Mengulang ritual serupa
SELEPAS The Exorcist (1973), Hollywood dikatakan gagal menemui filem rasukan sehebatnya. Filem arahan William Friedkin itu dianggap sebagai naskhah klasik yang mampu membuatkan penonton mengalami mimpi ngeri. Malah, berupaya menakutkan walau ditonton pada siang hari.
Sekuelnya, The Exorcist II (1977) dan The Exorcist III (1990) tidak sebaik yang pertama, apatah lagi menandinginya. Kemunculan filem bertema serupa seperti The Exorcism of Emily Rose (2005) atau The Last Exorcism (2010) tidak lebih dari sekadar mencuba nasib.
Tiada satu pun daripada filem-filem itu membuatkan bulu roma penonton berdiri tegak untuk tempoh yang panjang. Jika ada pun, ia masih dibayangi perasaan seram The Exorcist - rujuk adegan kepala berpusing-pusing, muntah hijau, imej wanita berambut kusut dan kerasukan melampau.
Meskipun filem-filem sebegini mahu menyelitkan mesej 'baik melawan jahat', sejujurnya penonton tidak peduli. Apa yang mereka mahu ialah ditakut-takutkan.
Justeru, apabila Mikael Hafstrom (Derailed, 2005) turut menekankan mesej tersebut di dalam pengarahan terbarunya, penonton agak kurang menghargai.
The Rite diinspirasikan daripada buku tulisan Matt Baglio, The Rite: The Making of a Modern Exorcist. Baglio ialah seorang wartawan yang menyertai seminar tajaan Vatican tentang ilmu menentang syaitan.
Filem ini memberi fokus kepada dua karakter utama, iaitu Michael Kovak, pelajar di seminar tersebut dan Father Lucas Trevant, paderi berpengalaman yang sudah melakukan beribu-ribu ritual menghalau kuasa hitam.
Kovak ialah seorang lelaki yang penuh curiga, bukan saja terhadap sihir tetapi tentang keinginannya sendiri. Dia menganggap apa saja yang berlaku sebagai satu gangguan psikologi, bukan dari makhluk halus.
Kovak sering saja mempersoalkan tindakan dan kepercayaan Trevant dari setiap sudut, sehinggalah paderi tua itu sendiri dirasuk. Di tangan Kovak terletak tanggungjawab untuk menyelamatkan Trevant yang berada di ambang maut.
Gerak filem ini bermula perlahan. Malah, selepas setengah jam pun, The Rite masih dalam usaha untuk mengukuhkan plot.
Penonton tidak boleh disalahkan jika mereka bosan tetapi mungkin pengarah mahu mewujudkan perasaan yang lebih jujur terhadap setiap peristiwa dan tidak terburu-buru.
Dalam keterujaan menanti apa yang bakal berlaku seterusnya, saya sedikit terasing dengan karakter Kovak, lebih-lebih lagi selepas kemunculan Trevant. Emosi Kovak seakan-akan tidak kesampaian. Penonton tidak berdaya menyelami jiwanya sehingga satu tahap, saya tidak mempedulikan dia lagi.
Saya percaya faktor itu disebabkan Anthony Hopkins. Kekuatan lakonannya bukan saja menutupi kelemahan filem tetapi turut menenggelamkan pemain lain, terutamanya pada 45 minit terakhir. Saya sendiri memejamkan mata beberapa kali semasa babak dia dirasuk.
Di tangan Hopkins, Trevant barangkali mengingatkan peminat kepada watak popularnya, Dr. Hannibal Lecter dalam The Silence of the Lambs (1991). Persamaan itu bukanlah dari segi sifat atau ciri-ciri karakter tetapi pembawaan Hopkins yang penuh misteri, di antara bersahaja dan bersungguh.
Malang bagi Colin O'Donoghue yang menggalas peranan Kovak kerana tidak dapat 'mengejar' kehebatan Hopkins sehingga tertinggal di belakang.
The Rite adalah satu lagi produk seram Hollywood. Ia mengulang ritual serupa untuk sebuah naskhah seram. Penamatnya bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan Hopkins ialah segala-galanya bagi filem ini.
Sewajarnya pun poster The Rite hanya memaparkan wajah dia seorang.
No comments:
Post a Comment