Thursday, November 10, 2011

THE ADVENTURES OF TINTIN (2011)

Pengembaraan cemerlang

MENURUT Wikipedia, Herge atau nama sebenarnya Georges Remi percaya, jika ada pengarah yang mahu bikin filem Tintin, Steven Spielberg adalah satu-satunya orang yang paling sesuai.

Spielberg yang juga peminat komik itu, membeli hak cipta daripada pelukis tersebut selepas kematiannya pada 1983. Selepas melalui pelbagai proses lebih dua dekad, akhirnya Tintin versi filem berjaya direalisasikan.

Dibantu kepakaran Peter Jackson (The Lord of the Rings, 2001-2003) yang bertindak selaku penerbit, filem yang menggunakan tajuk The Adventures of Tintin ini menggunakan teknik performance capture seperti mana Avatar (2009).

Tiga penulis lakon layar dari Britain, Steven Moffat, Edgar Wright dan Joe Cornish diberi tanggungjawab yang hampir mustahil untuk dilaksanakan.

Untuk tempoh tayangan dua jam, mereka harus menggabungkan tiga album komik sekali gus iaitu The Crab with the Golden Claws, The Secret of the Unicorn dan Red Rackham’s Treasure.

Kisah bermula apabila Tintin membeli sebuah model kapal layar di sebuah pasar. Dia didatangi dua orang yang mahu membeli semula daripadanya – seorang menasihatkannya supaya berjaga-jaga, manakala seorang lagi menawarkan harga yang jauh lebih tinggi.

Menyedari kapal itu menjadi rebutan, Tintin enggan menjualnya dan cuba mencari jawapan. Tintin kemudian diculik dan kapalnya dicuri.

Pertemuannya secara tidak sengaja dengan Kapten Haddock menjadikan mereka pelarian dalam meneruskan misi untuk membongkar rahsia di sebalik kapal tersebut.

Pada saat filem dibuka, mood dan suasana misteri berjaya dirasai. Dengan lukisan animasi yang teliti dan sangat halus, penonton dibawa bersama ke alam pengembaraan Tintin yang penuh menyeronokkan. Penceritaan yang bergerak pantas menjadikan penonton leka dan tiada ruang untuk merasa bosan.

Barangkali Herge dan Spielberg berkongsi visi yang sama kerana Tintin juga seperti Indiana Jones (1981-2008).

Kedua-dua hero ini mencari harta karun; di mana mereka mempunyai sedikit pembayang, manakala pembayang yang separuh lagi ada pada penjahat. Mereka juga terpaksa mengelilingi dunia menggunakan apa saja medium pengangkutan untuk menjayakan misi yang dicapai.

The Adventures of Tintin adalah bukti betapa dahsyatnya teknologi perfileman moden. Peminat animasi pernah dikagumkan dengan teknik motion-capture dalam hasil kerja Robert Zemeckis seperti The Polar Express (2004) dan A Christmas Carol (2009). Namun, Tintin menjangkaui lebih daripada itu.

Penonton seolah-olah terlupa bahawa apa yang disaksikan sekadar satu helah digital. Sama ada di lautan dengan kapal besar dan sampan; di udara dengan helikopter; menunggang unta di padang pasir atau babak kejar-mengejar di daratan – segalanya kelihatan realistik.

Tanpa ragu, ini adalah kerja animasi terbaik tahun ini dan bakal melalui jalan yang mudah untuk ke anugerah Oscar.

Kecemerlangan itu bukan saja diukur dengan kecanggihan imej komputer yang dicipta, tetapi skrip yang ditulis kemas dengan dialog-dialog yang jelas difahami, lebih-lebih lagi kanak-kanak.

Penulis lakon layar bijak memadatkan kesemua latar belakang cerita dan watak. Misalnya, identiti Tintin sebagai seorang wartawan, tetapi tidak perlu digambarkan dia bekerja dengan siapa, untuk akhbar mana atau menunjukkan babak dia menggunakan mesin taip.

Penonton hanya diberitahu apa yang mereka patut tahu dan cara itu berkesan untuk filem ini.

The Adventures of Tintin juga menyaksikan kembalinya kerjasama di antara Spielberg dan komposer John Williams untuk skor muzik yang efektif.

Williams ialah orang yang bertanggungjawab menata muzik bagi sekian banyak siri filem blockbuster seperti Jaws, Star Wars, Indiana Jones dan Harry Potter.

Sebagai Kapten Haddock, Andy Serkis mengulangi kehebatannya sebagai pelakon performance capture terunggul selepas menjadi Gollum dalam siri filem The Lord of the Rings dan Caesar dalam Rise of the Planet of the Apes (2011).

Peranan Haddock yang kaki mabuk tetapi bersemangat waja berjaya diadunkan menerusi gerak laku sebenar dan lukisan animasi yang ‘bernyawa’.

Daniel Craig juga menyerlah sebagai lanun Sakharine, manakala Simon Pegg dan Nick Frost memberi keseronokan pada watak detektif Thomson dan Thompson.

Tidak dilupakan ialah anjing Snowy yang menjadi sidekick Tintin. Snowy ialah karakter yang mula-mula dibina untuk projek ini dan hasilnya amat mengujakan.

Meskipun Jamie Bell adalah pilihan kedua selepas Thomas Sangster menarik diri, dia berjaya memberi justifikasi untuk watak Tintin. Usia sebenar Bell ialah 25 tahun, namun Tintin di tangannya kelihatan dan ‘kedengaran’ jauh lebih muda. Tintin seharusnya begitu, satu karakter yang timeless dan tidak dimakan usia.

Jika Herge masih hidup hari ini, dia pasti berbangga. Nalurinya tentang keupayaan Spielberg ternyata tepat apabila pengarah tersohor itu mampu membawa dunia ciptaannya ke layar perak dengan penuh stail.

No comments: