Thursday, February 3, 2011

HAQ (2011)

Haq yang keliru


SALAH satu babak filem Haq yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.


MENYAKSIKAN sedutan filem Haq tahun lalu, saya menyimpan keyakinan bahawa filem ini bakal menjadi 'sesuatu'. Sedutannya nampak mahal hasil sinematografi dan suntingan yang kemas, apatah lagi barisan pelakonnya bukan sekadar wajah majalah.

Dalam lambakan filem Melayu yang mahu menjual komersial semata-mata, Haq memberikan saya persepsi yang berbeza.

Jujurnya, saya tidak mengharapkan Haq menjadi filem yang luar biasa tetapi sekurang-kurangnya sebuah produk yang mampu bercerita dengan baik.

Shamsul Haq ialah seorang kanak-kanak yang dianugerahkan kuasa aneh, sama seperti bapanya. Dia berupaya menggerakkan objek di sekeliling menerusi kawalan minda. Kebolehannya itu dicemburui abang angkatnya, Badrul Hisham.

Sifat iri hati itu dibawa sehingga mereka dewasa. Haq membesar sebagai lelaki yang berhemah hasil didikan agama, manakala Bad yang menghilangkan diri bertahun-tahun akhirnya pulang ke Malaysia dengan dendam dan amarah.

Sinopsis di atas saya baca sebelum menghadiri tayangan perdana filem ini. Sayangnya, selepas menyaksikannya pun, hanya itulah yang saya dapat.

Dalam erti kata lain, Haq tidak menawarkan saya sesuatu yang ekstra, selain apa yang saya tahu menerusi sinopsis.

Haq cuba menyampaikan cerita menerusi bingkai-bingkai gambar yang cantik. Namun, selepas setengah jam menonton, saya masih tidak mampu menangkap isinya.

Persoalan demi persoalan berlegar di fikiran dan sehingga ke penghujung, saya tidak mendapat jawapan.

Saya tertanya-tanya; dari mana Bad tiba-tiba mendapat kuasa sakti, sedangkan pada awal cerita, dia digambarkan seorang manusia normal?

Bagaimana dia boleh berhubung dengan Haq secara telepati? Apa signifikannya guli-guli merah bercahaya? Siapa sebenarnya Aina dan apa pertaliannya dengan keluarga Haq?

Maaf, saya tidak boleh mengenepikan persoalan-persoalan itu kerana ia adalah kunci cerita. Tanpa memahaminya, saya tidak mampu menikmati filem ini.

Kelebihan teknikal, stail penggambaran dan lakonan bersungguh-sungguh tidak cukup untuk menutup kekeliruan tersebut.

Haq tidak mampu 'menggenggam' satu-satu aspek dengan cukup berkesan. Filem ini berada di tengah-tengah garisan, di antara menjadi dengan tidak.

Hendak dikatakan drama, ia tidak cukup menyentuh. Hendak dikatakan aksi, ia biasa-biasa saja. Hendak dilabelkan filem superhero? Belum lagi.

Efek yang ditampilkan sekadar cukup makan. Ia tidak buruk tetapi tidak juga memukau. Lagak ngeri atau aksinya juga tidak mampu membuatkan penonton tercengang.

Adegan pertarungan sambil terbang di antara Haq dan Bad tidak terasa kemuncaknya. Sedangkan babak itulah yang sepatutnya menjadi babak paling kuat dalam filem ini. Malah grafik sistem pemanduan ala Tron semasa Haq menjejaki Zahra kelihatan amatur.

Sebagai pelakon berkredibiliti, Zul Huzaimy sudah memberikan sedaya-upaya untuk menyelamatkan Haq. Begitu juga dengan Fatimah Abu Bakar, Nanu Baharudin dan Raja Farah yang memberikan persembahan terbaik.

Cuma lakonan Adi Putra yang masih berada dalam lingkungan tipikal watak jahat. Bisik suara, ketawa dan mimik wajahnya tidak mengenal erti subtle. Begitupun, lakonan mereka terasa dipersia tanpa pembangunan karakter yang sewajarnya.

Saya tidak mahu mempersoalkan bagaimana Haq boleh memenangi anugerah Lakon Layar Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang lalu. Saya juga tidak mahu meragui hasrat penerbit yang dikatakan ingin menghasilkan sambungan filem ini.

Akan ada sekuel atau prekuel, itu soal kedua. Penonton berhak untuk mengetahui apa yang sedang disaksikan. Sesebuah filem harus mampu berdiri sendiri, apatah lagi sebagai filem pertama yang sepatutnya menjadi teras sesebuah naskhah atau 'jenama'.

1 comment:

Hassan Muthalib said...

Setuju benor!! Amacam boleh dapat Lakonlayar Terbaik?