kecil Iowa untuk mengejar lampu neon Los Angeles. Bercita-cita menjadi penyanyi, dia terjumpa sebuah kelab, Burlesque yang dimiliki Tess.
Kagum dengan persembahan di kelab tersebut, Ali cuba mendapatkan pekerjaan di situ. Dia bermula sebagai pelayan sebelum berjaya meyakinkan Tess bahawa dia memiliki bakat yang hebat sebagai penghibur.
Kerana rumahnya dirompak, Ali terpaksa menumpang di rumah rakan sekerja, seorang lelaki tampan bernama Jack. Perasaan cinta mula berputik tetapi mereka cuba menafikannya, apatah lagi Jack sudah bertunang.
Dalam masa yang sama, Burlesque mempunyai masalah kewangan. Tess dihimpit dengan dilema sama ada mahu terus menanggung beban hutang atau menjualkan saja kelab itu.
Sangat klise, bukan? Plot sebegini bukanlah sesuatu yang di luar kotak, malah tanpa menyaksikannya pun, penonton sudah boleh mengagak. Kerana sifatnya sebagai filem muzikal yang berlatarkan sebuah kelab, Burlesque tidak dapat lari dari disamakan dengan Chicago (2002) atau Cabaret (1972).
Barangkali tiada apa yang asli dari sudut penceritaan, teknik mahupun koreografi. Saya sendiri agak skeptikal, membayangkan Burlesque hanyalah gabungan filem-filem lain seperti Coyote Ugly (2000) campur Nine (2009).
Bagaimanapun, saya percaya peminat tidak dapat menolak kuasa keserasian yang dicetuskan Christina Aguilera dan Cher. Saya lega kerana filem sulung Aguilera tidak menjadi sampah seperti filem Mariah Carey, Glitter (2001) atau filem Britney Spears, Crossroads. (2002).
Lakonan Aguilera tidaklah fantastik, tetapi dia sudah melakukan apa yang sepatutnya. Suka atau tidak, vokalnya cukup bertenaga untuk ‘mengangkat’ filem ini, ditambah gerak tari yang meyakinkan.
Kalau hendak diikutkan, pada usia 31 tahun, Aguilera agak tua untuk peranan ini. Namun, dia melengkapi pakej untuk karakter Ali dan faktor usia boleh dimaafkan dengan mudah.
Sebagai pemenang Oscar, keupayaan Cher tidak boleh diragukan. Selepas lebih sepuluh tahun tidak muncul dengan watak utama di layar perak, dia membuat keputusan yang tepat dengan membintangi Burlesque. Watak Tess sebagai ‘mentor’ sangat layak untuk Cher dan ditangani dengan baik.
Sejujurnya, lagu-lagu yang dipersembahkan sukar untuk menjadi malar segar kerana kebanyakannya berbunyi hampir serupa. Namun, mengikut konteks cerita, ia mampu menghiburkan.
Bagi peminat setia Cher, You Haven’t Seen The Last Of Me adalah bonus terbaik. Lagu itu menang anugerah Lagu Asal Terbaik Golden Globe dan merupakan rakaman pertama Cher dalam tempoh 7 tahun. Babak ketika menyanyikan lagu itu juga dirakamkan dalam suasana drama yang tidak keterlaluan, ketika Tess sedang kusut.
Sebagai pengarah baru yang tidak mempunyai profil kukuh, Steven Antin bijak menggunakan kekuatannya. Pernah menjadi penerbit eksekutif siri televisyen Pussycat Dolls Present: Girlicious (2008), dia tahu kelebihannya adalah pada drama muzikal dengan koreografi, set dan kostum yang gah.
Gaya penulisannya juga pantas serta tepat, dibumbu sedikit humor dan melankolik.
Antin bertuah kerana barisan pelakon berpengalaman bersetuju membantunya. Bintang sokongan seperti Stanley Tucci, Peter Gallagher, Alan Cumming dan Eric Dane menambahkan seri.
Cuma pemilihan Kristen Bell sebagai Nikki, saingan utama Ali dirasakan sedikit janggal. Sepatutnya watak Nikki diserahkan kepada pelakon yang lebih dahsyat skil tariannya dan mempunyai raut wajah yang lebih menjengkelkan.
Sebagai sebuah produk muzikal, memang tiada apa yang baru mengenai Burlesque. Sebaik saja ia bermula, penonton sudah tahu apa yang bakal mereka dapat. Biarpun klise, filem ini masih mempunyai kemilau razzle-dazzle yang mampu menutup kekurangan.
Silap-silap, sebaik saja ia berakhir, anda masih tidak puas dan mahu menontonnya lagi.
No comments:
Post a Comment